Oleh TAUFIK
SALIMIN
Foto sumbangan
Bolhassan Ainnie Dhoby
JENAZAH Rosli
yang disemadikan di Penjara Kuching, Sarawak digali semula untuk dipindahkan ke
Makam Pahlawan Sibu.
DENGAN laungan
Allahuakbar, seorang anak muda berusia 17 tahun yang hanya berbekalkan senjata
tradisi dikenali badik, pantas menikam Gabenor Kedua Sarawak, Sir Duncan
Stewart pada pukul 9.30 pagi, 3 Disember 1949.
Meskipun baru
sebulan menggalas tanggungjawab sebagai Gabenor Sarawak, keangkuhan Stewart
memakan diri sendiri.
Disebabkan rasa
sombong itu, ‘maharaja’ yang menyimpan angan-angan untuk merampas hasil bumi
Sarawak tersebut akhirnya rebah di tangan pemuda bernama Rosli Dhoby.
Seketika, suasana
menjadi senyap sepi dan semua orang termasuk bala tentera Stewart terpaku
melihat darah merah mengalir membasahi pinggiran anak Sungai Rajang di Bandar
Sibu.
Dalam keadaan
nyawa-nyawa ikan, Gabenor itu dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan
sebelum dipindahkan ke Singapura bagi tindakan selanjutnya, namun selepas tujuh
hari bertarung nyawa, penjajah itu menemui ajal.
Rosli dan tiga
lagi rakannya, Morsidi Sidek, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong
ditangkap serta-merta selepas menikam Stewart. Keempat-empat hero itu reda
menjalani hukuman di atas perbuatan menentang penjajah tersebut.
Pada 15 Disember
1949, keempat-empat wira itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan Rosli
bersama Morsidi pula menemui ajalnya pada 2 Mac 1950 manakala Awang Rambli dan
Bujang digantung pada 23 Mac 1950.
Kesemua mereka
menjalani hukuman penggantungan di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching dan
dikebumikan tanpa batu nisan.
Bagaimanapun,
kematian itu mengundang banyak persoalan selepas tengkorak, gigi, tulang dan
rambut Rosli tidak dijumpai semasa proses penggalian semula kubur Hero Melayu
Sarawak itu di Penjara Pusat Kuching pada 1996.
“Di dalam kubur
itu, tiada apa-apa bukti berkaitan jasad Rosli, yang ada hanyalah tanah dan
papan keranda,” tutur Bolhassan Aninnie Dhoby, anak saudara Rosli yang turut
berada di kubur itu ketika proses penggalian semula tersebut berlangsung.
Katanya, penggalian
itu tidak menemui sebarang bukti bahawa jasad bapa saudaranya pernah
dikebumikan di situ.
Bolhassan dan
beberapa orang yang berada di lokasi itu mula kehairanan, masing-masing
bertanya-tanya ke mana perginya tanda-tanda bahawa jasad Rosli dikebumikan di
situ?
Misteri
Rosli (kiri)
bersama tiga lagi rakannya Awang Rambli (atas), Bujang (tengah) dan Morsidi
dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah menikam Stewart.
Keadaan pelik itu
turut berlaku di tiga lagi pusara rakan Rosli yang dikebumikan di situ pada Mac
1950.
“Banyak persoalan
yang tercetus seperti benarkah Rosli digantung? Benarkah Rosli dibawa ke
London?,” kata Bolhassan yang menceritakan semula persepsi orang ramai selepas
misteri itu tercetus kira-kira 20 tahun lalu.
Mengimbau detik
itu, Bolhassan yang dianggap sebagai pewaris Rosli berkata, memori itu menjadi
peristiwa paling bernilai dalam susur galur keluarga mereka.
“Dilahirkan dalam
keluarga yang mempunyai darah pejuang dan nama Rosli menjadi antara watak-watak
penting negara ketika zaman menuntut kemerdekaan dahulu, ia merupakan
pengiktirafan yang tidak ternilai.
“Saya dan ahli
keluarga lain bangga kerana hero itu lahir daripada keluarga sendiri
sehinggakan kisah-kisahnya diceritakan dalam pelbagai genre buku,” katanya yang
begitu semangat persis keperwiraan bapa saudaranya itu.
Meskipun tidak
sempat mengenali Allahyarham, Bolhassan memberitahu, doa adalah jambatan untuk
mereka mengenang pemergian bapa saudaranya sejak lebih 60 tahun lalu.
Maka dengan itu,
barang-barang pusaka yang mempunyai nilai sejarah terutamanya baju kemeja
berwarna hijau dan sekeping surat bernada rindu kepada kedua orang tua yang
ditulis Rosli semasa meringkuk di penjara menjadi kenangan.
Baginya,
kedua-dua peninggalan itu adalah pusaka berharga yang menjadi memori abadi
kepada seluruh ahli keluarganya.
“Memang ada pihak
yang ingin menyimpan kedua-dua barang ini tetapi kami tidak memberi keizinan
kerana ia mempunyai nilai sentimental yang sangat berharga.
“Kami juga tidak
mahu ia disalahgunakan pihak tertentu. Jadi, lebih baik kami menyimpannya
sendiri sebagai harta pusaka yang paling berharga,” ujarnya.
Inspirasi
ROSLI menjadi
pelajar di Sekolah Methodist Sibu dan mengajar pada waktu petang di Sekolah
Rakyat.
Sebagai contoh,
pihak muzium sendiri cuba memujuknya untuk menjadikan barang itu sebagai
koleksi pameran, namun ditolak secara baik ekoran bimbang ‘harta’ itu akan
hilang.
Jelasnya, biarlah
baju dan warkah itu kekal dalam simpanan ahli keluarga bagi mengelak ia
terlepas ke tangan orang lain.
“Terlalu sukar
untuk saya menyerahkan barang-barang ini kerana hanya ada satu di dunia,
biarlah kami simpan sebagai kenangan abadi seluruh keluarga,” jelasnya.
Lagipun, dia
memberitahu, barang peninggalan itu juga sebagai pembakar semangat kepada
mereka untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang terutamanya pelajaran.
Bolhassan
memberitahu, semua waris sentiasa mencontohi keperwiraan dan keberanian Rosli
yang tiada tandingan itu.
Maka, nilai
itulah yang memberikan inspirasi kepada perjuangan orang-orang Melayu untuk
berjaya, sekali gus berani dalam menghadapi sebarang cabaran.
“Setiap kali saya
diundang untuk memberi ceramah atau motivasi, baju dan surat ini mesti dibawa.
“Saya hendak
memberi mereka inspirasi tidak kira kepada pelajar mahupun sesiapa yang mahu
menjadi lebih berani dan tampil yakin,” jelasnya.Pada masa sama, hati Bolhassan
tetap berbangga kerana sekurang-kurangnya nama bapa saudara itu masih disebut
sehingga kini.
Buktinya, Sekolah
Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby di Bandar Sibu, Bulatan Rosli Dhoby dan makam
pahlawan menjadi mercu tanda penghargaan kepada adi wira itu.
Tambahnya, setiap
kali tibanya Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, air mata lelakinya menyembah
bumi tatkala mengimbau kembali jerih perih pejuang terdahulu membela agama,
bangsa dan negara.
“Saya mengagumi
keberanian dan kepahlawanan bapa saudara serta rakan-rakannya. Malah, mereka
yang berani berkorban untuk negara.
“Jujur, setiap
kali mendengar laungan merdeka, air mata saya mengalir terharu dan bangga
kerana nama bapa saudara terpahat dalam salah satu sejarah kemerdekaan negara,”
ujarnya.
Biarpun hanya
tinggal baju dan warkah rindu, ia sudah cukup untuk Bolhassan menyatakan rasa
kasih sayang kepada bapa saudaranya itu.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4KPjXnlzh
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan