Ahad, 25 September 2016

Partai Nasional Indonesia

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Latar Belakang
Pada tahun 1922, sekumpulan pelajar Indonesia di Holland telah menubuhkan Perhimpunan Indonesia. Setahun kemudian, Perhimpunan Indonesia telah menegaskan rancangan mereka untuk berjuang ke arah kemerdekaan negara. Untuk mencapai hasrat tersebut, Perhimpunan Indonesia menggabungkan usaha semua golongan masyarakat Indonesia dan menjalankan dasar tidak bekerjasama dengan kerajaan Belanda. Perhimpunan Indonesia bersifat agresif dan radikal sejak penubuhannya di Holland.[1]

Perhimpunan Indonesia berjaya mendapat sokongan ramai kerana memperjuangkan kemerdekaan. Antara tahun 1923 dan 1927, ahli-ahli Perhimpunan Indonesia yang pulang ke Indonesia telah menubuhkan kelab-kelab pelajar di beberapa buah bandar. Kelab tersebut menjadi pusat perbincangan dan saluran idea perjuangan Perhimpunan Indonesia. Dalam kalangan kelab yang ditubuhkan, Kelab Pelajar Bandung yang paling aktif. Dari kelab tersebut, Soekarno mengambil inisiatif menubuhkan Perserikatan Nasional Indonesia pada 4 Jun 1927.

Perserikatan Nasional Indonesia kemudian menukar namanya kepada Partai Nasional Indonesia (PNI). Soekarno ialah pemimpin utama, dibantu oleh pemimpin lain seperti Iskaq Tjokrohadisoerjo, Dr. Tjipto Mangunkusumo, Ir. Anwari, Ali Sastroamidjojo, dan Sunarjo.
Sebab dan Matlamat Penubuhan
Mulai tahun 1927, peranan PNI dalam pergerakan nasional Indonesia amat besar. Antara sebab dan matlamat penubuhan PNI:
(a) Menuntut kemerdekaan mutlak.
(b) Menyatukan rakyat Indonesia melalui gabungan Parti-Parti politik kebangsaan Indonesia.
(c) Membentuk kerajaan demokrasi berparlimen yang bertanggungjawab kepada semua rakyat.
(d) Memartabatkan penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi.
PNI berjuang secara aktif dan radikal demi mencapai matlamat untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Antara usaha PNI ialah:
(a) Mengamalkan dasar penentangan pasif.
(b) Mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan Belanda.
(c) Menyeru pegawai Indonesia memulaukan Volksraad dan perkhidmatan awam kerajaan.
(d) Menubuhkan kesatuan buruh.
(e) Memajukan syarikat kerjasama.
(f) Menyokongpendidikankebangsaan.
(g) Menganjurkan kursus dan mendirikan sekolah.
(h) Mengadakan rapat-rapat umum.
(i) Menyebarkan idea nasionalis melalui penerbitan surat khabar Banteng Priangan di Bandung dan Persatuan Indonesia di Jakarta.
Perjuangan PNI dijelaskan semasa Kongres Pemuda yang telah mengeluarkan "sumpah Pemuda" yang menekankan tiga perkara, iaitu:
(a) Semua rakyat Indonesia adalah sebangsa, sebahasa, dan senegara. '
Berdasarkan prinsip tersebut, PNI menegaskan tidak akan menggunakan agama Islam sebagai dasar perjuangannya kerana soal kemerdekaan turut melibatkan rakyat Indonesia beragama Kristian yang berbeza bahasa dan budaya.
(b) Pertubuhan belia seperti Pemuda Jawa, Pemuda Sulawesi, Pemuda Sumatera dan Pemuda Ambon digabungkan menjadi Persatuan Pemuda Indonesia.
(c) Lagu kebangsaan akan dicipta dan digunakan secara rasmi. Idea nasionalisme dapat disalurkan melalui ciptaan lagu kebangsaan.
Kebijaksanaan Soekarno mengutamakan soal perpaduan dan persefahaman membolehkan PNI mendapat sokongan ramai dan menjadi parti politik yang paling popular. Dalam masa dua tahun sahaja, PNI berjaya meraih sokongan seramai 10 000 orang.
Selaras dengan hasrat menyatukan rakyat Indonesia tanpa mengira perbezaan keturunan,bangsa, dan agama, PNI berusaha menggabungkan parti-parti politik yang sedia ada seperti Budi Utomo, Pasundan, Ikatan Sumatera, Kaum Betawi, Kelab Pelajar Surabaya, dan Sarekat Islam dalam satu gabungan yang besar, iaitu Permuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia (PPPKI). Melalui PPPKI, PNI telah berusaha membentuk perpaduan kebangsaan.[2]


[1] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),352.
[2] Ibid,353

Tiada ulasan:

Catat Ulasan