Khamis, 15 September 2016

Gabenor baru BNM berikrar laksana dasar proaktif

ARKIB : 08/09/1998
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Gabenor Bank Negara yang baru dilantik, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, hari ini berikrar untuk memastikan dasar kewangan negara akan menjadi lebih proaktif dan memberi manfaat kepada sektor perniagaan untuk menggalakkan ekonomi.

Dalam wawancara dengan Bernama sejurus selepas perlantikannya bagi menerajui jawatan tertinggi bank pusat itu, Ali Abul berkata tumpuannya adalah untuk meningkatkan prestasi ekonomi yang terseret dalam kemelesetan pada suku kedua tahun ini.

''Oleh itu, dasar kewangan perlu memainkan peranan penting untuk memastikan pemulihan ekonomi,'' katanya.

Pendekatannya itu dijangka memberikan isyarat bahawa bank pusat akan terus menumpukan untuk melonggarkan dasar kewangan selepas dasar kewangan ketat sejak setahun lalu gagal memulihkan ekonomi.

Dasar kewangan ketat itu, terutamanya berkaitan kadar faedah ketat menyaksikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif 6.8 peratus dalam suku tahunan kedua.

Ini memberi isyarat bahawa dasar yang tegas amat diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan bukannya membantutkannya.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menamakan Ali Abul, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, sebagai gabenor baru Bank Negara. Beliau menggantikan Tan Sri Ahmad Mohd. Don yang meletakkan jawatan pada 31 Ogos lalu.

Kementerian itu juga mengumumkan perlantikan seorang daripada empat penolong gabenor, Datuk Dr Zeti Akhtar Aziz, sebagai timbalan gabenor baru, menggantikan Datuk Fong Weng Phak yang juga meletakkan jawatan pada hari yang sama dengan Ahmad.

Ali Abul berkata, beliau telah menemui semua ketua jabatan Bank Negara hari ini dan memberitahu apa yang diharapkan olehnya daripada mereka.

Beliau berkata, peranan utamanya adalah untuk memastikan apa juga dasar yang diperbincangkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan dilaksanakan oleh Bank Negara.

''Ia adalah keputusan yang penting,'' katanya.

Ali berkata beliau akan memastikan peranan Bank Negara ''akan menjadi lebih proaktif daripada segi pembangunan ekonomi.''

''Ia mestilah menjadi mesra-perniagaan,'' katanya.

Menurutnya, dasar kewangan semata-mata tidak akan memberi banyak kesan dalam pemulihan ekonomi.

''Dasar kewangan mestilah sealiran dengan dasar pembangunan (lain),'' katanya.

Ali berkata kadar faedah tinggi, pemotongan dan langkah oleh bank-bank tempatan untuk menghentikan pemberian pinjaman telah menekan ekonomi.

''Kini, kita mesti lebih proaktif dan tidak perlu bimbangkan lagi terhadap kadar pertukaran (memandangkan kepada langkah-langkah pengawalan pertukaran asing baru),'' katanya.

Bank Negara mengumumkan langkah-langkah pengawalan tukaran asing minggu lalu untuk mempertahankan ringgit dengan menjadikannya tidak boleh ditukar di luar negara serta menetapkan ringgit pada paras RM3.8 berbanding dolar Amerika.

Ali berkata Bank Negara kini perlu menumpukan kepada pemulihan ekonomi terutama dalam menarik lebih banyak pelaburan dalam negeri dan asing.

Beliau menegaskan pelaburan-pelaburan itu mestilah berbentuk jangka panjang dan bukannya jangka pendek.

Beliau berkata Bank Negara akan menyokong pertumbuhan ekonomi, tetapi menambah ia tidak akan mengikuti gaya dasar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut Ali, dengan langkah-langkah ekonomi yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini, ia akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dan membolehkan bank-bank (tempatan) memberi pinjaman kepada sektor produktif.

Beliau berkata bank-bank juga telah mula menurunkan kadar faedah mereka.

Gabenor Bank Negara itu juga berkata beliau merancang untuk menemui pegawai-pegawai bank secepat mungkin bagi membincangkan beberapa perkara.

Mengenai pengumuman oleh Bank Negara hari ini bahawa Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank-bank perdagangan, syarikat kewangan dan bank saudagar akan dikurangkan kepada 4.0 peratus bermula pada 16 Sept, 1998, daripada 6.0 peratus ketika ini, beliau berharap langkah itu akan membolehkan bank-bank mula memberi pinjaman.

Menurut kenyataan itu, langkah-langkah berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kos dana kepada institusi perbankan akan meningkatkan mudahtunai di kalangan institusi perbankan individu sekaligus mengukuhkan kapasiti pemberian pinjaman institusi perbankan.

Ia bersama dengan penurunan kadar campur tangan Bank Negara minggu lalu akan menjadikan kredit lebih murah kepada sektor swasta di mana dalam proses itu dijangka akan merangsangkan kegiatan ekonomi.

Ali juga berkata beliau menemui Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di sini hari ini. Dr Mahathir juga adalah Menteri Kewangan Pertama.

Beliau berkata arahan Dr Mahathir kepadanya adalah ''Pergi ke sana (Bank Negara) dan buat kerja.''

Ali berkata beliau baru sahaja mengambil alih tugas itu dan memerlukan masa untuk mengenali kakitangan Bank Negara.- Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KJtBkorr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan