Sabtu, 24 September 2016

Kejayaan teristimewa




MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI  |  24 September 2016 12:15 AM

JOHOR BAHRU 23 Sept. - Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super tiga kali berturut-turut merupakan pencapaian paling istimewa untuk pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, kejayaan tersebut lebih manis berbanding memenangi Piala AFC 2015, yang merupakan pencapaian tertinggi kelab ber­kenaan.

Menurut beliau, ini kerana perancangan untuk mencatat sejarah baharu bagi kelab bola sepak tempatan itu sudah bermula sejak 2015 lagi.

“Dalam banyak kejayaan yang telah diraih JDT sejak saya mengambil alih kelab pada 2013, kejayaan ini adalah yang paling istimewa, khususnya kepada saya secara peribadi.

“Syukur, apa yang dihajatkan iaitu untuk menjadi pasukan pertama melakar kejayaan tersebut (juara liga tiga kali berturut-turut) menjadi kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

JDT menjadi juara Liga Super 2016 pada 9 September lalu setelah menundukkan Terengganu 3-0 ketika musim masih berbaki dua perlawanan.

Tunku Ismail turut berkata, kejayaan merangkul Piala AFC 2015 adalah satu bonus kepada kelab berkenaan kerana pada awalnya trofi kejohanan itu tidak berada dalam sasaran mereka ketika itu.

“Sasaran kami ketika itu adalah untuk sampai ke peringkat separuh akhir kerana tiada pasukan dari Malaysia yang pernah ke peringkat tersebut.

“Ini kerana dalam JDT, sasaran kita adalah untuk mendominasi arena bola sepak tempatan selain melakukan yang terbaik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu Tunku Ismail mengurniakan sebuah Limosin Hummer baharu untuk kegunaan pihak pengurusan JDT.

Akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers memaklumkan limosin tersebut dijangka siap esok dan akan digunakan ketika perarakan meraikan kejayaan JDT menjadi juara Liga Super.

Malam esok, JDT akan bertemu T-Team untuk perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
- SUMBER- http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kejayaan-teristimewa-1.386420#sthash.3PtuEka4.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan