25 September 2016 12:13 AM
KETUA pasukan JDT Safiq Rahim
dan Tunku Aminah Sultan Ibrahim menjulang trofi Liga Super 2016 yang diterima
selepas perlawanan menentang TFC II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor
Bahru malam tadi. mingguan/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 24 Sept. – Juara
tiga kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut kedatangan trofi
Liga Super ke pangkuan mereka dengan berpesta gol apabila membenam Terengganu
FC (TFC) II 5-1 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di
sini malam ini.
Skuad Harimau Selatan, yang
telah mengesahkan kejuaraan pada 9 September lalu setelah menundukkan
Terengganu 3-0 ketika musim masih berbaki dua perlawanan, memperoleh gol sulung
perlawanan seawal minit keenam menerusi Amirul Hadi Zainal sebelum penyerang
dari Argentina, Juan Martin Lucero melebarkan jurang dengan jaringan pada
minit ke-26 dan 34.
The Titans yang menggandakan
asakan berjaya merapatkan jurang gol untuk seketika menerusi Patrick Dos Santos
pada minit ke-43 namun kesilapan Abdoulaye Maiga yang tertampan bola ke gawang
sendiri pada masa tambahan separuh masa pertama terus memberi tekanan kepada
pasukan pelawat.
Lucero kemudian mencipta
jaringan hatrik apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-60 dan JDT
kelihatan berpuas hati dengan kedudukan itu hingga tamat permainan.
Kemenangan itu menjadi
permulaan sempurna kepada sambutan meraikan kejayaan JDT mencipta sejarah
pasukan pertama menjuarai Liga Super tiga kali berturut-turut dengan trofi
kejohanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited
Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola
Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.
Sambutan itu berterusan dengan
pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT kemudiannya diarak menggunakan bas dua
tingkat melalui jalan-jalan utama di bandar raya ini hingga ke Dataran
Bandaraya.
Sementara itu, Pahang
menghidupkan semula peluang mereka untuk terus kekal dalam Liga Super musim
depan apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Darul
Makmur. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain pertahanan Matthew
Davies seawal minit ke-12. Kemenangan itu meletakkan Pahang di anak tangga
ke-10 liga.
Dalam pada itu, hajat Sarawak
untuk membawa pulang tiga mata berharga tidak kesampaian apabila Felda United
menjaringkan gol penyamaan pada penghujung permainan untuk mengikat kedudukan
3-3 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Selangor pula terpaksa berputih
mata apabila pemain pertahanan Ugo Ukah tertampan bola ke dalam gawang sendiri
sekali gus memberi kemenangan 1-0 kepada Perak di Stadium Shah Alam manakala
Kedah tidak berdepan masalah untuk membelasah Terengganu 3-0 di Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-sambut-trofi-liga-super-dengan-bergaya-1.386835#sthash.UH5TDiIK.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan