Jumaat, 16 September 2016

Ambil iktibar sejarah

ANGELINA SINYANG  |  17 September 2016 12:22 AM
 Sebahagian daripada orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur
Sebahagian daripada orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur
SEBAHAGIAN daripada orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa Sambutan Hari Malaysia 2016 di Tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu, Sarawak, malam tadi. UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
BINTULU 16 Sept. - Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan peristiwa lain yang pernah berlaku sebelum ini untuk kekal bersatu dan mengukuhkan lagi pembentukan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mencapai tujuan itu, terdapat empat dasar yang harus diikuti oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, dasar pertama ialah rakyat harus mencari titik-titik kebersamaan dan melihat kejayaan mana-mana individu tanpa mengira kumpulan etnik sebagai kejayaan bersama rakyat Malaysia.
“Baru-baru ini, wira-wira Malaysia berjaya mengharumkan nama negara dalam temasya Sukan Olimpik di Rio, Brazil seperti Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.
“Pandalela misalnya merupakan seorang Bidayuh yang mana suku kaumnya hanya berjumlah 200,000 orang dalam peta dunia.
“Sebab itu, penting bagi kita untuk tidak prejudis, tidak ada perasaan perkauman, kita ini seia sekata, senada, seirama dan satu Malaysia,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan isterinya, Puan Sri Genevieve Kitingan serta beberapa menteri Persekutuan dan negeri.
Najib berkata, dasar kedua pula ialah rakyat mesti berusaha untuk memperkukuhkan hubungan sosial dan harmoni melalui sukan, seni, budaya, tarian dan nyanyian yang boleh menyatukan semua kaum.
Katanya, semua itu merupakan unsur-unsur yang boleh memupukkan hubungan sosial termasuklah hobi utama rakyat Malaysia iaitu suka makan.
“Saya apabila datang ke Sarawak misalnya suka makan mi kolok, kek lapis, belacan Bintulu dan kalau ada rezeki nak juga merasa ikan empurau,” ujarnya.
Dasar ketiga, kata Najib, rakyat harus memastikan dasar-dasar negara seperti pembangunan bersifat inklusif dan seimbang supaya bumi Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah dapat merasa nikmat.
Menurutnya, banyak perkara sudah dilakukannya untuk membayar 'hutang' kepada rakyat Sarawak dan Sabah seperti membina Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM30 bilion tanpa tol serta Jambatan Batang Sadong dan Batang Lupar di negeri ini.
Katanya, lawatan sebanyak 60 kali ke Bumi Kenyalang sepanjang menjadi Perdana Menteri membuktikan keikhlasannya dan bukti beliau komited memastikan Sarawak mendapat pembangunan seimbang dengan Semenanjung
“Dasar terakhir ialah jika ada ancaman dari luar seperti pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus bersama-sama bangkit menentang,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-iktibar-sejarah-1.383760#sthash.IphWBsOE.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan