ARKIB : 03/09/1998
MALAYSIA mencipta sejarah baru
apabila buat pertama kalinya baton Sukan Komanwel akan dibawa ke paras
tertinggi di Menara Kuala Lumpur pada 9 September ini.
SOPHIA AHMAD melaporkan, ini
berikutan Menara Kuala Lumpur telah dipilih sebagai perhentian kedua Larian
Baton atau Queen's Baton Relay peringkat Wilayah persekutuan.
Baton itu akan diserahkan
kepada Pengerusi Menara Kuala Lumpur, Datuk Ali Hassan oleh pelari-pelari
terdiri daripada kakitangan Menara Kuala Lumpur sendiri yang akan membawanya
dari pintu pagar utama Jalan Punchak melalui Kolam Air dan seterusnya menaiki lif
ke Pelantar Pemerhatian setinggi 370 meter dari paras laut.
Sementara itu, Telekom Malaysia
sebagai syarikat telekomunikasi rasmi KL '98 telah mengeluarkan RM15,000 untuk
menaja 200,000 keping tiket cenderamata yang direka khas sempena temasya ini.
Tiket itu akan dijual dalam
satu pakej khas bernilai RM40 yang mengandungi empat keping tiket yang akan
memaparkan acara-acara yang dipertandingkan seperti acara renang, badminton,
hoki dan tidak ketinggalan maskot KL '98, Wira.
Ia akan mula dijual bermula 9
September ini hingga kehabisan stok.
Bagi turut sama meraikan KL '98
juga, pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. telah bermurah hati
membenarkan orang ramai yang ingin melawat menara itu menggunakan tiket
kategori dewasa bagi Sukan Komanwel XVI (KL '98) dan mendapat potongan harga
sebanyak 25 peratus kepada setiap tiket itu.
Tiket itu boleh digunakan
hingga akhir bulan ini walaupun ketika itu KL '98 telahpun tamat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif
Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Shahidah Ridwan, langkah ini adalah satu cara
yang diambil oleh pihaknya bagi turut sama meraikan KL '98 yang menjadi
kebanggaan buat Malaysia kerana buat julung kalinya, sebuah negara Asia
berkesempatan menganjurkan sukan yang kedua terbesar di dunia.
''Temasya ini adalah saat
terbaik untuk memperkenalkan Menara Kuala Lumpur yang telah diiktiraf sebagai
mercu tanda yang terkenal di Malaysia,'' ujar beliau di sini semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4KJegEJTa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan