Rabu, 14 September 2016

YANG TERSIRAT YANG TERSURAT

ARKIB : 30/08/1998
Keadaan yang teruk hari ini mungkin dapat dikurangkan keterukannya jika langkah cepat dan tangkas diambil awal-awal lagi. Sudah tiada guna lagi, pada masa ini, mencari jawapan kenapa kita terlambat atau apakah kerana kita mengambil pendekatan yang salah.

Peletakan jawatan Gabenor Bank Negara kelmarin boleh dilihat sebagai ada kaitan dengan persoalan-persoalan ini. Bank Negara mengumumkan pengucupan KDNK 6.8 peratus. Kenapa pengumuman itu tidak dibuat sendiri oleh Gabenornya menjadi tanda tanya.

Bukanlah satu perkara sulit bahawa Bank Negara tidak senang dengan langkah kerajaan menurunkan kadar faedah dan kerajaan pula tidak senang dengan cara bank itu menguruskan ekonomi. Peletakan jawatan Gabenor itu sudah beberapa kali timbul tenggelam. Beliau mungkin meletak jawatan kerana soal prinsip. Tapi ini bukan masa menghujahkan soal prinsip kerana kerosakan sudah berlaku.

Sebenarnya, dalam banyak hal, kita sudah terlambat bertindak bagi menangani krisis ekonomi. Sebahagian besar sebabnya ialah kerana terlalu banyak pandangan yang hendak didengar, terlalu banyak teori ekonomi yang hendak dibahaskan. Terdapat pula 'mazhab-mazhab ekonomi' yang bertelagah dalam hal ini.

Akhirnya, terlambat. Banyak langkah yang baru diambil atau baru hendak diambil sepatutnya sudah lama diambil iaitu semasa krisis menunjukkan petanda awal. Tetapi pada masa itu semua orang masih riang gembira dan enggan percaya bahawa krisis sedang menuju ke arah kita.

Kesenangan dan kemakmuran negara menyebabkan kebanyakan kita terlupa untuk beringat. Akibatnya ramai, terlalu ramai, yang tersangkut. Kerana begitu terperanjat, masih ada yang belum dapat menerima hakikat bahawa masa senang sudah berlalu, berlalu jauh dalam tempoh yang begitu singkat.

Apabila sakit, ubatlah yang dicari. Ada yang mencari ubat dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), ada yang cuba berubat sendiri, ada yang cuba di sana dan cuba di sini dan ada yang masih terus tercuba-cuba.

Memetik kata-kata Tun Daim sekali lagi ''sekiranya awal-awal lagi kita mengambil langkah pembetulan, keadaan tidak akan seburuk seperti hari ini.''

Mereka yang tahu akan faham maksud beliau - kita sudah tercedera kerana kelambatan itu.

GUAN ENG KE PENJARA, RAHIM HILANG JAWATAN LIM Guan Eng kini sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan setelah didapati bersalah menerbitkan berita palsu dan menghasut. Semuanya bermula apabila dia cuba menolong seorang nenek bernama Pendek Ahmad, pada Ogos 1994. Cucu nenek ini yang berusia 15 tahun pada masa itu dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Rahim Tamby Chik.

Ekoran peristiwa ini, Rahim meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan. Polis pun menyiasat perkara ini. Bagaimanapun Peguam Negara kemudian mengumumkan bahawa beliau mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Rahim bagi kesalahan merogol gadis di bawah umur kerana tidak ada bukti yang cukup. Beliau juga mendedahkan bahawa gadis tersebut mempunyai hubungan seks dengan 14 lelaki lain.

Gadis itu akhirnya diletakkan di sebuah pusat pemulihan akhlak di mana dia melahirkan seorang anak yang sampai ke sudah tidak diketahui siapa bapanya. Sebilangan daripada 14 lelaki itu sudah pun didakwa kerana kesalahan merogol.

Setelah semua ini berlaku, Guan Eng memulakan siri ceramah yang dinamakannya 'Kisah Benar.' Dalam ceramah-ceramah itu, dia didakwa telah membuat ucapan yang mengandungi unsur hasutan apabila menyifatkan negara kita mengamalkan undang-undang yang berat sebelah.

Guan Eng tidak puas hati kerana Peguam Negara mengambil keputusan tidak mendakwa Rahim berhubung satu kes rogol walaupun setelah diumumkan bahawa pihak pendakwa tidak cukup bukti untuk berbuat demikian.

Begitulah secara ringkas latar belakang peristiwa yang akhirnya membawa Guan Eng ke penjara, gadis bawah umur itu ke pusat pemulihan dan Rahim kehilangan semua jawatan politiknya termasuk jawatan dalam kerajaan.

Oleh kerana hukuman yang dijatuhkan ke atasnya melebihi satu tahun, Guan Eng akan kehilangan kedudukannya sebagai ahli Par-limen dan tidak akan dapat mengambil bahagian dalam dua pilihan raya akan datang kecuali dia memohon dan diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

HUKUMAN MAHKAMAH, HUKUMAN MORAL APA yang telah kita sama-sama pelajari daripada kes Lim Guan Eng ialah bahawa dalam mencari keadilan kita tidak boleh melanggar undang-undang. Guan Eng mempunyai niat yang baik, tetapi ini tidak bermakna dia boleh memperlecehkan kewibawaan badan kehakiman.

Dia juga tidak boleh menuturkan apa yang tidak benar. Malah bukan dia sahaja, sesiapa juga tidak boleh berbuat begitu.

Memang betul ada seorang gadis bawah umur yang mengandung di luar nikah. Tetapi me-ngaitkannya dengan orang tertentu tanpa bukti yang kuat adalah tidak adil. Undang-undang negara bukan sahaja perlu melindungi orang yang menjadi mangsa, tetapi juga orang yang disyaki atau dituduh. Ini bagi memastikan tiada siapa teraniaya.

Mahkamah berpegang kepada bukti, bukan andaian. Mahkamah adalah tempat rakyat mencari keadilan dan perlindungan. Mahkamah mesti menegakkan keadilan.

Sekiranya ada yang merasakan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan yang digunapakai di negara ini, perkara ini hendaklah diperbetulkan di Parlimen oleh wakil-wakil rakyat kita.

Dalam sistem perundangan Malaysia, orang yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk mendakwa seseorang itu ialah Peguam Negara. Apabila beliau memutuskan untuk tidak mendakwa Rahim, itu adalah haknya seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara.

Sama ada keputusannya betul atau tidak, sama ada adil atau tidak, bukan hak kita untuk pertikaikan. Perlembagaan memberi perogatif ini kepada Peguam Negara. Begitu juga, di bawah undang-undang apa dia hendak mendakwa, adalah hak mutlaknya yang tidak boleh dipersoal.

Sekali lagi, jika rakyat merasakan kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara itu terlalu besar untuk diletakkan di atas bahu satu orang sahaja, Parlimenlah tempat untuk mencari pembetulan.

Sementara itu, kita sudah melihat keadilan ditegakkan. Guan Eng berada di penjara. Walaupun tidak didakwa, Rahim kehilangan semua jawatan politiknya. Cubaan beliau untuk kembali menemui kegagalan demi kegagalan. Bagi seorang politikus yang pernah dilihat sebagai bintang harapan UMNO, Rahim sebenarnya turut terhukum, di mahkamah moral. Sama ada hukuman moral ini adil, hanya Rahim sahaja yang tahu kerana hanya beliau yang tahu apa yang kita semua tidak tahu, apa yang Peguam Negara sendiri mungkin tidak tahu.

RY, ISTERI IDA MENURUT khabar dari Amerika Syarikat, Hillary tetap sayang dan setia kepada Clinton sungguhpun Presiden berusia 52 tahun itu mengaku mengadakan hubungan seks dengan perempuan lain.

Malah, kenyataan pengakuannya yang dibuat secara langsung melalui TV dilaporkan dirangka oleh Hillary.

Kini mereka sedang bercuti di sebuah pulau bagi mengeratkan lagi hubungan keluarga yang terganggu itu.

Ketabahan Hillary, seorang peguam yang dihormati, cukup mengagumkan.

Kalau di Malaysia, tentulah pinggan mangkuk dan periuk belanga sudah terbang melayang. Sesekali akan adalah yang sanggup menerima semua ini sebagai suratan takdir dan dugaan hidup.

Yang agak memeranjatkan, tinjauan awal menunjukkan golongan wanita Amerika lebih bersedia menerima pengakuan Clinton dan memaafkannya dibandingkan golongan lelaki.

Sesungguhnya, ada pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Clinton dan kenakalannya dengan Monica Lewinsky.

Tapi lebih banyak yang boleh dan patut dihayati daripada ketabahan Hillary.

Ketabahan Hillary, seorang peguam yang dihormati, cukup mengagumkan.

Kalau di Malaysia, tentulah pinggan mangkuk dan periuk belanga sudah terbang melayang. Sesekali akan adalah yang sanggup menerima semua ini sebagai suratan takdir dan dugaan hidup.

Oleh: KHALID MOHD


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4KHl8EXMZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan