TOREK SULONG | 31 Ogos 2016 12:15 AM
Wan Omar Wan Majid (tengah) diapit Wan Abdul Aziz Wan Noh (kanan) dan Kamaruzamani Mohd Zain (kiri) bersama peserta kayuhan merdeka yang singgah di kediamannya sempena sambutan Ambang Hari Kebangsaan Ke 59, di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
PASIR PUTEH 30 Ogos - Keperitan dan kesusahan hidup pada zaman sebelum merdeka perlu didedahkan kepada generasi masa kini agar mereka lebih bersyukur dan mengerti tentang nikmat kemerdekaan sesebuah negara.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Wan Omar Wan Majid, 82, berkata, kejayaan yang dicapai oleh negara yang kini menyambut Hari Kebangsaan ke-59 adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu yang merempuh pahit getir untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.
Menurutnya, pengisian kemerdekaan negara sejak 1957 sehingga sekarang menyerlahkan Malaysia sebagai negara yang berdaulat di mana keamanan, keharmonian dan perpaduan sejagat perlu dikekalkan demi kepentingan generasi akan datang yang perlu merentasi kemajuan bertaraf dunia.
“Saya pernah melalui zaman belum merdeka yang serba serbi kesusahan. Zaman penjajahan Inggeris dengan karenah mereka yang mengaut hasil negara dan keperitan zaman Jepun banyak memberi penderitaan kepada semua rakyat pada masa itu.
“Pada usia 16 tahun saya sudah menjadi guru bermula sebelum Merdeka dengan hanya menggunakan basikal buruk untuk mengajar di sekolah yang jauhnya melebihi 40 kilometer.
“Namun, demi untuk menyuntik semangat kebangsaan dan patriotik, cintakan bangsa dan agama segala jerih payah bertukar menjadi pendorong yang kuat untuk memberi ilmu kepada orang ramai dan mereka pelu sedar betapa berharganya nilai kemerdekaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan patriotik di hadapan 59 peserta kayuhan merdeka dalam kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, dekat sini, yang mengadakan Sambutan Ambang Hari Kebangsaan ke-59 peringkat sekolah itu, di sini, baru-baru ini.
Konvoi berbasikal sejauh lima kilometer itu turut singgah di rumah tokoh itu selama satu jama sebelum menamatkan kayuhan mereka di sekolah tersebut.
Wan Omar adalah bekas Guru Besar di tiga buah sekolah di daerah ini pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak (1974, 1978) dan Ahli Parlimen Pasir Puteh (1986, 1990).
Menurut Wan Omar, generasi masa kini hanya perlu meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin negara yang sedia ada dalam memastikan kedaulatan negara terus kekal menerusi pemikiran yang bijaksana dan matang.
“Dalam usia remaja pada masa dahulu kebanyakannya sudah matang dan memiliki semangat jati diri yang kental. Ada hala tuju dalam perjuangan.
“Berbeza dengan segelintir remaja masa kini pada usia yang sama mereka masih belum berpendirian dan segelintirnya masih hanyut dengan dunia merempit dan sebagainya. Kita perlu ubah minda remaja mulai sekarang agar mereka lebih matang,” katanya.
Tambahnya, formula utama dalam mengekalkan kemerdekaan negara ialah kentalnya semangat jati diri semua kaum dalam negara ini, nilai kecintaan yang tinggi terhadap negara, saling hormat menghormati dan setia kepada Raja serta kepimpinan negara.
- SUMBER-: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/dedah-perjuangan-sebelum-merdeka-1.376680#sthash.tSoESjD0.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan