Rabu, 14 September 2016

Patut letak jawatan -- PM: Saya tidak terkejut keputusan Gabenor Bank Negara

ARKIB : 30/08/1998
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Tan Sri Ahmad Mohamed Don sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (Bank Negara) lebih awal lagi.

Kata Perdana Menteri: ''Saya sama sekali tidak terkejut dengan peletakan jawatannya kerana beliau sepatutnya dari dulu lagi berbuat demikian.

''Beliau (Ahmad) tahu kami tidak bersetuju dengan semua dasar-dasar yang dikemukakannya tetapi beliau memilih untuk tidak meletak jawatan dari awal lagi.

''Dia berbuat demikian sekarang. Sudah tentulah beliau mempunyai sebab-sebabnya sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan mengenai produk dan perkhidmatan kewangan Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri mengulas pengumuman Kementerian Kewangan semalam, mengenai peletakan jawatan Ahmad dan timbalannya, Datuk Fong Weng Phak, mulai 1 September ini.

Serentak dengan itu, Penolong Gabenor, Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pemangku Bank Negara berkuat kuasa mulai tarikh yang sama.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai punca peletakan jawatan itu, Dr. Mahathir menjawab: ''Mereka mahu berhenti, menurut akhbar ia disebabkan oleh perselisihan faham (mengenai dasar kewangan), jadi saya fikir saya menerimanya.''

''Memang kami mempunyai percanggahan pendapat, misalnya kerajaan tidak pernah bersetuju dengan idea menaikkan kadar faedah dan mengurangkan kredit yang mengakibatkan penguncupan ekonomi.

''Dan kita lihat pada pencapaian ekonomi suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini, penguncupan ekonomi negara semakin bertambah buruk daripada apa yang kita jangkakan.

''Jika rakyat tidak mempunyai wang untuk menjalankan perniagaan bagaimana hendak mengharapkan ekonomi negara berkembang?'' soal beliau.

Malaysia mencatat pertumbuhan -2.8 peratus pada suku pertama.

Mengenai sama ada beliau (Ahmad Don akan dipujuk supaya kembali, Dr. Mahathir berkata: ''Tidak, tidak.''

Ditanya sama ada Dr. Zeti akan dilantik sebagai Gabenor Bank Negara, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak memikirkan soal itu lagi atau calon penggantinya.

''Dr. Zeti pada masa ini bertindak selaku pemangku gabenor, kita perlukan gabenor bagi menguruskan soal-soal berkaitan perundangan,'' ujarnya.

Bagaimana akhbar hari ini memetik sumber perbankan berkata, beberapa tokoh telah disebut-sebut akan dilantik ke jawatan itu. Antara mereka ialah Presiden Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Mohd. Hassan Marican, Pengarah Urusan Maybank, Amirsham A. Aziz dan Pengerusi Eksekutif PriceWaterhouseCoopers, Datuk Raja Arshad Raja Tun Uda.

Mengenai desas-desus bahawa kerajaan akan memanggil mesyuarat kabinet tergempar minggu depan bagi membincangkan kegawatan ekonomi yang semakin buruk, Dr. Mahathir berkata, pada masa ini, ia tidak benar.

''Tentulah pada bila-bila masa, kabinet harus bersedia untuk dipanggil jika ada masalah yang perlu diselesaikan,'' katanya.

Ditanya sama ada wujud keadaan yang mendesak untuk memanggil mesyuarat kabinet, Perdana Menteri berkata, keadaan sekarang tidak begitu menekan.

''Tetapi kita tidak tahu apa akan terjadi kerana ekonomi dunia kelihatan sudah rebah dan ''pengacau ini'' (menace- panggilan George Soros terhadap Dr. Mahathir) masih di sini untuk mengacau negara ini,'' katanya.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KHgmjtaf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan