ARKIB : 22/08/1998
TERDAPAT sejumlah 1,250 pegawai
teknikal termasuk 430 dari luar negara pada Sukan Komanwel XVI bulan depan,
kata penganjur sukan itu, Sukom Ninety Eight Berhad.
Jumlah ini bertambah lebih 100
peratus berbanding sukan sebelum ini di Victoria, Kanada, tahun 1994. Jumlah
pegawai teknikal di Victoria cuma 520 orang.
Pengarah Operasi Sukom '98
Nashatar Singh, berkata kesemua pegawai teknikal itu akan ditempatkan di tiga
buah hotel sekitar Lembah Klang dan satu di Langkawi.
''Pegawai-pegawai tersebut akan
dijaga dengan baik. Di Victoria, pegawai-pegawai teknikal ditempatkan di berek
polis,'' kata beliau selepas menandatangani perjanjian dengan Pearl
International Hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Mengenai keselamatan di
hotel-hotel berkenaan, beliau berkata ia akan berbentuk persahabatan, sambil
menambah pegawai tidak beruniform akan ditempatkan dilokasi yang strategik
sekitar hotel berkenaan.
Nashatar menandatangani
perjanjian itu bagi pihak penganjur manakala pihak hotel diwakili oleh pengurus
residen, Sonny Lim.
Di bawah perjanjian itu, Pearl
International Hotel akan menyediakan 319 bilik untuk 600 pegawai teknikal bagi
acara akuatik, skuasy, angkat berat, gimnastik, hoki lelaki dan olahraga.
Sementara itu, Lt. Kol (B)
Hamzah Ibrahim, Pengurus Besar Perkampungan Sukan di Bukit Jalil, yang hadir
pada majlis itu berkata, perkampungan itu akan dibuka dengan rasminya 28 Ogos
ini dan akan menerima atlet dan pegawai bermula 31 Ogos.
Beliau berkata mereka boleh
tinggal di perkampungan itu tidak lebih 25 hari. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KHOki0wg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan