17 SEPTEMBER 2016
Haron Din Haron
Din
PUTRAJAYA -
Allahyarham Datuk Dr Haron Din adalah seorang guru yang teliti dalam mendidik
anak-anak muridnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Tan Sri Othman Mustapha.
Katanya beliau
masih ingat kata-kata Dr Haron, dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika beliau (Othman) mengikuti pengajian dalam
bidang syariah di universiti itu.
"Katanya
jika kita membicarakan soal aqidah, tidak boleh dalam nada tinggi atau gelak
ketawa. Nada perlu serius, rendah serta tidak boleh gopoh dan sentiasa
tenang," katanya kepada pemberita selepas menyertai solat jenazah ghaib Dr
Haron di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.
Kira-kira 500
jemaah menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar MTMZA Ustaz
Ehsan Mohd Hosni, selepas Solat Zohor.
Othman berkata
negara kehilangan seorang tokoh agama yang banyak berjasa terutamanya dalam
membantu Bank Negara Malaysia membangunkan bidang perbankan Islam.
"Allahyarham
juga mengetuai kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang
menentukan hala tuju program untuk memastikan gerakan dakwah dapat dilaksanakan
dengan sempurna dan menyatu-padukan umat Islam," katanya.
Beliau berkata,
Mursyidul Am Pas itu juga mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang
seperti feqah, tauhid dan kemasyarakatan.
Allahyarham Dr
Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi semalam (waktu Malaysia) di Hospital
Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Jenazah beliau
disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd,
Livermore, California, Amerika Syarikat pada 8.57 pagi tadi (waktu Malaysia).
Allahyarham
meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak
perempuan. - Bernama
SUMBER-SINAR
HARIAN ONLINE 17 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan