Ahad, 18 September 2016

Peranan Raja Thibaw dalam penentangannya terhadap British pada abad ke-19.

Raja Thibaw 1878-1885
Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Peranan Raja Thibaw dalam penentangannya terhadap British pada abad ke-19.
Raja Thibaw dilahirkan pada tahun 1858 di Mandalay, Myanmar. Raja Tihibaw merupakan anak Raja Mindon Min dengan Puteri Laungshe. Raja hibaw mendalami ajaran agama Buddha di tokong sejak kecil lagi. Baginda pemerintah terakhir Dinasti Konbaung di Myanmar. Beliau memerintah antara tahun 1878-1885. Pemerintahannya berakhir detelah pendudukan Hulu Myanmar oleh British. Beliau meninggal dunia pada 19 Disember 1916 di Ratnagiri Fort, India.[1]

Peranan dalam penentangan terhadap British
Raja Thibaw sangat dikuasai oleh Permaisuri Supayalat dan Taingda sehingga Hluttaw, sebuah badan yang berpengaruh dalam sistem pemerintahan pusat merasa terancam lalu terpaksa mengikut sahaja dasar Raja Thibaw dan permaisurinya.
Raja Thibaw mengamalkan pemerintahan yang keras, menekan, dan menindas berbanding dengan pemerintahan ayahandanya yang bertolak ansur dengan istana, rakyat, dan kuasa asing. Sikap Raja Thibaw menyebabkan saudagar-saudagar British merasa tidak puas hati lalu mendesak kerajaan British di India supaya menguasai Myanmar Hulu.

Pada zaman pemerintahan Raja Thibaw perbendaharaan Myanmar Hulu mengalami masalah kekurangan sumber pendapatan. Sebagai menyelesaikan masalah tersebut, Raja Thibaw meningkatkan cukai terhadap golongan masyarakat.[2]

Dari segi pentadbiran, Raja Thibaw menambahkan jumlah jabatan dalam Hluttaw daripada empat menjadi empat belas. Satu unit pentadbiran baharu di peringkat daerah, iaitu khayaing dibentuk mengikut model pentadbiran British di India. Tujuannya adalah untuk memusatkan pentadbiran di istana Myanmar Hulu. Myanmar Hulu dibahagikan kepada sepuluh daerah di
bawah Menteri Daerah. Raja Thibaw juga memperkenalkan jawatan Myo-ok mengikut sistem pentadbiran yang diamalkan oleh British di Myanmar Hilir.[3]
Dasar Luar Raja Thibaw
Hubungan dengan Perancis dan British
      Raja Thibaw mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa Perancis sebagai usaha untuk menangani ancaman dan kemaraan British. Beliau memahami bahawa British tidak senang dengan kehadiran Perancis di Annam dan Tongking. Beliau telah bertindak menjalinkan perjanjian perdagangan dengan Perancis dan menghantar wakilnya, Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885. Sebenarnya, Raja Thibaw ingin membeli senjata dari Perancis.

      British mendapat tahu tentang usaha Raja Thibaw tersebut. Duta British telah menemui dengan wakil Perancis, Fules Ferry dan menyatakan British akan menggunakan kekerasan ke atas Myanmar sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara senjata ini. Pihak Perancis telah memberi jaminan bahawa isu senjata tidak disentuh dalam perjanjian dengan Myanmar kerana yang ditandatangani hanyalah perjanjian perdagangan yang tidak mengandungi apa-apa implikasi politik atau bantuan ketenteraan kecuali wakil Perancis akan ditempatkan di Mandalay.[4]

       Perancis melalui wakilnya, Frederic Haas pernah menasihati Raja Thibaw supaya mengeratkan hubungan dengan British. Raja Thibaw tegas dengan pendirian tidak mahu menerima semula Residen British.Raja Thibaw berpendapat beliau boleh menangani kekuasaan British dengan bantuan Perancis. Oleh itu, beliau banyak memberi keistimewaan seperti kebenaran menubuhkan bank di Mandalay kepada pihak Perancis. Pembinaan jalan kereta api dari Mandalay ke Toungoo adalah atas pembiayaan Perancis.

Terdapat khabar angin bahawa orang Perancis akan mengambil alih pengurusan hak monopoli diraja, mengawasi perkhidmatan pos, menjalankan kapal-kapal di Sungai Irrawady, dan dapat menyewa lombong-lombong batu delima. Semua perkara tersebut membimbangkan pihak British di Myanmar Hilir. Yang memburukkan Iagi hubungan Raja Thibaw dengan British ialah berita yang menyatakan bahawa Perancis akan menghantar senjata ke Myanmar sebaik sahaja keamanan di Tongking berjaya dipulihkan.[5]

Tindakan Raja Thibaw terhadap Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar
Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar mengusahakan perdagangan kayu jati di kawasan Myanmar Hulu. Raja Thibaw yang tidak menyukai British telah mengambil tindakan terhadap syarikat ini dengan mengemukakan perkara berikut terhadap syarikat tersebut:
(a) Mengeluarkan kayu jati melebihi dua kali ganda daripada yang
dibenarkan.
(b) Memberi rasuah kepada pegawai kerajaan.
(c) Tidak memberi upah yang sewajarnya kepada pekerja-pekerja Myanmar seperti yang dijanjikan.
Syarikat ini didenda sebanyak 23 juta rupee dan ini menyebabkan pihak British berasa tidak berpuas hati walaupun penipuan syarikat tersebut agak benar seperti yang dibuktikan oleh Majlis Hluttaw.British dengan segera meminta diadakan rundingan tetapi Raja Thibaw menolaknya kerana beliau yakin Perancis akan menyokong dan membantu Myanmar dalam saat-saat seperti itu. Akan tetapi, pada bulan September, Freycinet (menggantikan fules Ferry) telah mengubah dasar Ferry dengan serta-merta. Raja Thibaw terpaksa menghadapi sendiri masalahnya dengan pihak British.

British menganggap hukuman Raja Thibaw terhadap syarikat tersebut tidak adil lalu bersiap sedia untuk bertindak secara kekerasan terhadap Myanmar. Duta Myanmar di Perancis dan duta China di London cuba menawarkan diri untuk berunding tetapi British enggan.British menghantar kira-kira 10 000 orang tentera ke Myanmar. British memberi kata dua supaya Raja Thibaw mencari orang tengah bagi menyelesaikan masalah Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar dan pada masa hadapan dasar luar Myanmar akan ditentukan oleh kerajaan British. Raja Thibaw diberi tempoh masa sehingga l0 November 1885 untuk memberi jawapan.[6]
Raja Thibaw membalas dengan reaksi berikut:
(a) Bersetuju menerima wakil British.
(b) Meneruskan hubungannya dengan Perancis.
(c) Memberi hak perdagangan yang sama kepada semua kuasa Barat.British tidak puas hati dengan jawapan Raja Thibaw lalu mengisytiharkan perang ke atas Myanmar Hulu pada 11 November 1885. British berjaya menakluki Myanmar Hulu pada 1 Januari 1886.Kejayaan ini menyebabkan Myanmar menjadi tanah jajahan British sepenuhnya.[7]




[1] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar,2014) ,310.  
[2] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2013),326.
[3] Ibid,326.
[4] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2014),324.
[5] Ibid,325.
[6] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2013),327.
[7]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, 311.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan