Rabu, 14 September 2016

Konvoi 2,713 Proton dalam rekod Guiness

ARKIB : 31/08/1998
 
LAMBANG PERPADUAN... Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam mengetuai konvoi 2,713 kereta Proton pelbagai model merentasi Jambatan Pulau Pinang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-41.
Perdana Menteri memandu sendiri Proton Wira daripada model yang pernah dilepaskan di Kutub Utara oleh pasukan ekspedisi terjun bebas Malaysia. Beliau ditemani oleh Pengerusi Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd. Saleh Sulong dalam kereta itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut menyertai konvoi di dalam sebuah kereta lain bersama isteri Salleh, Puan Sri Akmal Abdul Salam.

Konvoi kereta sejenis yang dianggap terpanjang di dunia itu dilepaskan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Plaza Tol Perai kira-kira pukul 5.20 petang.

Turut sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

* SEBAHAGIAN daripada deretan kereta Proton yang menyertai acara merentasi Jambatan Pulau Pinang sempena Hari Kebangsaan di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Ogos - Konvoi 2,713 kereta Proton yang merentasi Jambatan Pulau Pinang bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-41 dijangka dirakamkan dalam Malaysia Book of Records dan Guiness Book of Records.

Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON) Berhad, Datuk Adzmi Abdul Wahab berkata, pihaknya akan berusaha memastikan supaya catatan sejarah yang menarik itu dapat dirakamkan dalam kedua-dua buku tersebut.

Beliau berkata, walaupun secara rambang, catatan tersebut sudah menempa sejarah, pihaknya terpaksa mengemukakan permohonan untuk menyenaraikan pencapaian terbaik itu dalam kedua-dua buku berkenaan.

''Ini catatan penting kerana kita berjaya melepasi angka 1,998 untuk menjadikan konvoi kereta Proton yang terpanjang membuat perjalanan melebihi 10 kilometer.

''Sebelum ini, konvoi kereta paling panjang adalah kurang daripada angka yang kita berjaya catatkan serta pelbagai jenis,'' kata beliau di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Konvoi mengandungi kereta jenis Proton daripada pelbagai model seperti Proton Saga, Iswara, Wira, Satria dan Perdana itu diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang turut memandu sendiri sebuah kereta Proton.

Menurut Adzmi, konvoi tersebut diadakan sebagai simbolik sokongan rakyat Malaysia kepada kerajaan dalam mengatasi kegawatan ekonomi.

Adzmi berkata, para peserta konvoi yang dikenakan bayaran RM100 sebagai pendaftaran juga berpeluang memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta Proton Iswara Aeroback 1.3s sekiranya mereka berjaya mencipta slogan terbaik dalam penyertaan mereka.

''Lain-lain hadiah ialah wang tunai RM5,000 untuk hadiah pertama, RM3,000 bagi pemenang kedua dan 24 hadiah sagu hati bernilai RM500,'' kata beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4KHxwOSGP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan