ARKIB : 29/08/1998
Salah satunya naskhah teater
Malam Kemerdekaan yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang setahun
selepas negara mencapai kemerdekaan.
Ini antara naskhah terawal yang
dihasilkan selepas kemerdekaan dan sarat dengan nilai patriotik.
Malam Kemerdekaan yang kerap
dipentaskan tetapi sehingga kini terus dirasakan semangat yang mewakili
golongan seniman menganalisis perjuangan mencapai kemerdekaan.
Ketika ditemui di rumahnya
baru-baru ini, Usman yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan dan kemanusiaan
berkata, naskhah teater itu menitikberatkan proses mencapai dan mengisi
kemerdekaan.
Sekalipun Malam Kemerdekaan
bukan naskhah sejarah tetapi ia bergerak di atas landasan sejarah dan
dikembangkan secara kreatif.
Menurut Usman, watak Engku
Bahari dalam Malam Kemerdekaan adalah Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.
''Saya mencerna idea untuk
Malam Kemerdekaan dalam konteks pemikiran dan pengamatan saya dan watak Engku
Bahari itu secara tidak langsung menggambarkan proses kemerdekaan yang
diperjuangkan oleh Tunku serta nasionalis yang lain,'' jelas Usman yang juga
dikenali dengan nama Tongkat Warant.
Usman yang juga dikenali dengan
drama sosial, Uda Dan Dara ini memberitahu, pada November depan, Malam
Kemerdekaan akan dipentaskan oleh sebuah kumpulan teater tempatan.
''Saya cukup terharu kerana
karya saya masih diingati oleh generasi hari ini,'' ujar Usman yang sebelum ini
banyak terlibat dalam kegiatan sosial.
Apabila ditanya, adakah beliau
tidak menulis lagi setelah usia kemerdekaan mencapai 41 tahun, Usman berkata,
beliau mahu berehat secukupnya kerana banyak daripada usianya dihabiskan dengan
menulis.
Berpegang kepada prinsip ''seni
untuk masyarakat'', sasterawan ini telah mengangkat pelbagai isu rakyat dalam
setiap karyanya.
Sebagai orang yang dilahirkan
pada zaman sebelum merdeka, Usman memperlihatkan buah fikiran yang menyentuh
tentang perjuangan dalam puisi, drama dan novelnya.
Beliau memberitahu, karya
pertama yang dihasilkannya ialah puisi Korban Tanah Air pada 1948 sewaktu
bertugas sebagai anggota polis di Melaka.
Sebagai seorang sasterawan,
Usman yakin bahawa karya-karya yang baik dan jujur harus dapat membuka
pemikiran dan menjadi inspirasi kepada rakyat.
''Kita harus memikirkan
kemerdekaan itu daripada banyak segi terutamanya kemerdekaan diri, jiwa,
fikiran dan juga budaya. Dalam persoalan ini kita masih dijajah lagi,'' jelas
Usman.
Semangat perjuangan kemerdekaan
dan kemanusiaa tercetus dalam karya-karya seperti Merpati Putih Jelajahi Dunia
ini, Kekallah Perdamaian, Khabar Dari Asia dan banyak lagi.
''Saya merasai semangat
kemerdekaan itu kerana saya membesar pada zaman sebelum merdeka. Kebanyakan
puisi saya pada zaman sebelum merdeka bekisar tentang perjuangan, penentangan
terhadap penjajah dan laungan kemerdekaan,'' jelas Usman.
Oleh: ROZI ABDUL RAZAK
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4KHc8xEbm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan