Rabu, 14 September 2016

Lagu patriotik terpinggir dan dilupakan

ARKIB : 22/08/1998
Ketika banyak yang bercakap tentang jati diri, patriotisme malah berbangga memiliki negara seunik ini, mana lagu Tanah Pusaka, Berjaya, Malaysia Tanah Airku yang menyemarakkan rasa kasih kepada negara?

Beberapa hari lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 41. Tetapi malangnya stesen televisyen dan radio kelihatan tidak berminat untuk menyelitkan lagu-lagu yang boleh mengingatkan generasi muda kepada negaranya.

Masyarakat terutamanya generasi baru perlu didedahkan dengan lagu-lagu patriotik yang dicipta pada era awal kemerdekaan dulu. Lagu Tanggal 31 Ogos ciptaan Ahmad CB dan dinyanyikan semula oleh Sudirman antara yang terus popular hingga hari ini.

Dalam keadaan negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi lagu-lagu seperti Malaysia Berjaya, Malaysia Tanahairku, Tanah Pusaka dan Perajurit Tanah Air pasti akan menebalkan rasa cinta dan sayang rakyat kepada negara ini.

Lagu Tanah Pusaka ciptaan Ahmad Merican dan lirik oleh Dol Ramli antara lagu yang sering dinyanyikan di sekolah-sekolah dan di radio sekitar 70-an dulu.

Lagu-lagu yang memuji tanah air lebih tulus kerana negara ini menjadi milik bersama. Sesetengah menganggap lagu-lagu ini sebagai propaganda tetapi tentu tidak ada salahnya kalau bertujuan baik.

Lagu patriotik berperanan besar dalam menyatupadukan masyarakat melambangkan keutuhan perpaduan dan cinta negara. Peranan lagu dalam memupuk semangat patriotik pada hakikatnya sudah wujud pada zaman pramerdeka lagi.

Malah sebelum bendera Union Jack diturunkan, rakyat diasuh tentang patriotik melalui lagu-lagu. Radio Malaya ketika itu lagu patriotik seperti Negaraku, Bahasa Jiwa Bangsa dan Tanahairku untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap negaranya.

Selepas merdeka pula lagu-lagu seperti Malaysia Bergerak Maju, Jaga Diri dan Berjaya dihasilkan oleh pencipta-pencipta yang cintakan kebebasan dan keamanan.

Ketika itu lahirlah pencipta yang berjiwa patriotik seperti Surya Buana (Saiful Bahari), Tony Fonseka, Nazri Ahmad, Khailily Ahmad, Ibrahim Bachik, Ariff Ahmad, Ahmad Merican dan Johari Salleh.

Hampir semua lagu-lagu ciptaan mereka dihafal oleh masyarakat terutamanya pelajar kerana sering disiarkan di radio dan televisyen ketika itu.

Lagu Berjaya ciptaan Saiful Bahari misalnya khusus untuk Minggu Perpaduan yang dianjurkan pada 15 hingga 22 November pada tahun 1964.

Lagu Muhibbah yang juga diciptakan oleh Saiful Bahari dan dinyanyikan oleh Jamaluddin Alias dijadikan alat perpaduan selepas peristiwa berdarah 13 Mei. 1969.

Bayangkan betapa berpengaruhnya lagu apabila ia digunakan untuk membalut luka sebuah peristiwa yang kita semua mahu padamkan dari sejarah.

Pendekatan lagu-lagu ini amat berbeza dan meninggalkan kesan mendalam apabila ia berjaya menyemarakkan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum.

Sayangnya selepas tahun dekad 70-an, masyarakat ketandusan lagu-lagu patriotik. Pembabitan yang serius pencipta muda kepada lagu-lagu pop menyebabkan lagu-lagu patriotik semakin dipinggir dan tidak dipedulikan.

Kerana itu, pihak terbabit seperti stesen televisyen dan radio harus memikul tanggungjawab dan menyiarkan lagu-lagu patriotik. Sebenarnya ini juga sumbangan tidak ternilai golongan seniman terhadap negara.

Pertandingan mencipta lagu patriotik yang diadakan saban tahun nampaknya tidak komited ke arah menyemarakkan semangat patriotisme secara berkesan. Banyak ciptaan yang tersimpan dan tahun seterusnya diadakan lagi dan disimpan lagi.

Himpunan lagu patriotik yang begitu banyak tentunya tidak memberi makna kalau media yang berpengaruh seperti televisye dan radio tidak memberikan sedikit ruang kepada lagu-lagu begini.

Apakah ini kerana kita tidak mempunyai keyakinan kepada pengaruh karya seni seperti muzik untuk menanamkan semangat patriotik kepada rakyat? Atau kalangan peneraju media elektronik tidak patriotik untuk memberi keutamaan kepada lagu-lagu seperti Tanah Pusaka kerana lebih menguntungkan kalau disiarkan klip video penyanyi popular?

Tidak semua pulangan berupa material akan memberikan keuntungan jangka panjang kepada negara dan rakyat. Apakah kita telah dewasa bersama usia kemerdekaan? Mungkinkah kita tidak perlu lagi diingatkan tentang harga kegetiran silam untuk memiliki tanah pusaka ini.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4KHPJtlZl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan