JUMAAT, 19 OGOS 2016 @ 12:50 AM
PENSYARAH Kanan Jabatan
Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz.
- Foto Saifullizan Tamadi KUALA LUMPUR:
Mat Hassan Munas atau lebih
dikenali sebagai Tok Janggut adalah seorang ulama dan pahlawan Melayu yang
sanggup menggadai nyawa menentang British. Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan
dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz, berkata Tok
Janggut adalah antara penentang British pada awal 1900-an di Kelantan, iaitu
semasa berlakunya Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.
"Walaupun dia tahu
penentangannya akan berakhir dengan maut, tetapi beliau tetap meneruskannya
untuk menunjukkan kepada orang Melayu lain, yang beliau juga mempunyai sifat
suka menolong orang," kata Hamdan.
Beliau adalah penyelidik
manuskrip mengenai Tok Janggut pada "Wacana Manuskrip Melayu bertajuk
'Hikayat Peperangan Tok Janggut' anjuran Perpustakaan Negara sempena sambutan
Bulan Kebangsaan 2016, di sini. Hamdan turut menafikan dakwaan pihak tertentu
bahawa Tok Janggut menentang Sultan Kelantan pada masa itu, dan berkata
sebenarnya beliau menentang British yang mengamalkan sikap orientalis dengan
menguasai pihak Istana. Hamdan berkata, British mengetahui budaya orang Melayu
adalah taat setia kepada Sultan, dan untuk menguasai orang Melayu ialah melalui
mengawal Sultan mereka. Beliau berkata, kajiannya mengenai pahlawan
Tok Janggut itu turut dibuat
berdasarkan manuskrip yang ditulis oleh Ahmad Abdul Rahman dari Pattani,
Thailand, keratan laporan akhbar British mengenai pahlawan itu oleh The Straits
Times dan pembuktian tempat sejarah di Pasir Puteh. "Manuskrip Ahmad itu
yang ditulis dalam era 1950-an, mempunyai catatan yang terperinci mengenai
salasilah Tok Janggut, berapa ramai adik-beradik pahlawan itu dan kehidupannya
menentang British," katanya. Berdasarkan fakta manuskrip itu, antara sifat
Tok Janggut yang boleh dijadikan pengajaran untuk generasi kini ialah
kesungguhannya menentang kezaliman British, katanya.
Hamdan berkata, hasil kajiannya
juga mendapati Tok Janggut bukan sahaja seorang pahlawan malah dia adalah
seorang ulama yang telah mendalami ilmu agama di pondok, sebelum ke Makkah. Tok
Janggut yang ke Makkah untuk belajar agama sebelum Perang Dunia Pertama telah
didedahkan dengan fatwa kerajaan Turki Uthmaniyah yang menjadikan satu
Fardhu-Ain (perkara wajib) bagi umat Islam menentang British.
"Dalam peperangan dunia
pertama, Turki, Austria, Bulgaria dan Jerman menentang British bersama
sekutunya," katanya. "Fahaman itu tertanam dalam jiwa Tok Janggut
apabila dia pulang ke tanah air dan melihat masyarakat di Pasir Puteh, Kelantan
ditekan dengan sistem cukai yang dilaksanakan British pada ketika itu, yang
menjajah Tanah Melayu," katanya.
Hamdan berkata, atas sifat
benci kepada British yang 'memegang' Sultan Kelantan Muhammad IV melalui sistem
penasihat dan mengenakan cukai tidak munasabah, Tok Janggut bangkit menentang
bersama 1,000 pengikutnya dan dia terkorban di tangan tentera British pada
1915. "Mayatnya dibawa ke Kota Baharu dan digantung terbalik untuk
dipamerkan kepada umum sebelum ditanam di Seberang Sungai, Pasir Pekan,"
katanya. - BERNAMA
Sumber :
http://www.bharian.com.my/node/184578
Tiada ulasan:
Catat Ulasan