NAZARUDIN
SHAHARI | 17 September 2016 12:12 AM
PASUKAN Pilihan
Harimau Malaysia (kanan) dan Dugong All Stars bergambar bersama logo baharu
Harimau Malaysia sebelum memulakan perlawanan amal sempena Hari Malaysia di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban semalam. UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 16 Sept.
- Skuad Harimau Malaysia mendapat logo baharu secara rasmi hari ini apabila
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan logo baharu itu sempena Hari
Malaysia hari ini.
Logo bermotifkan
kepala harimau itu diperkenalkan sebelum sepak mula Perlawanan Amal Hari
Malaysia 2016 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban. Serentak dengan itu,
lagu rasmi Harimau Malaysia berjudul ‘Launglah’ turut diperdengarkan secara
rasmi kepada umum.
Logo rekaan
pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti
Teknologi Mara, Puncak Alam, Muhammad Amzar Mohamed, 22, telah mendapat undian
tertinggi dalam undian awam yang dibuat secara dalam talian selama 13 hari
mulai 22 Mac lalu.
Logo tersebut
adalah dalam kalangan lima logo terbaik yang dipilih panel penilai profesional
pada 8 Mac lalu daripada 2,000 penyertaan diterima sepanjang peraduan mencipta
logo Harimau Malaysia pada Februari lalu.
Logo baharu itu
juga diterjemahkan dalam bentuk produk Official Supporters Merchandise yang
boleh dibeli di laman web rasmi Harimau Malaysia www.harimaumalaysia.my bermula
hari ini.
Mengulas mengenai
logo dan lagu untuk Harimau Malaysia itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri
Affandi Hamzah berkata, pelancaran logo dan lagu baharu itu adalah proses
menambah baik penjenamaan semula pasukan kebangsaan.
Beliau berkata,
logo baharu itu akan digunakan untuk jersi dan barangan cenderamata pasukan
kebangsaan.
“Kami juga harap
ini dapat meningkatkan semangat pasukan kebangsaan dalam perlawanan akan
datang.
“Peminat juga
berpeluang membeli pelbagai cenderamata dengan logo baharu yang mula dijual,”
katanya dalam sidang akhbar selepas program berkenaan yang turut dihadiri
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Sempena program
semalam, satu perlawanan bola sepak amal telah diadakan antara pasukan Pilihan
Harimau Malaysia menentang pasukan Dugong All Stars yang disaksikan oleh lebih
10,000 penonton.
Pilihan Harimau
Malaysia di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee membariskan
bekas pemain kebangsaan antaranya Datuk Soh Chin Aun, Dollah Salleh, B.
Sathianathan, Khalid Ali, Lim Chan Yew, Mehmet Durakovic dan Annuar Abu Bakar.
Pasukan Dugong
All Stars yang dikendalikan bekas penyerang kebangsaan dan jurulatih Azman
Adnan membariskan pemain dalam kalangan penyampai radio ERA fm, Johan, Hanif,
Ray dan Radin serta artis-artis tempatan seperti Black, Tomok, Akim, Zahid dan
Achey.
Dalam perlawanan
itu, pasukan pilihan Harimau Malaysia menewaskan Dugong All Stars 3-1.
Hasil jualan
tiket perlawanan amal itu akan disumbangkan kepada Pakatan Pemuliharaan Harimau
Malaysia (MYCAT) untuk meneruskan usaha-usaha pemuliharaan harimau di negara
ini.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/logo-baharu-dilancar-1.383564#sthash.BgPTKdFR.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan