Rabu, 14 September 2016

Ibu Zain perjuangannya patut diteladani


 

ARKIB : 01/09/1998
Ibu Zain perjuangannya patut diteladani
IBU ZAIN.

PERJUANGAN tokoh politik Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain dalam mempertahankan maruah bangsa Melayu di zaman kolonial seharusnya dijadikan teladan oleh anak-anak muda.

Keupayaannya memobilisasikan sokongan kuat kaum wanita untuk menentang Malayan Union membuktikan komitmen beliau dalam meningkatkan martabat masyarkat Melayu.

Ibu Zain telah menyempurnakan tugasnya dengan lancar serta mendapat sambutan dan kerjasama yang baik walaupun terpaksa memikul banyak tanggungjawab sekaligus.

Demikian menurut Pensyarah Jabatan Sains Politik Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahfudzah Mustafa, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kepimpinan Politik: Pengalaman Ibu Zain.

Mahfudzah berkata demikian pada Seminar Kedudukan, Citra dan Identiti Wanita Melayu: Zaman Kolonial di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), baru-baru ini.

''Ibu Zain menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda penting apabila beliau memegang jawatan sebagai ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO pada bulan Ogos 1950,'' katanya.

Nama Ibu Zain sebaris dengan nama tokoh politik wanita yang lain seperti Datin Puteh Mariah Ibrahim Rashid, Ibu Khadijah Sidek, Tan Seri Fatimah Hashim, Tan Seri Aishah Ghani, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Di bawah kepimpinan beliau, kempen-kempen untuk menghapuskan buta huruf dan tidak berpelajaran langsung di kalangan ahli-ahli wanita UMNO telah dilancarkan.

Ibu Zain tidak pernah mempersoalkan peranan yang diberikan kepada wanita UMNO secara terbuka walaupun prihatin terhadap status wanita.

Mahfudzah berkata, Ibu Zain berpegang bahawa kekuatan wanita dan kekuatan keseluruhan wanita adalah sejati kerana ''tangan yang menghayun buaian akan memimpin dunia''.

Sifat indiosinkratik kepimpinannya banyak dibentuk oleh pengalaman hidup beliau yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Contohnya, hubungan dengan ibu bapa, pembacaan serta interaksi-interaksi beliau sewaktu menjadi pendidik, pengalaman ini mempengaruhi gaya dan tingkah lakunya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KI0t7DJW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan