ARKIB : 03/08/1998
Sang Wira - Animasi tempatan
berpotensi ke luar negara
NORLINA... animasi tempatan
mendapat sambutan.
Animasi tempatan, Sang Wira,
kini memasuki musim ketiga. Karakternya telah terpahat kepada kanak-kanak dan
ia menjadi alternatif kepada siri animasi luar yang begitu popular sebelum ini.
Sambutan terhadap Sang Wira
memperlihatkan bidang penerbitan animasi negara ini mempunyai masa depan yang
cerah. Malah pada masa yang sama ia melangkah melampaui sempadan bangsa dan
budaya kerana bersifat universal dan diterima oleh semua golongan kanak-kanak.
Lantaran itu sekiranya filem
tempatan sukar memecah benteng pasaran ke luar negara, animasi berpotensi untuk
memulakan langkah era global.
Tambahan pula karakter animasi
boleh beraksi melampaui batas realiti dan logik sosialnya.
Animasi seperti Sang Wira juga
dilihat alternatif terbaik untuk membawa pemikiran dan nilai hidup kepada
masyarakat dengan disokong oleh kecanggihan teknologi.
Pengarah Urusan Jutakira,
Norlina Nordin, yang menerbitkan Sang Wira, berkata penerbitan animasi tempatan
mempunyai masa depan yang cerah untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau mengakui bidang
penerbitan animasi tempatan yang serba kekurangan daripada segi tenaga mahir
dan teknologi tetapi yakin dengan potensi untuk jangka panjang bidang ini.
Menurutnya, sambutan masyarakat
dan peningkatan kemajuan yang diperlihatkan oleh animasi tempatan akan
menjanjikan masa depan yang cukup memberangsangkan.
''Animasi bersifat universal.
Mana-mana animasi dalam dunia ini disukai oleh kanak-kanak tanpa mengambil kira
karektor yang mewakili bangsanya.
''Cuma untuk menjual siri
animasi ke luar negara, mungkin kita perlukan masa, tenaga dan kos yang lebih
tinggi untuk mendapatkan hasil yang setaraf dengan tahap antarabangsa,''
jelasnya.
Dengan bertitik-tolak daripada
sambutan penggemar animasi tempatan, khususnya kanak-kanak, animasi di negara
ini terus berkembang dengan terhasilnya pelbagai karakter lain selain Sang
Wira.
''Daripada sini kita boleh
lihat potensi pasaran dan mampu melangkah lebih jauh. Pertambahan animasi
tempatan juga dilihat sebagai alternatif kepada kanak-kanak untuk melihat siri
yang lebih bertunjangkan nilai peradaban dan budaya setempat,'' ujar Norlina.
Tambahnya, animasi merupakan
salah satu cara untuk menyemai nilai mendidik dan mesej kepada generasi muda
kerana ia bersifat hiburan.
''Kanak-kanak di mana-mana
sahaja di pelusuk dunia ini gemar menonton animasi. Tetapi kita harus memikul
tanggungjawab untuk memberi ilmu, mendidik atau membentuk perilaku yang baik
kepada kanak-kanak,'' tegas Norlina.
Menurutnya, animasi tempatan
tidak seharusnya menggunakan bahasa yang kasar, unsur-unsur ganas atau tahyul.
Perbezaan ini jelas berbanding
siri animasi dari barat yang kadang kala dilihat tidak mencerminkan perilaku
yang baik kerana budaya dan peradaban yang berbeza.
Sang Wira terbitan Jutakira
dilihat sebagai animasi yang bercirikan budaya tempatan dengan menyelitkan
pelbagai mesej berguna kepada kanak-kanak bagi dijadikan teladan.
Animasi ini mendapat sambutan
ramai di kalangan kanak-kanak. Sehingga kini, Sang Wira telah memasuki musim
ketiga dengan mempelbagai dan menambah karakter di dalamnya.
Ini termasuklah karektor
seperti Bayu, Bakau, Bara dan Badai yang mempunyai kuasa sakti untuk membantu
Sang Wira menghapuskan petualang yang ingin memusnahkan bumi iaitu Salamander,
Madura dan Merah.
Menurut Norlina, penambahan dan
kepelbagaian karakter itu dibuat untuk memberi kelainan kepada setiap musim
Sang Wira agar ia tidak hambar dan sama dengan musim terdahulu.
Tambahnya, karakter Sang Wira
kali ini dilihat lebih universal kerana ia ditugaskan untuk membantu
menyelamatkan bumi. Namun, unsur-unsur peperangan di dalam Sang Wira tidak
bermotif ganas dan kejam kerana gambaran sedemikian tidak bersesuaian dengan
kanak-kanak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4KCcq5YgU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan