Mohd Hafizee Mohd
Arop
hafizee@hmetro.com.my
Ipoh: Seorang
anggota polis yang pernah ditugaskan bertemu pemimpin komunis di dalam hutan
sebelum Rundingan Baling diadakan, R Ramadas, 85, meninggal dunia di rumahnya,
malam kelmarin.
Anaknya, R
Mohandas ketika dihubungi berkata, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua
ketika sedang tidur kira-kira jam 7 malam.
Menurutnya, mayat
mendiang bapanya akan dibakar di Bercham, kira-kira jam 11 pagi ini.
“Semangat
patriotik bapa dan rasa cintanya kepada negara tidak pernah padam, mendiang
seorang yang amat bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat mengenai
keluarga,” katanya, semalam.
Ramadas memulakan
perkhidmatan dalam pasukan polis sebagai jurubahasa di Balai Polis Sentral,
Kuala Lumpur pada 1948 sebelum menganggotai pasukan tentera British dari 1949 hingga
1955 dan kemudian ditugaskan di Balai Polis Sungai Siput yang ketika itu
disenaraikan sebagai [kawasan hitam’ dari 1956 hingga 1959.
Sepanjang
perkhidmatannya, mendiang pernah ditugaskan bertemu Ketua Propaganda Parti
Komunis Malaya (PKM), Chan Tien di Gunung Paku, Klian Intan, Gerik pada
Disember 1955 berhubung isu Rundingan Baling.
Mendiang juga
menjadi salah seorang daripada pegawai dan anggota keselamatan yang ditugaskan
untuk bertemu dengan pemimpin PKM, Chin Peng, untuk kali kedua di Gunung Paku
berhubung perkara sama.
Rundingan Baling
untuk membincangkan perdamaian dan penyerahan diri anggota PKM di sebuah
sekolah di Baling, Kedah, pada 28 dan 29 Disember 1955, bagaimanapun gagal
selepas pengganas komunis itu tidak bersetuju dengan syarat meletakkan senjata.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:10 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan