Isnin, 19 September 2016

PERJANJIAN PERTAHANAN BERSAMA TANAH MELAYU – BRITAIN 19.9.1957

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  Kertas  putih  yang  mengandungi  Perjanjian  Pertahanan   antara  Britain  dengan  Kerajaan   Persekutuan  telah  diterbitkan  serentak.  Kandungan  perjanjian  yang  mengandungi  12  fasal   ini  telah  mendapat  kelulusan  Majlis  Mesyuarat  Undangan  setelah  dibahaskan  selama  dua  hari.   Perjanjian  ini  telah menggariskan  bantuan-bantuan  yang  akan  diberikan  oleh  pihak  kerajaan  Britain  kepada  kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu.  Antara  kandungannya  ialah  Britain  bersetuju  untuk  memberi  bantuan  yang  dikehendaki  bagi  pertahanan  luarnya  dan  membantu  serta  berusaha  untuk  memajukan  anggota  pasukan  bersenjata  Persekutuan.  Berikutan  daripada itu  juga  pihak  kerajaan  Persekutuan  pula,  bersetuju  untuk  memberi  kebenaran  kepada  kerajaan  Britain  untuk  menempatkan  tentera  darat,  laut  dan  udaranya  termasuk  tentera   khas  Komanwel  ke  negara   ini.  Dato’ Abdul  Razak  Hussein,  Timbalan  Perdana  Menteri  yang  juga  Menteri  Pertahanan Persekutuan  dalam  kenyatannya  telah  menyatakan  bahawa  perjanjian  tersebut adalah  mustahak  bagi  membolehkan  kerajaan  menumpukan  perhatian  kepada  usaha-usaha  memperbaiki  keadaan  ekonomi  dan  sosial  negara.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan