ARKIB : 02/09/1998
KRISIS alaf digital, yang akan
bermula pada 1 Januari, tahun 2000 kelak, kini hangat diperkatakan dan sedikit
sebanyak telah menimbulkan kebimbangan ramai termasuklah Malaysia sendiri
terhadap senario yang mungkin berlaku sebagai akibat daripada krisis ini.
Krisis teknologi tahun 2000 nanti melibatkan perisian dan perkakasan komputer
dan sensitiviti tarikh sistem terbenam (embedded systems).
Bagi para pemanfaat aplikasi
dan program komputer di seluruh dunia, penggantian abad tersebut nanti akan
menjadi saat-saat yang mendebarkan dan membawa ancaman besar.
Implikasi dari krisis ini,
kestabilan domestik, keselamatan nasional dan lebih dahsyat lagi kestabilan dan
keselamatan sejagat juga akan tergugat. Krisis teknologi ini dirujuk sebagai
pepijat Y2K (Year 2000 Problem).
Apakah dia Y2K atau alaf
pepijat (millenium bug)? Y2K boleh dirujuk sebagai kesalahan pada program
komputer akibat penggunaan format dua digit untuk merekod tahun, iaitu krisis
kegagalan komputer dan cip terbenam (embedded chips) memproses data tarikh
selepas 31 Disember 1999.
Mengikut kajian di Amerika
Syarikat baru-baru ini, didapati menjelang tahun 2000 lebih dari 50,000
kegagalan komputer yang akan dilaporkan disebabkan oleh fenomena Y2K. Mengapa
berlakunya krisis komputer menjelang tahun 2000?
Apabila komputer diperkenalkan
kepada dunia perbankan, perniagaan mega, kerajaan dan lainnya, penjimatan ruang
ingatan (memory) komputer amat dihargai. Bit dan bait dan program direka khusus
untuk penggunaan ruang ingatan yang sekecil mungkin.
Penjimatan ini boleh dijelaskan
melalui pengrekodan tahun berdasarkan dua digit terakhir, misalnya '1998'
direkod sebagai '98. Begitu juga dengan '99.
Walaupun hal ini biasa, namun
masalah dijangkakan terjadi menjelangnya 1 Januari 2000, sejurus selepas tengah
malam 31 Disember 1999. Komputer akan mendefinisikan tarikh 1 Januari 2000
sebagai 01/01/00.
Tanpa dua digit pertama tahun
tersebut, komputer tidak akan tahu bahawa tahun tersebut adalah tahun 2000. Hal
demikian kerana komputer akan hanya membaca dua digit terakhir tahun 2000,
iaitu 00. Akibatnya, komputer akan membuat perhitungan yang salah dan aneh.
Komputer akan mengandaikan
tahun tersebut adalah tahun 1900, iaitu 100 tahun ke belakang. Ini bermakna
komputer akan menjadi kelam-kabut dan kusut kerana terpaksa 'berfikir' 100
tahun ke belakang dan degil hendak meninggalkan alaf sebelumnya. Tarikh dan
hari di dalam komputer akan menjadi salah. Misalnya 1 Januari 2000 adalah hari
Sabtu, disebabkan Y2K, Januari 2000 adalah hari Isnin, kerana ia mengambil kira
tarikh tersebut sebagai 1 Januari 1900.
Begitu juga selepas 28 Februari
2000, komputer akan mengandaikan hari Sabtu sebagai Jumaat dan hari Isnin
sebagai Ahad.
Semua ini berlaku disebabkan
setiap komputer di dunia mempunyai jam dan tarikh internal (internal clock).
Jam tarikh ini dibuat dalam bentuk pangkalan data yang ditulis dalam bentuk kod
mikro sistem dan diletakkan pada salah satu cip. Fungsi jam tarikh ini sangat
terhad kerana semua aplikasi perisian dan perangkat sistem operasi akan merujuk
pada tarikh dan waktu yang ada dalam cip tersebut.
Tahun 2000 merupakan tahun
lompat, di mana terdapat satu hari tambahan pada bulan Februari, Y2K
menyebabkan komputer menganggap satu hari tambahan ini sebagai 1 Mac 1900.
Bayangkanlah kekalutan yang bakal berlaku. Untuk menangani masalah ini, setiap
tarikh pada setiap komputer kerangka (main frame) harus dibetulkan.
Hari ini penggunaan cip
komputer amat meluas, yakni dari kereta sehinggalah kepada cerek elektrik.
Bangunan-bangunan pintar (smart building) juga dilengkapi dengan proses binaan
dalaman yang dinamakan sistem terbenam (embedded systems) yang mengawal lif,
lampu, sprinkler dan keselamatan.
Sistem sokongan hayat di
hospital, sistem lampu isyarat jalan raya semuanya juga berasaskan sistem
terbenam yang direka berdasarkan teknologi canggih yang dipercayai, diyakini
dan ringkas. Sistem terbenam adalah peranti (device) yang diprogramkan untuk memantau,
melindungi dan mengesan sesuatu prosesan, mesin/jentera, persekitaran,
peralatan dan komunikasi. Kebanyakan satelit, termasuklah Mars Pathfinder
menggunakan cip Z-80 yang dijual pada tahun 70-an turut juga digunakan pada
komputer Sinclair. Masalah timbul apabila perisian yang menjana cip komputer
biasanya tidak bersedia menangani kemunculan alaf pepijat.
Bagi bangunan yang menggunakan
sistem pemantauan (pengawalan) tarikh untuk keselamatan, masalah serius timbul
apabila sistem yang sedia ada mengalami kekeliruan tarikh disebabkan fenomena
Y2K. Akibatnya bangunan akan dikunci secara automatik. Bahaya lain disebabkan
Y2K ialah kebanyakan sistem termasuk sebarang sistem pembayaran, keselamatan
sosial, lesen memandu, rawatan kesihatan, urus niaga kad kredit, pengangkutan,
prasarana lain (mungkin dengan penggunaan kad pintar secara meluas kelak)
mengakibatkan sistem komputer menganggap individu tertentu tidak pernah wujud.
Sistem komputer akan menjadi kelam-kabut, keliru serta tidak dapat mengesahkan
satu-satu urus niaga kad kredit. Malah pembayaran gaji kepada pesara akan
menjadi lambat kerana sistem komputer tidak dapat mengeluarkan cek kepada
individu yang dianggapnya tidak pernah wujud. Jadual penerbangan lambat atau
ditangguhkan dan diramalkan akan timbul seribu satu macam lagi masalah dan
bahaya yang lain.
Oleh: RITAH YAHAYA
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4KI3wKm1e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan