ARKIB : 21/08/1998
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penduduk
beberapa bandar terutama di kawasan selatan Semenanjung seperti Melaka, Muar,
Labis, Mersing, Jemaluang dan Pulau Tinggi di Johor akan dapat melihat dengan
jelas gerhana matahari anulus atau gerhana cincin yang terakhir berlaku di
rantau ASEAN pada abad ini.
Gerhana itu akan bermula pada
pagi Sabtu ini di Lautan Hindi, seterusnya merentasi Pulau Sumatera,
Semenanjung Malaysia, Laut China Selatan, Sarawak, Kalimantan, Laut Sulawesi
dan akan berakhir di Lautan Pasifik.
Di Sabah, gerhana itu boleh
dilihat di Labang dan Tubau manakala di Sarawak ia boleh disaksikan di Long
Akah dan Bintulu.
Fenomena gerhana berkala setiap
50 tahun itu akan berlaku di antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi.
Panjang bayangan laluan gerhana
itu dianggarkan berjarak 13,500 kilometer. Ketika melintasi Semenanjung dan
Sarawak, lebar bayangan dianggarkan sepanjang 131 kilometer.
Di beberapa tempat, gerhana
boleh dilihat dengan tepat dan jelas dalam bentuk cincin (anulus) manakala di
kawasan lain, ia dicerap sebagai gerhana anulus yang kurang sempurna.
Kejadian alam itu berlaku
kerana pancaran cahaya matahari dihalang oleh bulan yang berada di antara
matahari dan bumi.
Ketika itu ketiga-tiga objek
iaitu matahari, bulan dan bumi akan berada pada satu garisan lurus.
Gerhana matahari anulus berlaku
jika saiz cakera bulan adalah lebih kecil daripada cakera matahari. Keadaan ini
menyebabkan sebahagian sinar matahari yang membentuk cincin masih kelihatan.
Apabila gerhana itu berlaku,
keadaan persekitaran pada masa kejadian redup disebabkan 97 peratus matahari
terlindung oleh cakera bulan. Matahari juga akan dilihat sebagai lingkaran
berapi apabila bulan berada di tengah-tengah matahari selama tiga minit.
Permulaan gerhana akan berlaku
pada pagi Sabtu ini sejurus selepas matahari terbit di Semenanjung manakala di
Sarawak, gerhana bermula ketika matahari berada setinggi 5 darjah di atas ufuk.
Untuk menyaksikan formasi alam
yang menakjubkan itu orang ramai perlu berada di tempat tinggi yang nampak ufuk
timur.
Pada pagi Sabtu ini, ketika
gerhana, para penduduk tempat yang mengalami gerhana anulus penuh akan
berpeluang melihat objek-objek langit lain seperti planet Zuhrah (18 darjah
dari matahari) dan Musytari (berhampiran ufuk barat).
Pakar kaji matahari dari United
Kingdom, Profesor John H. Parkinson berkata, peristiwa gerhana matahari
merupakan sesuatu yang menyeronokkan untuk disaksikan.
''Ini kerana pada hari itulah
kita akan melihat binatang seperti burung akan pulang ke pokok yang digemari
kerana disangka hari sudah petang manakala unggas pula akan mula berbunyi
kerana menyangka hari sudah malam,'' katanya kepada para pemberita di Kuching
hari ini.
Beberapa kejadian ganjil akan
berlaku akibat fenomena itu seperti keadaan cuaca tidak menentu, angin bertiup
kencang dan langit kelihatan seakan-akan senja serta haiwan seperti burung dan
ayam berada dalam kebingungan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4KHJ1qOlT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan