ARKIB : 04/09/1998
Hari ini bermulalah cuti
penggal kedua yang disusun khusus sempena Sukan Komanwel XVI, menjanjikan
kemeriahan berganda kepada murid dan guru untuk melepaskan ketegangan akademik
dan tugas rutin.
Cuti kali ini berlangsung
selama 19 hari, selepas bersekolah selama 79 hari sejak cuti singkat pada Mei
lalu.
Bagi warga pendidik, inilah
masanya mereka menunjukkan komitmen kepada negara dengan menganjurkan rombongan
menyaksikan pelbagai acara padang dan balapan, akuatik, gimrama, menembak dan
15 jenis sukan lain bertaraf dunia.
Inilah juga ketikanya guru-guru
di pedalaman memberi pendedahan sambil menceritakan kepada anak-anak murid
mengenai pencapaian membanggakan negara yang mendapat pengiktirafan dunia.
Lebih 6,000 atlet dari 70
negara Komanwel akan membanjiri Kuala Lumpur untuk menyertai sukan kedua
terbesar selepas Olimpik itu.
UPSR bermula pada 1 September
sehingga 3 September yang diduduki 474,624 murid tahun enam dari seluruh
negara.
Sudah tiba masanya menonton
secara langsung nama-nama tersohor dalam bidang sukan seperti pelari pecut
Namibia, Frankie Fredericks, jaguh 100 meter dunia dan pesaingnya, Ato Bolden -
juga jaguh pecut 100 meter dari Kanada.
Tinjauan Utusan Pendidikan di
beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur mendapati guru dan murid mula merasai
bahang cuti penggal persekolahan yang diawalkan tahun ini, walaupun UPSR baru
selesai.
Persekolahan penggal ketiga
akan bermula pada 22 September ini. Tinjauan juga mendapati guru dan murid
tidak merungut menghadapi peperiksaan UPSR yang diawalkan itu.
Malah mereka gembira kerana
cuti penggal kedua itu memberi peluang kepada mereka menjayakan KL '98 yang
bermula 11 September ini.
Tinjauan di sekitar ibu negara
mendapati keriangan jelas terpancar di wajah pendidik dan murid, termasuk calon
UPSR dan guru tahun enam.
Setelah gigih berusaha, inilah
masanya untuk meraikan KL '98. Walau ada rungutan ekoran pindaan jadual UPSR
yang dipercepatkan ekoran Kuala Lumpur '98, tinjuan Utusan Pendidikan mendapati
segala-galanya berjalan lancar pada hari pertama, tanpa timbul masalah-masalah
teknikal atau faktor kelalaian manusia.
Malah ada yang meramalkan
sekolah masing-masing akan mencatat keputusan lebih cemerlang tahun ini.
Misalnya, di Sekolah Kebangsaan
(SK) Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, sepuluh calon sekolah itu akan mendapat
keputusan cemerlang 5A.
Guru Besarnya, Rasidah Taib, berkata
keputusan peperiksaan percubaan UPSR baru-baru ini menunjukkan peningkatan
jumlah calon cemerlang UPSR 1998.
''Hanya dua calon UPSR mendapat
5A pada peperiksaan tahun lalu.
''Berdasarkan keputusan
peperiksaan percubaan tiga kali, saya jangka di antara lapan dan 10 calon UPSR
mendapat keputusan cemerlang 5A,'' katanya.
Sebanyak 474,624 murid tahun
enam di sekolah rendah seluruh negara menduduki peperiksaan itu tahun ini.
Peperiksaan diadakan tiga hari bermula 1 September lalu dan daripada jumlah itu,
471,698 murid atau 99.4 peratus adalah calon sekolah kerajaan manakala 2,926
calon sekolah swasta.
Tahun lalu sebanyak 470,876
calon menduduki peperiksaan itu. Katanya, program meningkatkan pencapaian
akademik murid sekolah itu diadakan dengan kerjasama Umno Bahagian Bukit
Bintang menerusi program pendidikan Nadi, MCA (Projek Langkawi) dan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (menyediakan sagu hati kepada guru kelas tambahan).
Sementara itu, sebanyak 217
murid SK Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur menduduki peperiksaan UPSR
tahun ini.
Murid tahun enam, Ahmad Hariz
Ahmad Badruddin, 12, berkata beliau yakin mendapat 5A pada peperiksaan itu.
''Saya mendapat 4A dan 1B pada
peperiksaan percubaan UPSR lalu. Saya yakin dapat 5A kerana sudah bersedia,''
katanya yang tidak sabar menunggu cuti sekolah untuk menyaksikan acara balapan
KL '98.
Murid kelas lompat, H. Darshini,
11, berkata dia boleh mengikuti pelajaran dengan baik di kelas walaupun berusia
muda setahun daripada rakan sekelas lain.
''Saya mengikuti kelas tuisyen
selama dua jam setiap hari.
''Selain itu, saya juga
mengadakan latihan berterusan bagi mata pelajaran Matematik dan Sains,''
ujarnya.
Siti Sadjatul Dora Mazlan,12,
memperolehi 3A dan 2B pada peperiksaan percubaan UPSR lalu dan berharap dapat
5A pada peperiksaan sebenar.
Oleh: ROHANA MAN
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm#ixzz4KJiHgTuq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan