ARKIB : 30/08/1998
Penjajah Inggeris mempunyai
agenda lempar batu sembunyi tangan dalam mempengaruhi raja-raja dan
pembesar-pembesar Melayu bagi memastikan orang Melayu tidak terpengaruh dengan
revolusi yang menggegar Indonesia sebaik sahaja Jepun menyerah diri tahun 1945.
Raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu bimbang, jika kemerdekaan ala Indonesia,
kedudukan mereka akan terjejas, malah orang Melayu dimomokkan bahawa mereka
akan menerima nasib Pak Kaduk: Menang sorak alah sabung, sekiranya mencapai
kemerdekaan.
Betapa tidak raja-raja dan
pembesar-pembesar Melayu termakan dengan acuman Inggeris, kerana ketika ini
kedudukan ekonomi dan pendidikan bangsa Melayu jauh ketinggalan dibandingkan
dengan orang Cina dan India di negara ini.
Dalam suasana demikianlah saya
menghadapi cabaran sebagai pemimpin UMNO di kampung apabila kebanyakan orang
Melayu patuh dengan pembesar-pembesar mereka (di Negeri Sembilan,
pembesar-pembesar adalah datuk-datuk lembaga dan ketua adat).
Menteri Besar bersama Penasihat
Inggeris (BA) Negeri Sembilan (Tan Sri) Mubin Sheppard telah menganjurkan
perjumpaan di kampung-kampung untuk membantu orang Melayu meningkatkan taraf
ekonomi.
Datuk-datuk lembaga dan ketua
adat dipengaruhi oleh Menteri Besar dan BA ini, hingga mereka bimbang menerima
kemerdekaan dengan tanggapan kuasa politik Melayu akan terlucut kepada orang
bukan Melayu seolah-olah menerima nasib ayam terlepas tangan berbau tahi.
Saya bersama rakan-rakan dalam
UMNO sekadar pemimpin kerdil di kampung terpaksa berhadapan dengan mereka yang
berpengaruh dan berkuasa terutama Menteri Besar dan BA itu. Mereka tidak yakin
dengan UMNO yang dipimpin oleh rakyat biasa bagi menghadapi gelombang
kebangkitan nasionalisme ini.
Oleh itu apabila Tunku memimpin
UMNO, tanggapan menuduh raja-raja Melayu kehilangan takhta apabila negara
merdeka menjadi tamparan kepada Inggeris. Masakan Tunku, seorang putera raja
dan adik Sultan Kedah, mahu menjadi gunting dalam lipatan kepada abangnya
sendiri.
Isu Tunku sebagai pemimpin UMNO
inilah saya gunakan di kampung-kampung bagi memulihkan keyakinan orang Melayu
bahawa raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu tidak akan hilang kedudukan
sekiranya negara mencapai kemerdekaan.
Di samping itu Tunku juga mudah
diterima menghadap oleh raja-raja Melayu di setiap negeri bagi menjelaskan hala
tuju perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan.
Memang bukan mudah usaha yang
dijalankan oleh Tunku disebabkan penjajah Inggeris dan Menteri Besar lebih
berpengaruh, sementara Tunku sekadar disokong oleh rakyat jelata dan
pejuang-pejuang kerdil setelah Datuk Onn Jaafar membawa sama pemimpin-pemimpin
yang berpengaruh ini keluar daripada UMNO.
Rasanya wajar saya huraikan
beberapa perkara penting yang sepatutnya diketahui oleh generasi muda di mana
ibu bapa atau datuk neneknya terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Pertama, kerajaan Inggeris melalui
Gabenor Jeneralnya Malcolm MacDonald telah menyatakan Inggeris bersedia
memberikan kemerdekaan dengan syarat ketiga-tiga kaum terbesar di negara ini
bersatu. Atas sebab-sebab inilah Datuk Onn mahukan supaya UMNO membukakan pintu
kepada orang bukan Melayu.
Kedua, apabila cogan kata
'Hidup Melayu' ditukar kepada 'Merdeka', semangat orang Melayu mula berubah
daripada pasif kepada agresif. Kalau sebelumnya cogan kata demikian yang
dilaungkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menjadi ejekan sesetengah
pihak, tetapi apabila dijadikan cogan kata UMNO ia diterima majoriti.
Ketiga, secara tidak terancang
ketika menghadapi pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur (Kuala Lumpur
Municipality) 1952, pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA mengadakan persefahaman (MIC
tidak menyertai pilihan raya dan tidak ikut sama dalam pakatan). Dalam pilihan
raya ini UMNO dan MCA memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Bertolak daripada persefahaman
inilah UMNO dan MCA membentuk gabungan Perikatan. Hasilnya amat positif apabila
calon-calon Parti Kemerdekaan Malaysia (IMP) dan kemudiannya Parti Negara
pimpinan Datuk Onn Jaafar tewas kepada calon-calon Perikatan.
Keempat, di atas asas inilah
UMNO dan MCA mengadakan perbincangan lebih serius di peringkat negeri dan
nasional membentuk gabungan Parti Perikatan menggunakan simbol kapal layar.
Keputusan ini diterima baik oleh kedua-dua pihak.
Kelima, dalam pilihan raya
pertama 1955, calon-calon UMNO dan MCA telah disertai pula oleh MIC bertanding
atas tiket Parti Perikatan. Kuota calon-calon yang bertanding telah
dipersetujui di semua peringkat. Pada waktu itu orang Cina dan India belum
ramai menjadi warganegara, oleh itu majoriti pengundi adalah Melayu kecuali
beberapa kawasan di dalam bandar. Calon-calon MCA dan MIC yang diletakkan di
kawasan majoriti pengundi Melayu juga mencapai kemenangan selesa mengalahkan
calon-calon Melayu dari Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.
Keenam, salah satu isu penting
dalam manifesto Parti Perikatan menghadapi pilihan raya 1955 ialah mencapai
kemerdekaan dalam tempoh empat tahun selepas pilihan raya. Bagaimanapun atas
desakan yang kuat dari Pemuda UMNO pimpinan (Tun) Sardon Jubir (Allahyarham)
dalam satu mesyuarat agung di Melaka, tarikh kemerdekaan ditetapkan pada tempoh
dua tahun iaitu 31 Ogos 1957.
Usul Pemuda UMNO ini telah
diterima baik dalam Mesyuarat Agung UMNO (sekarang perhimpunan agung). Keesokan
harinya ketetapan telah diambil supaya mengurus satu rombongan ke London bagi
menemui Setiausaha Tanah Jajahan Kerajaan Inggeris untuk menyampaikan tuntutan
rakyat.
Dalam perjumpaan di Melaka
inilah kutipan derma dilancarkan. Perwakilan dan pemerhati UMNO secara spontan
mencurahkan bantuan berupa wang ringgit yang ditadah dengan topi dan songkok,
manakala kaum ibu membentangkan selendang menderma barang-barang kemas yang
dipakai di badan. Demikian semangat kemerdekaan yang melonjak dari lubuk jiwa
bangsa Melayu.
Rombongan ke London ini
diketuai oleh Tunku dengan disertai oleh Datuk (Tun) Abdul Razak Hussein,
Kolonel (Tun) H.S. Lee dan (Tun) Dr. Ismail Abdul Rahman bertolak pada 1
Januari 1956 dan sampai di London pada 14 Januari 1956. Tunku bersama
rakan-rakannya menaiki kapal laut dari Singapura sebelum menaiki kapal terbang
di Karachi. Langkah Tunku menaiki kapal laut ini supaya rombongan dari Tanah
Melayu, termasuk wakil raja-raja Melayu, Datuk Panglima Bukit Gantang (Menteri
Besar Perak), Abdul Aziz Majid (Menteri Besar Selangor), Datuk Nik Ahmad Kamil
(Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Mohd. Seth Mohd. Said (Menteri Besar Johor)
tidak bercanggah pendapat apabila berada di London.
Inggeris tidak dapat
berdolak-dalik lagi dengan tuntutan ini disebabkan semua syarat yang ditetapkan
sudah dipenuhi. Kok kata berjawab, kok gayung bersambut. Perpaduan rakyat yang
didesak oleh Inggeris ternyata unggul apabila Parti Perikatan memenangi 51
daripada 52 kerusi dalam pilihan raya 1955.
Tarikh 31 Ogos 1957 yang
ditetapkan oleh Pemuda UMNO sebenarnya setelah Sardon Jubir dan naib ketuanya,
Haji Ahmad Badawi berbincang dengan Mufti Pulau Pinang, Abdullah Fahim (ayah
Ahmad Badawi) yang mahir dalam ilmu falak meminta beliau memberikan nasihat
mengenai tarikh kemerdekaan.
Berdasarkan nasihat Tuan Haji
Abdullah Fahim inilah Pemuda UMNO mengemukakan usul tarikh kemerdekaan itu.
Kemudian menjadi ketetapan UMNO dalam perjumpaan dengan Setiausaha Tanah
Jajahan British bagi menyampaikan tuntutan rakyat jelata.
Di samping itu peristiwa yang
tidak kurang penting dimainkan oleh Pemuda UMNO ialah menurunkan bendera Union
Jack, sekali gus menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu di Padang Kelab
Selangor tepat pukul 12.00 tengah malam pada 30 Ogos 1957.
Sebenarnya dua minggu sebelum
peristiwa tersebut, mesyuarat Pemuda UMNO telah diadakan di rumah ketuanya,
Sardon Jubir di Kuala Lumpur. Dalam mesyuarat itu diputuskan untuk menurunkan
bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan.
Sardon Jubir telah diberitahu
oleh Tunku bahawa Pesuruhjaya Tinggi Sir Donald MacGalevery menyampaikan pesan
supaya tidak diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack. Kononnya boleh
menjatuhkan maruah Inggeris kerana kemerdekaan yang dicapai adalah melalui
perlembagaan secara baik.
Tetapi Pemuda UMNO dengan
mentah menolak kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan. Lagi pun upacara menurunkan bendera penjajah mengandungi peristiwa
bersejarah yang amat besar maknanya kepada bangsa sebagai lambang kedaulatan
negara. Pemuda UMNO Selangor telah ditugaskan membuat persiapan yang
diperlukan.
Inilah di antara beberapa
peristiwa penting yang saya rasa baik dirakamkan untuk pengetahuan dan
perhatian generasi muda supaya memahami erti cicir dipungut, hilang dicari,
hanyut dipintasi, tenggelam diselami.
Mereka yang berusia dalam
lingkungan 50 tahun sekarang tentu tidak berapa ingat peristiwa demikian,
apatah lagi mereka yang dilahirkan selepas tarikh kemerdekaan. Kemungkinan
mereka membaca buku-buku dan artikel mengenai perjuangan bangsa Melayu, namun
banyak lagi yang tersurat dan yang tersirat masih kabur daripada pengetahuan
umum.
Dalam usaha memaparkan
perjuangan bangsa ini saya sedang menulis beberapa buah buku di antaranya 50
Tahun Dalam Perjuangan, Pemuda UMNO dan Memoir. Insya-Allah dalam buku ini akan
saya nukilkan dengan panjang lebar serta terperinci mengenai perjuangan
kemerdekaan ini.
Di samping itu satu perkara
yang elok rasanya saya catatkan di sini ialah mengenai Malayan Union yang
ditentang oleh bangsa Melayu. Tentu generasi sekarang tidak memahami sekiranya
Malayan Union tercokok di tanah air, nescaya wajah negara kita bukanlah seperti
yang kita lihat kini.
Perjuangan generasi yang
sezaman dengan saya atau yang lebih tua daripada saya, tidak pernah meminta
jasa mereka dikenang. Apa yang perlu ialah demi kesejahteraan bangsa dan negara
serta anak cucu-cicit kita supaya benih yang baik tercampak ke laut menjadi
pulau, tercampak ke darat menjadi gunung.
Sekarang kita melihat anak-anak
muda telah berjaya dalam banyak bidang sama ada pendidikan mahupun ekonomi. Dua
bidang inilah yang menjadi asas pertumbuhan kepada kemajuan satu-satu bangsa
itu.
Bagaimanapun kejayaan tersebut
belumlah dapat dibanggakan kerana masih ramai anak Melayu yang terperangkap
dalam pelbagai gejala yang meruntuhkan maruah bangsa. Bukan sahaja gejala
lepak, bohsia, bohjan tapi juga yang banyak terbabit dalam najis dadah.
Demikian pun kita ambil yang
positif dan tinggalkan yang negatif dulu. Sekalipun dalam bidang ekonomi kita
berhempas pulas mahukan kejayaan, tetapi ibarat sebatang pokok yang telah
merimbun subur dengan putik-putik kian membesar, namun kita masih belum dapat
menikmati hasilnya.
Justeru generasi muda yang
mendapat kejayaan sekarang janganlah menjadi kacang lupakan kulit, lepas
jambatan tongkat dibuang, lupakan pangkalan mula berkayuh bila dah sampai ke
seberang. Teruslah mara di samping menoleh ke belakang serta mengimbau betapa
pedih dan deritanya perjuangan generasi terdahulu.
Atau tanyalah kepada diri
sendiri apakah sumbangan kita kepada negara? Terutama generasi yang sedang haus
dan dahagakan sesuatu yang tidak perlu saya huraikan di sini, kerana mereka
golongan cerdik pandai yang sudah menerima didikan tinggi. Apa lagi sekiranya
disalah tafsir sebagai mengajar itik berenang, mengajar tupai melompat.
Bagaimanapun jauh di lipatan
hati saya tetap terpahat harapan indah supaya mereka semua bersikap diam-diam
ubi berisi, hindarkan daripada menjadi diam-diam penggali berkarat. Anak-anak
yang dahagakan sesuatu itu haruslah memahami supaya tidak terpengaruh kepada
kisah: Si kaduk naik junjung.
Oleh: TAN SRI A. SAMAD IDRIS
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4KHj26z7f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan