Rabu, 14 September 2016

PM ketuai konvoi rentasi Jambatan Pulau Pinang

ARKIB : 18/08/1998
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan mengetuai konvoi memandu kereta nasional Proton menyeberangi Jambatan Pulau Pinang pada 30 Ogos ini.

Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Datuk Adzmi Abdul Wahab berkata acara konvoi ''EON-Jambatan Pulau Pinang Pandu Proton Merdeka'' itu ialah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-41 yang akan diadakan di Pulau Pinang.

''Konvoi sepanjang 10 kilometer membabitkan 1,998 kereta Proton itu merupakan konvoi kereta sejenama yang terpanjang di dunia, iaitu jenama Proton Buatan Malaysia. Ia akan mengukir satu lagi kejayaan negara dalam Malaysia Book of Records dan juga Guiness Book of World Records, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adzmi berkata acara konvoi yang terbuka kepada semua pemilik Proton itu bertujuan merangsangkan lagi semangat Malaysia Boleh serta memaparkan keunggulan semangat muhibah di kalangan rakyat dalam menghadapi suasana kelembapan ekonomi semasa.

Katanya dengan bayaran penyertaan serendah RM100 seorang, pemilik Proton juga berpeluang memenangi sebuah Proton Iswara Aeroback baru tajaan EON bernilai RM30,000, sebanyak 26 hadiah wang berjumlah RM20,000 dan beberapa hadiah sagu hati pihak penaja.

Beliau berkata anggota jemaah menteri serta orang kenamaan negeri diketuai Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dijangka turut serta dalam konvoi itu.

Adzmi berkata borang penyertaan konvoi itu boleh diperoleh di semua dewan pameran EON dan wakil pengedar bertauliah, pusat-pusat servis EON, dewan pameran EON Motor Ria serta agensi bertauliah.

Semua borang yang lengkap diisi bersama wang penyertaan boleh diserahkan kepada pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam atau cawangan penjualan EON.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 12 tengah hari, 25 Ogos ini. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4KH75zi2U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan