ARKIB : 31/07/1998
WANITA yang dibesarkan di zaman
kolonial memiliki sumber pengalaman yang begitu berharga sekali untuk dijadikan
panduan terutama sekali dalam pembentukan identiti diri wanita zaman sekarang.
Persepsi dan pola-pola sosialis
yang diterima oleh wanita yang dibesarkan di zaman kolonial menunjukkan mereka
dikelompokkan sebagai golongan wanita yang bersekolah aliran agama, Melayu dan
tidak bersekolah.
Kajian tertumpu kepada
bagaimana persepsi yang mereka rasai melalui bentuk sosialis yang diterima
sewaktu mereka berada di tahap kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Demikian menurut Pensyarah
Jabatan Psikologi Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Asma Bee Mohd. Noor ketika membentangkan kertas
kerja bertajuk Persepsi dan Pola-pola Sosialis Wanita di Zaman Kolonial.
Asma berkata demikian pada
Seminar Kedudukan Citra dan Identiti Wanita Melayu Zaman Kolonial anjuran
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), baru-baru ini.
Menurutnya, hasil kajian
mendapati wanita yang bersekolah aliran agama melalui proses perkembangan dan
pertumbuhan yang lebih baik berbanding wanita tidak bersekolah dan bersekolah
Melayu.
''Perkahwinan tidak memberikan
ruang untuk wanita yang dibesarkan di zaman kolonial membentuk identiti diri
sendiri, mereka masih berada di bawah kawalan keluarga,'' katanya.
Asma memberitahu, wanita yang
dibesarkan di zaman kolonial mempunyai persepsi yang pelbagai berhubung dengan
proses sosialis yang diberikan kepada anak-anak masa kini.
Anak-anak mereka lebih terdedah
kepada pelbagai bentuk kemudahan yang boleh sama ada menimbulkan kesukaran atau
boleh juga menyenangkan proses sosialis yang diberikan.
Sosialis merupakan satu proses
asas yang harus diterima oleh setiap individu untuk menjadi ahli dalam sesebuah
masyarakat selepas melalui beberapa proses sosialis.
Individu akan belajar dan
memperolehi cara gaya bertingkah laku pembentukan sikap, nilai, kepercayaan,
peranan dan jangkaan yang telah ditetapkan oleh masyarakat.
Wanita zaman kolonial mula
memasuki sekolah pada peringkat umur yang berbeza-beza kerana di sekolah agama
tiada sekatan umur untuk individu sementara bagi sekolah Melayu kebanyakannya
masuk pada umur 6 1/2 hingga 7 tahun.
Tujuh puluh peratus wanita
bersekolah agama terdiri daripada ayah yang berpendidikan agama sementara yang
bersekolah Melayu kebanyakan ayah mereka tidak pernah ke sekolah.
Mereka juga berkahwin pada usia
awal iaitu sekitar 13 hingga 18 tahun, kesemua perkahwinan ditentukan oleh
keluarga termasuk saudara mara walaupun telah mengenali bakal suami.
Pada zaman remaja wanita-wanita
ini tidak memakai pakaian yang dilarang oleh agama tetapi baju kurung dan kain
kelubung di kepala menjadi pakaian rasmi.
Jiran, adik beradik dan sepupu
merupakan teman sebaya paling akrab pada zaman itu, mereka tidak bergaul dengan
teman sebaya berlainan jantina. Berbual-bual dengan teman sebaya berlainan
jantina adalah dilarang.
Enam puluh peratus daripada
wanita zaman kolonial menyatakan sukar untuk mendidik anak-anak sekarang kerana
anak-anak didapati tidak seperti mana waktu di zaman mereka dibesarkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KBoNTX4l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan