Rabu, 14 September 2016

PM: Cukai tidak naik -- Langkah drastik pulihkan ekonomi bukan untuk bebankan rakyat

ARKIB : 19/08/1998
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan cukai sebagai langkah drastik yang mahu diambil untuk menangani kegawatan ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, tindakan menaikkan cukai hanya akan membebankan rakyat dan kerajaan tidak akan berbuat demikian.

''Nak naik cukai di waktu orang susah... payah sikit. Patutnya kita kurangkan cukai.

''Tetapi itulah yang Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mahu kita lakukan, naikkan cukai, naikkan kadar faedah dan sebagainya, tetapi kita tidak boleh buat begitu,'' tegasnya.

Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, beliau tidak boleh memberi jaminan bahawa cukai akan diturunkan.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Perpaduan sempena Hari Pekerja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah drastik kerajaan untuk menangani kegawatan ekonomi, Dr. Mahathir berkata, langkah itu mungkin akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 1999 Oktober ini.

''Mungkin masa belanjawan,'' kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai langkah-langkah yang dimaksudkan itu.

Beliau sebelum itu ditanya oleh pemberita tentang pengumumannya baru-baru ini bahawa kerajaan mungkin mengambil langkah drastik yang menggegarkan dan menakutkan rakyat dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memulihkan ekonomi setakat ini tetapi ia masih belum mencukupi.

Beliau turut menyelar anggapan pihak asing bahawa Malaysia kononnya melaksanakan langkah-langkah drastik setiap kali mengumumkan perkara baru berhubung pemulihan ekonomi.

''Mereka selalu beri gambaran yang tidak benar apabila kita nak buat sesuatu, misalnya apabila nak pinjam wang dikatakan langkah drastik, padahal di Hong Kong juga berbuat perkara yang jauh lebih drastik,'' ujarnya.

Dalam hubungan ini Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk memulihkan ekonomi misalnya berbelanja secara bijak, berdagang dengan mata wang sendiri dan sebagainya.

''Tetapi nampaknya ia masih belum mencukupi, namun begitu kita dapati kerajaan masih belum lagi terpaksa meminta bantuan, jadi kita kena fikirlah,'' ujarnya.

Ditanya mengenai langkah kerajaan menggunakan wang Tabung Haji untuk membeli saham-saham syarikat yang mana kerajaan mempunyai kepentingan di pasaran terbuka beliau berkata:

''Duit kita guna ikut peraturan, yang lebih untuk beli saham, naikkan nilai saham kerana sekarang kedudukan syarikat agak ganjil kerana aset syarikat lebih banyak daripada nilai syarikat mengikut saham.

''Kadangkala tunai syarikat lebih jumlahnya dari saham. Dengan itu kalau sahamnya terlalu murah jatuh ke tangan orang asing, mereka beli, jual, untung, dia keluar dan syarikat tutup. Ini yang kita takut,'' ujarnya.

Sehubungan itu katanya kerajaan sedang mengkaji beberapa syarikat yang boleh dibantu oleh Tabung Haji melalui cara demikian.

Yang penting, kata Perdana Menteri, rakyat mesti memberi sambutan terhadap setiap rancangan kerajaan kerana jika sambutan tidak mencukupi apa pun langkah tidak akan berjaya.

Kata beliau, sebab itu beliau memberi penekanan kepada rakyat supaya selalu bersiap sedia untuk menyambut rancangan kerajaan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman berkata, rancangan pelaburan Tabung Haji itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan bagi menyelamatkan syarikat tempatan daripada dikuasai oleh pihak asing.

Menurut beliau, Tabung Haji mempunyai dana yang besar dan berpendapat ia perlu membantu kerajaan dalam usaha mengawal saham-saham milik syarikat bumiputera atau yang dimiliki oleh kerajaan.

Oleh: SAMSOR JUNET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KHBfIUsv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan