Rabu, 14 September 2016

Gerhana matahari terakhir abad 20

ARKIB : 17/08/1998
GERHANA matahari Anulus yang akan terjadi pada 22 Ogos ini adalah gerhana matahari terakhir abad ini di rantau Asean.

Dua gerhana matahari selepas ini ialah gerhana matahari Anulus yang akan melintasi benua Australia pada 16 Februari tahun depan dan diikuti pada 11 Ogos, tahun yang sama, melintasi Eropah.

Pada pagi 22 Ogos ini, sebahagian daripada negara kita (sebahagian Semenanjung, Sabah dan Sarawak) akan mengalami peristiwa gerhana Anulus dan pada masa yang sama, bahagian lain negara kita akan mengalami peristiwa gerhana matahari separa.

Kedudukan matahari ketika terjadi gerhana ialah di arah Timur.

Ketika berlakunya gerhana ini, kita juga dijangka berpeluang untuk melihat objek-objek langit yang lain seperti dua planet yang terang iaitu Zuhrah (18 darjah dari matahari) dan Musytari (berhampiran ufuk barat).

Menurut Pengarah Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA), Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman, gerhana Anulus akan bermula di Lautan India, seterusnya merentasi Pulau Sumatera, Semenanjung Malaysia, Laut China Selatan, Sarawak, Kalimantan, Laut Sulawesi, Laut Maluku, Kepulauan Melanesia dan akan berakhir di Lautan Pasifik.

Katanya, panjang bayangan laluan gerhana (dari awal hingga akhir) dianggarkan berjarak 13,500 km. Ketika melintasi Semenanjung Malaysia dan Sarawak, lebar bayangan gerhana dianggarkan 131 km.

Gerhana matahari Anulus terjadi apabila kedudukan bulan berada tepat di hadapan matahari, namun saiznya tidak cukup besar untuk menutupi keseluruhan cakera matahari.

Ini akan menyebabkan sebahagian sinaran matahari seakan-akan berbentuk cincin masih kelihatan. Kedudukan matahari pada kejadian itu adalah di sekitar ufuk timur, iaitu kedudukan ketika matahari terbit.

Gerhana matahari Anulus ini boleh dilihat di Melaka dan Muar, Labis, Mersing, Jemaluang dan Pulau Tinggi di Johor, manakala di Sabah, ia boleh dilihat di Labang dan Tubau.

Di Sarawak pula, ia boleh dilihat di Long Akah dan Bintulu.

Menurut Dr. Mazlan, dua kaedah langsung boleh digunakan untuk mencerap gerhana Anulus iaitu menggunakan teleskop yang dilengkapi penuras matahari di depan kanta objektifnya dan menggunakan mata kasar melalui penuras matahari yang selamat.

Orang ramai yang ingin mencerap dinasihatkan TIDAK menggunakan penuras matahari yang disenaraikan di bawah kerana ia boleh merosakkan mata akibat sinaran infra merah:

* Filem hitam putih yang tidak mengandungi emulsi perak
* Filem slaid berwarna
* Filem negatif berwarna
* Cermin mata gelap (sunglases)
* Penuras fotografi ND
* Kepingan gelas berasap
* Kepingan cakera padat (CD-ROM)
* Plastik hitam untuk sampah
* Filem sinar x- yang mengandungi gambar diagnosis.

Secara umumnya, kejadian gerhana matahari berlaku apabila matahari yang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap cahayanya, sebahagian atau keseluruhannya kerana dihalang oleh kedudukan yang berada diantara matahari dan bumi.

Ketika berlakunya fenomena ini, kedudukan bulan, matahari dan bumi berada dalam satu garisan lurus.

Sementara itu orang ramai yang ingin menyaksikan gerhana matahari Anulus pada Sabtu 22 Ogos ini antara pukul 7 hingga 10 pagi dijemput hadir ke Planetarium Negara dan Pusat Membina Semangat Sekakap Mersing, Johor.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian-kejadian gerhana, mereka juga boleh mengunjungi halaman web di alamat; http://sunearth.gsfc.nasa.gov/eclipse/eclipse.html

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm#ixzz4KFTQM4Dm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan