Selasa, 13 September 2016

Memperingati pahlawan

ARKIB : 31/07/1998
HARI ini tidak banyak yang boleh diceritakan kepada generasi muda bagi menggambarkan keadaan sebenar penderitaan dan pengorbanan anggota tentera dalam membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah dan musuh negara.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila tanda-tanda dan bukti perjuangan bekas perajurit negara semakin hilang saban hari kerana ditelan arus kemajuan pembangunan fizikal dan kepesatan taraf hidup masyarakat.

Bahkan mereka yang selama ini kental dengan semangat waja menentang musuh negara juga semakin hari semakin lemah dicengkam kedut usia dan hanya menjadi penunggu kepada hari-hari mendatang. Siapa lagi hari ini yang mampu menandingi perjuangan dan pengorbanan pahlawan negara ketika menentang tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua dahulu?

Atau sekurang-kurang mewarisi semangat keberanian mereka tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri dan keluarga tercinta?

Para pahlawan terbabit tentu sekali tidak bermaksud supaya generasi muda mengisi kemerdekaan yang mereka cipta dengan mengangkat senjata menentang musuh seperti mana yang dilakukan dahulu.

Tiada apa-apa balasan atau ganjaran yang mereka pinta sebenarnya, selain agar maruah negara dijaga dan ditatang dengan jiwa raga yang tidak berbelah bahagi. Bagi menggambarkan hasrat dan cita-cita itu, tahun ini Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) telah membuat perubahan baru dengan menukarkan pendekatan daripada Rayuan Hari Pahlawan kepada Kempen Hari Pahlawan.

Perubahan di bawah pimpinan baru PBPM, Datuk Muhammad Ghani itu lebih bererti memandangkan skop mengingati jasa pahlawan bukan setakat mengumpulkan sebanyak mungkin sumbangan dan derma wang ringgit tetapi menghayati apa yang tersirat di sebaliknya. Tidaklah nanti apabila tiba Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun, para ibu bapa sekadar membekalkan anak-anak mereka dengan tambahan wang saku bagi tujuan derma tanpa bertanya apa-apa berkaitan mengenainya.

''Kita tidak mahu PBPM hanya dianggap sebagai badan yang hanya bergerak untuk mengutip derma melalui bantuan ehsan daripada orang ramai''.

''Kempen Hari Pahlawan mempunyai pengertian yang besar iaitu supaya masyarakat umum mengingati dan menghayati pengorbanan bekas tentera terhadap negara,'' katanya.

Beliau menegaskan, generasi muda tidak seharusnya melupakan jasa-jasa para pahlawan kerana nikmat keamanan dan kemajuan hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan mereka.

Peringatan Hari Pahlawan oleh kebanyakan negara di dunia sebenarnya telah bermula selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.

Ia merupakan hari kemenangan dan hari memperingati ribuan nyawa yang terkorban selain kecacatan akibat kecederaan melalui peperangan tersebut.

Walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan tanpa peperangan yang sengit atau pertumpahan darah sepertimana lain-lain negara namun bukan sedikit wira-wira negara gugur di perbatasan dalam menghadapi serangan Jepun atau menentang kemaraan komunis yang cuba mengambil kesempatan di atas kekalahan British di Asia Tenggara.

Hari Pahlawan diisytiharkan oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pada 31 Julai 1960 iaitu bersempena tamatnya tempoh darurat di negara ini.

Kebiasaannya aturcara majlis memperingati Hari Pahlawan dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan upacara utama seperti majlis perbarisan dan kalungan bunga di Tugu Negara, majlis tahlil dan sebagainya lagi.

Kempen Hari Pahlawan untuk mengutip sumbangan derma pula dilakukan sepanjang bulan Ogos bagi mengisi Tabung Kebajikan PBPM. Tabung derma tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah termasuk kepada badan-badan swasta.

Jawatankuasa pusat kempen itu dinaungi oleh Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan dipengerusikan oleh Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan. Manakala ahli-ahli jawatankuasa adalah terdiri daripada wakil-wakil kerajaan negeri dan Yang Dipertua PBPM Negeri-negeri.

Kempen tersebut seharusnya disertai oleh segenap lapisan masyarakat termasuk syarikat-syarikat korporat, ahli-ahli perniagaan serta kakitangan kerajaan dan swasta untuk sama-sama memberikan sumbangan mengisi tabung kebajikan persatuan yang kini mempunyai ahli kira-kira 200,000 orang.

Sumbangan sebenarnya adalah simbolik bagi memperingati pahlawan negara selain sebagai penghargaan di atas jasa yang mereka curahkan.

Kempen juga sewajarnya dihayati bagi menanamkan semangat cintakan negara sama seperti kempen kibarkan jalur gemilang yang dianjurkan setiap tahun.

Tabung Kebajikan PBPM merupakan tabung khas untuk menyalurkan bantuan kebajikan kepada ahli-ahli yang kurang upaya akibat kecacatan dari kecederaan semasa bertugas atau lain-lain keuzuran.

Begitu juga tabung digunakan untuk membantu balu-balu yang kematian suami serta anak-anak yatim yang kehilangan bapa akibat terkorban semasa bertugas.

Di samping itu, bantuan juga dikeluarkan untuk membiayai bayaran pendidikan kepada anak-anak ahli yang kurang mampu dengan melalui biasiswa kecil dan pinjaman memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Tabung turut digunakan untuk membeli anggota palsu bekas anggota tentera yang cacat atau menyumbangkan kerusi roda serta bantuan pembayaran pelbagai rawatan perubatan. Bantuan dari Tabung Kebajikan itu tentunya memberikan makna yang begitu besar kepada bekas perajurit dan keluarga masing-masing bagi memastikan mereka tetap terbela dan tidak tersisih begitu sahaja daripada arus kemajuan negara sepertimana yang dinikmati oleh orang lain.

Generasi muda pula terutamanya anak-anak bekas perajurit sendiri diharap akan menyedari bahawa profesion sebagai perajurit adalah bidang pekerjaan mulia dan disanjung oleh masyarakat baik ketika hidup mahupun ketika mati mereka.

Melalui Kempen Hari Pahlawan juga sekurang-kurangnya dapat membina suatu gambaran positif dalam menarik minat anak-anak muda untuk menyertai Angkatan Tentera baik di cabang perkhidmatan Tentera Darat, Laut atau Udara.

Dengan itu, kesinambungan pertahanan negara akan kekal jitu selama-lamanya dan tidak timbul masalah kekurangan generasi baru sebagai pelapis yang akan menggantikan barisan lama dalam Angkatan Tentera.

Muhammad ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, PBPM dalam kempen tahun ini akan melancarkan buku catatan kecil sebagai kenangan dan penghargaan di atas sumbangan orang ramai kepada Tabung Kebajikan.

Katanya, buku kecil itu adalah sumbangan balas PBPM kepada orang ramai.

''Kita tidak lagi mahu sekadar meminta-minta tetapi turut memberikan sesuatu sebagai kenangan dan tanda ingatan abadi,'' ujar beliau.

Muhammad mengulangi tekad untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan kemajuan diri bekas tentera.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan nasib anggota tentera selepas menamatkan perkhidmatan memberitahu, peratusan bekas tentera yang berjaya membina semula kerjaya selepas perkhidmatan amat kecil sekali.

''Hasrat kita, mereka ini tidak lagi diberikan bantuan daripada Tabung Kebajikan sebaliknya diberikan pendedahan bagaimana membina kerjaya diri dengan cemerlang dan kemudian membantu ahli-ahli yang lain menjadi seperti mereka,'' katanya.

Sudah sampai masanya ahli-ahli PBPM berganding bahu mengembangkan kedudukan persatuan dan tidak lagi bergantung kepada jumlah kutipan derma semata-mata demi membina imej dan persepsi masyarakat masa kini dan akan datang.

Hari Pahlawan adalah salah satu simbol kebesaran negara. Umumnya rakyat hari ini perlu menyedari bahawa nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemajuan hari ini tidak ternilai harganya untuk dibayar kepada sesiapa.

Sebarang maklumat mengenai sumbangan Hari Pahlawan boleh dikemukakan kepada PBPM di alamat: Tingkat 3, Wisma Pahlawan, Jalan Sulaiman, Peti Surat 12447, 50778 Kuala Lumpur atau telefon, 03-2723932.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4KBpO9wf5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan