ARKIB : 31/08/1998
TIAP tahun kita merayakan Hari
Kebangsaan dan kedaulatan kita, rakyat harus terkenang kepada Bapa Kemerdekaan,
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, yang kembali ke rahmatullah pada 6 Disember
1990. Satu bangsa yang tidak tahu mengenang wiranya tidak bisa menjadi satu
bangsa yang teragung. Walaupun ia maju tetapi ia tetap tidak kegedangan
(great).
Kita mesti senantiasa
menghormati, menghargai dan memuliakan negarawan dan pemimpin bangsa yang amat
banyak berkorban dan berbakti untuk memartabatkan kita. Hancur badan dikandung
tanah jasa teragung mereka terkenang juga.
Tunku berkait dengan merdeka,
Tun Razak menukar wajah luar bandar, mengembali maruah Melayu dan melahirkan
Dasar Ekonomi Baru; Tun Hussein ''menjaga rumah'' sebelum Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad muncul sebagai ketua arkitek menjadikan Malaysia terkenal dan
dihormati apakala kita menjelma sebagai 'Tiger economy'.
Ramai manusia (termasuk juga
segelintir Melayu sendiri) yang meramalkan selepas kemerdekaan kita akan hancur
dan ditakluk oleh orang bukan Melayu yang lebih maju, lebih pandai dan kaya.
Negara menjadi killing field _ medan perang di antara rakyatnya yang berbilang
bangsa, malah Malaya atau Malaysia tidak akan mengenal kemakmuran dan keamanan.
Kejayaan kita membingungkan musuh dan kawan.
Angkatan saya yang remaja
sebelum tarikh kemerdekaan amat sedar sumbangan besar Tunku yang meletakkan
asas yang kukuh bagi perpaduan dan keharmonian antara bangsa. Asas kukuh itu
nyaris-nyaris punah-ranah semasa Singapura dalam Malaysia. Singapura diusir
keluar 9 Ogos 1965. Empat tahun kemudian peristiwa 13 Mei, yang sebenarnya
bukan tidak dijangka (not entirely unexpected) telah tercetus. Setahun
kemudian, pada September 1970, Tun Razak telah mengambil alih daripada Tunku.
Saya bertuah kerana telah
berkesempatan menggali banyak pengalaman di bawah pimpinan Tunku. Mendewasa di
bawah naungannya penuh cabaran kerana Tunku seorang anak sultan, Perdana
Menteri dan Presiden UMNO sekali gus. Bekerja dengan atau di bawahnya menggembira,
menyeronokkan tetapi terpaksa cermat sebab Tunku amat sensitif, halus dan cepat
tersinggung dengan pendapat dan kelakuan yang radikal. Tunku seorang
konservatif yang mahu mengekalkan status-quo, keadaan yang wujud.
Keabadian Tunku terjamin
walaupun Tunku tidak diingati, dipuji dan dipuja melalui prosa dan sajak,
anugerah dan hadiah. Mendewa-dewakan manusia yang lebih kerdil daripada Tunku
mencacat sejarah bangsa.
Penulis, cendekiawan dan ahli
sejarah harus membuat kajian dan penyelidikan akademik tentang Tunku,
dasar-dasar dan kualiti kepimpinan putera yang teragung ini. Mereka boleh
memuji dan mencelanya kalau wajar asal mereka dapat pertahankan keputusan
(verdict) mereka. Yang benar, benar juga dan jasanya tetap dikenang sepanjang
zaman.
Bangsa Melayu dan ahli UMNO
harus prihatin Tunku telah tampil ke depan apabila tiada seorang pun pemimpin
Melayu yang berwibawa dan terkenal ingin menggantikan Datuk Onn Jaafar yang
merajuk pada tahun 1951.
Zaman Tunku adalah satu masa
yang gemilang bagi mereka yang berada dan berkuasa sebelum peristiwa 13 Mei.
Tun Razak dan kini Mahathir pula sedang bertungkus-lumus berusaha agar
kemakmuran dan kenikmatan hidup dirasai oleh semua golongan, peringkat dan
wilayah. Kedudukan semua bangsa terjamin, terpelihara dan terselamat.
Bumiputera dan bukan bumiputera tidak bisa dapat semua yang diidami tetapi
kepentingan mereka yang tidak bertentangan prinsip negara tetap terbela.
Apa pun yang telah diperkatakan
tentang Tunku saya tidak pernah ragu patriotismenya dan cintanya terhadap
bangsanya. Kadang-kadang dia ambivalen tetapi itu adalah politik, mungkin juga
satu kelalaian yang sementara.
Pada hari keramat hasil
perjuangan yang diketuainya yang kini warisan kita, marilah kita
menghadiahkannya al-Fatihah tanda ingatan dan kasih kita terhadapnya.
* Datuk Abdullah Ahmad ialah
Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4KHrXmls9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan