Khamis, 15 September 2016

PM lawat Kompleks Sukan Negara

ARKIB : 14/09/1998
 
DR. SITI HASMAH Mohd. Ali mempamerkan kebolehannya dalam sukan skuasy di gelanggang baru di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil semalam. Turut menyaksikan aksi beliau ialah Dr. Mahathir Mohamad, Alex Lee (dua dari kanan) dan pegawai-pegawai Sukan Komanwel XVI (KL '98).

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini meluangkan masa lebih tiga jam melawat Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil termasuk Zon Antarabangsa di perkampungan Sukan Komanwel XVI (KL'98).

Beliau yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tiba di Pusat Skuasy Nasional pada kira-kira pukul 11 pagi dan berkesempatan memberi perangsang kepada beberapa pemain skuasy negara yang berada di situ.

Ketibaan Dr. Mahathir disambut oleh Datuk Bandar Perkampungan Sukan, Datuk Dr. Ibrahim Saad, Chief de Mission, Datuk Khalid Yunus, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Eksekutif Sukom Ninety Eight Berhad, Tan Sri Hashim Mohd. Ali.

Antara tempat yang dilawati oleh Perdana Menteri ialah pusat pendaftaran atlet yang terletak di tingkat bawah serta lot-lot kedai.

Dr. Mahathir juga turut melawat pusat pemeriksaan ujian dadah, pusat perubatan serta pusat perniagaan yang disediakan oleh Telekom Malaysia.

Beliau juga meluangkan masa untuk makan tengah hari di dewan makan yang digunakan oleh para atlet KL '98.

Selepas makan tengah hari beliau juga beramah mesra dengan atlet-atlet yang sedang menikmati makan tengah hari termasuk atlet tempatan dan luar negara.

Dr. Mahathir meninjau kemudahan klinik gigi bergerak yang disediakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di pekarangan Zon Antarabangsa.

Pada sebelah petang, Dr. Mahathir meninjau pula persembahan pasangan boling negara, Kenny Ang dan Ben Heng di Pyramid Bowl, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Beliau yang duduk di kawasan penonton, telah disorak girang oleh para penyokong pasukan negara ketika pasangan bowling negara itu terus mendahului lain-lain negara sebelum menjuarai kategori beregu lelaki.

Perdana Menteri turut meninjau pertandingan ragbi di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KKU5SwH9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan