Penubuhan
Malaysia penuh liku dan cabaran
MOHD. AYOP ABD.
RAZID |
16 September 2016 12:18 AM
TARIKH 16
September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti
kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj
yang diiktiraf dan diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
sebagai sebuah negara berdaulat. Idea gagasan Malaysia ini dilontarkan oleh
Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961. Gagasan Malaysia berjaya menggabungkan
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu unit politik
yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
Walaupun, idea
penggabungan wilayah pernah dikemukakan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat
Borneo Utara pada 1887 yang mencadangkan kepada British untuk menggabungkan
Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri
Selat tetapi tidak menjadi realiti. Demikian juga cadangan serupa yang pernah
disuarakan oleh Tun Ghazali Shafie pada 1954 dan Tan Cheng Lock pada 1955.
Tunku sebelum
mencadangkan penubuhan yang lebih besar pernah menyuarakan cadangan penggabungan
Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei. Cadangan itu dikemukakannya dalam
persidangan UMNO 1955. Pada 1959, Lee Kuan Yew pula cuba mempengaruhi pihak
British untuk menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu. Namun, cadangan itu
ditolak Tunku kerana bimbang berlakunya ketidaksamaan atau ketidakseimbangan
penduduk. Gagasan Malaysia yang dicadangkan Tunku pada 1961 itu didorong oleh
beberapa faktor merangkumi politik, keselamatan, sosial dan ekonomi.
Faktor politik
adalah berkaitan usaha menyekat ideologi komunis di Singapura, Sabah dan
Sarawak. Ideologi komunis ini sekali gus membawa ancaman kepada keselamatan
wilayah terbabit. Komunis menggunakan pendekatan keganasan untuk mencapai
hasrat mereka menguasai negeri-negeri terbabit. Faktor ekonomi pula merujuk kepada
tujuan memperluas pasaran serta mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang
ekonomi.
Sementara itu,
faktor sosial adalah untuk mengimbangi komposisi kaum, mewujudkan perpaduan
kaum, memajukan negeri yang belum membangun, khususnya Sabah dan Sarawak serta
melahirkan satu bangsa yang kaya warisan kebudayaan. Selain faktor tersebut,
British pula sedang menjalankan dasar dekolonisasi untuk merdekakan tanah
jajahan. Untuk menyegerakan kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak, British
melihat gagasan yang dikemukakan Tunku itu adalah cara terbaik untuk mencapai
hasrat tersebut.
Tunku sendiri
memulakan lawatan ke Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menerangkan konsep dan
tujuan penubuhan Malaysia. Perundingan juga diadakan antara pegawai kanan
Persekutuan Tanah Melayu dengan Pegawai-pegawai British dari Sarawak, Sabah dan
Singapura yang telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perunding
Perpaduan Kaum (JPPK) di Singapura pada Jun 1961.
Jawatankuasa itu
dipengerusikan oleh Donald Stephan dari Sabah dan mengadakan empat kali
mesyuarat. Brunei hanya menghantar pemerhatinya menghadiri tiga mesyuarat
terakhir. Akhirnya, dalam mesyuarat terakhir di Singapura, ahli-ahli bersepakat
mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold
ditubuhkan oleh kerajaan British pada 17 Januari 1962 bertujuan meninjau
pendapat sebenar penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai cadangkan menggabungkan
kedua-dua negeri itu ke dalam Malaysia.
Suruhanjaya itu
mendapati lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong gagasan
Malaysia. Selain itu, suruhanjaya terbabit turut mencadangkan Perlembagaan
Malaysia yang baru mestilah berasaskan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Bahasa
Melayu juga dicadangkan menjadi Bahasa Kebangsaan, jaminan terhadap hak dan
kedudukan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedua-dua negeri itu diberikan
kuasa menentukan dasar imigresen masing-masing.
Suruhanjaya
berkenaan turut mencadangkan pemberian nama ‘Malaysia’ kepada negara baru yang
akan dibentuk dan juga penentuan tarikh penubuhan Malaysia. Sebenarnya nama
‘Malaysia’ telah digunakan sejak 1800an lagi dengan merujuk kepada peta yang
dibuat oleh Alexander Keith Johnston pada 1845 bertajuk ‘South Eastern
Peninsula and Malaysia’.
Penubuhan
Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melalui ranjau dan duri, tumpahan air
mata dan darah. Walaupun ramai yang menyokong, namun wujudnya pelbagai anasir
yang cuba mempengaruhi rakyat supaya menentang gagasan Malaysia.
Cabaran-cabaran getir yang dilalui itu turut melibatkan ancaman terhadap
kedaulatan negara yang datang dari dalam dan luar negara.
Di dalam negara,
idea pengintegrasian wilayah yang besar mendapat reaksi yang pelbagai daripada
parti-parti politik serta penduduk Tanah Melayu dan Singapura. Pas lebih
cenderung untuk menerima gagasan Maphilindo dan mendesak supaya isu ini
dibincangkan terlebih dahulu. Namun, setelah memahami manfaatnya Pas akhirnya
menerima idea gagasan Malaysia. UMNO pula sejak awal-awal lagi bersetuju. Di
Singapura, Barisan Sosialis yang berhaluan kiri (dipengaruhi komunis) menentang
keras gagasan Malaysia dan menganggapnya sebagai neokolonialisme.
Lee Kuan Yew yang
bersetuju dengan idea Tunku itu sangat bimbang dengan pengaruh parti Barisan
Sosialis yang semakin berpengaruh di Singapura ketika itu. Jika perjuangan
parti sosialis itu berhasil maka ia kejayaan buat komunis. Justeru, untuk
mendapatkan reaksi rakyat Singapura maka satu referendum umum rakyat Singapura
mengenai penubuhan Malaysia diadakan pada 1 September 1962. Keputusan yang
diperoleh ialah majoriti menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Singapura untuk
membuat keputusan mengenai penggabungan itu.
Di Brunei pula
tercetus pemberontakan rakyat pada 8 Disember 1962. Mereka membangkitkan
isu-isu mengenai kedaulatan Sultan Brunei, isu minyak dan bayaran tahunan.
Rakyat Brunei berpendapat penyatuan akan memudaratkan negara dan menggugat
kemakmuran Brunei.
Cabaran paling
getir datang dari Filipina dan Indonesia yang kuat menentang gagasan Malaysia.
Presiden Macapagal membuat pengumuman menuntut hak terhadap Sabah (1962) berdasarkan
perjanjian Sultan Jamalul Alam dengan Baron Overbeck. Indonesia di bawah
kepimpinan Sukarno pula melihat gagasan Malaysia itu sebagai satu bentuk
neokolonisme. Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi pada 20 Januari 1963.
Slogan ‘Ganyang Malaysia’ telah mencabar kedaulatan negara kerana Indonesia
berhasrat menakluki Tanah Melayu.
Oleh sebab
kerasnya tentangan kedua-dua negara itu mendorong PBB menghantar satu misi ke
Borneo untuk meninjau dan melaporkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak
mengenai penubuhan Malaysia. Misi itu mendapati majoriti penduduk di Borneo
menyokong gagasan Malaysia. Akhirnya, setelah melalui pelbagai cabaran getir,
penubuhan Malaysia dapat direalisasikan dan Perjanjian Malaysia telah
ditandatangani pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough
House.
Pengisytiharan
Malaysia dibuat pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di
hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang,
Melaka, dan Sabah. Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari
tiga negeri baru turut hadir iaitu Lee Kuan Yew ((Singapura), Donald Stephens
(Sabah) dan Stephens Kalong Ningkan (Sarawak). Pada 9 Ogos 1965, atas
faktor-faktor tertentu Singapura mengambil keputusan keluar daripada Malaysia
dan menubuhkan negara republik.
Penubuhan
Malaysia membawa pelbagai nikmat dan manfaat kepada negara tercinta ini.
Antaranya mempercepat kemerdekaan bagi Singapura, Sabah dan Sarawak. Ancaman
komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak dapat dibendung dan diatasi.
Hakikatnya, penubuhan Malaysia adalah pembinaan satu ‘keluarga besar Malaysia’
yang dalam satu wilayah geopolitik, iaitu Persekutuan Malaysia yang mendukung
cogan kata yang terkandung dalam Jata Negara, iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
PENULIS ialah
Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan
Malaysia
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/penubuhan-malaysia-penuh-liku-dan-cabaran-1.383208#sthash.6pxtok91.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan