ARKIB : 31/08/1998
HARI ini kita menyambut Hari
Kebangsaan yang ke-41. Sejak merdeka, pelbagai cabaran telah kita lalui. Kita
telah melalui suasana kemelesetan dahulu, di tahun 70-an, 80-an, dan kini
90-an. Daripada zaman-zaman kemelesetan yang telah kita lalui, kali inilah
nampaknya paling teruk.
Kita baru sahaja diberitahu
bahawa pertumbuhan ekonomi untuk penggal kedua tahun ini di paras 6.8 peratus.
Yang lainnya pada kali ini ialah bukan sahaja pasaran saham kita jatuh teruk,
daripada bernilai RM900 bilion menjadi hanya RM207 bilion pada minggu lalu,
tetapi nilai mata wang kita telah jatuh daripada RM2.50 untuk satu dolar
Amerika kepada RM4.22 pada minggu lalu.
Kekayaan negara kita telah
lenyap angkara mereka yang menganggap diri mereka hakim yang menentukan paras
yang wajar bagi mata wang kita. Kuasa wang yang ada pada mereka telah digunakan
untuk merosakkan sebahagian besar kehidupan masyarakat dunia sebelah sini. Ada
yang memilih untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF) tetapi setelah dua tahun dalam krisis ini mereka masih lagi belum pulih
malahan kebanyakannya menjadi bertambah teruk.
Bagi kita yang tidak berhajat
untuk mendapatkan bantuan IMF, kita sering digambarkan oleh media asing dengan
pelbagai gambaran, yang semuanya seolah-olah membaca talkin kepada orang yang
mati. Terbaru dalam siri memburuk-burukkan negara kita ialah rencana majalah
Asiaweek terbitan 28 Ogos lalu yang bertajuk, ''Siapa yang akan menyelamatkan
Malaysia''.
Mereka yang gemar sangat
memberikan pandangan serong tentang negara kita ini seolah-olah berasa tidak
senang kerana kita enggan menerima bantuan daripada IMF. Mungkin sikap kita itu
mereka anggap sebagai sikap tidak mengaku kalah dan mereka tidak mahu negara-negara
yang dulunya dikenali sebagai 'Harimau Asia', yang menikmati pertumbuhan
ekonomi purata melebihi 8 peratus selama sedekad, tidak mahu mengaku kalah.
Contohnya kita saksikan cabaran
terbuka orang George Soros kepada kerajaan Hong Kong yang mengatakan ia telah
meletakkan pertaruhan terhadap mata wang Hong Kong yang dianggap bernilai
terlalu tinggi daripada sepatutnya. Hong Kong sendiri sudah mengalami
kemelesetan tetapi ini tidak cukup bagi penyangak-penyangak ini selagi sesebuah
negara itu tidak lingkup menurut tafsiran mereka.
Mereka menulis menuduh kita
macam-macam. Misalnya kita dikatakan tidak mempunyai rancangan untuk
menyelesaikan masalah kita, kita tidak mengakui hakikat sebenar seriusnya
masalah ekonomi kita dan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan kita. Namun kita
sendiri menyaksikan niat buruk mereka. Sehari, hanya sehari, selepas Rancangan
Tindakan Pemulihan Ekonomi dibentangkan pada 27 Julai lepas ini, badan-badan
penarafan antarabangsa Moody's dan Standard and Poor's menurunkan taraf kredit
negara kita, elok sikit daripada taraf 'junk bonds' (bon lunyai). Ini
menyebabkan sebarang usaha kita untuk mendapatkan pembeli kepada bon-bon kita
menjadi terlalu mahal sehinggakan persembahan ke luar yang dirancangkan
terpaksa ditangguhkan.
Tidak cukup dengan tindakan
badan-badan yang berpengaruh di masyarakat antarabangsa ini, kita juga
terperanjat dengan berita yang kononnya kedutaan Amerika di negara ini dianggap
sebagai satu-satunya sasaran serangan kumpulan yang menyerang Kenya dan
Tanzania baru-baru ini. Berita itu secara tidak langsung akan menakut-nakutkan
pelabur asing dan pelancong, terutama mereka yang dijangka datang menyaksikan
Sukan Komanwel pada 11 September ini.
Tohmahan dan tuduhan terhadap
negara kita ini tidak akan berhenti. Selagi kita bergigih untuk menyelesaikan
masalah kita cara kita sendiri, selagi itulah bermacam-macam pandangan negatif
akan muncul dari semasa ke semasa. Mereka yang menulis tentang kegelapan yang
kita hadapi menganggap diri mereka yang paling layak mengkritik langkah-langkah
yang kita ambil sambil mereka duduk selesa di kerusi-kerusi empuk dan mungkin
berada di negara ini beberapa jam sahaja sebelum menulis sesebuah rencana.
Terpulanglah kepada kita semua
membuktikan bahawa sebagai rakyat yang bersatu di negara ini, kita
bertanggungjawab dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang. Kita
perlulah memahami masalah ini sedalamnya dan rancangan tindakan pemulihan yang
telah dikeluarkan oleh Kerajaan. Sebarang rancangan tindakan tidak akan
bermakna jika tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Inilah negara kita. Walau apa
pun masalah dan cabarannya, inilah negara kita. Walaupun mungkin ada di
kalangan kita yang gemar memperkecilkan kemajuan yang telah kita capai tidak
kira bagaimana suasana latar belakangnya, tiada siapa boleh menafikan
pencapaian kita sejak merdeka. Apakah kita sanggup membiarkan kemerdekaan kita
hanyut begitu sahaja dengan kita akur kepada kehendak golongan tertentu?
Kita saksikan sekarang bahawa
asas-asas ekonomi sesebuah negara tidak lagi menentukan aliran masuk wang
tetapi sebaliknya aliran masuk wang menentukan asas-asas ekonomi. Oleh itu
pendekatan yang kita perlukan harus berlainan dari masa-masa lalu. Sementara
itu langkah-langkah reformasi ekonomi yang telah digariskan dalam Rancangan
Tindakan Pemulihan Ekonomi, yang ada kaitan dengan kegiatan kita secara
langsung atau tidak langsung, wajar kita laksanakan dengan cepat.
Sejajar dengan tema hari ulang
tahun kemerdekaan kita hari ini, 'Negara Kita Tanggungjawab Kita', wajarlah bagi
kita semua sedar akan tanggungjawab kita di masa kita dilanda kegawatan ekonomi
ini. Kita harus sedar bahawa asas-asas ekonomi kita masih kukuh. Misalnya
lebihan dagangan terkumpul untuk setengah tahun ini berjumlah RM22.1 bilion
berbanding dengan defisit sebanyak RM2.8 billion untuk jangka masa yang sama
tahun lepas. Untuk setengah tahun ini eksport bertambah 40.9 peratus berbanding
dengan pertumbuhan import sebanyak 15.2 peratus. Hutang luar kita terus berada
di paras yang rendah setakat AS$40.6 bilion pada 30 Jun '98 berbanding AS$45.2
bilion di akhir Jun '97.
Satu aspek yang jarang-jarang
diterangkan oleh pegawai-pegawai bank ialah nisbah modal yang mengambil berat
risiko sistem perbankan. Piawaian antarabangsa yang ditentukan oleh Bank
Penyelesaian Antarabangsa (Bank of International Settlement) ialah di paras 8
peratus iaitu bererti setiap RM1, risiko yang diambil oleh pihak bank perlu
disokong dengan modal sebanyak 12.5 sen. Apa yang dimiliki oleh bank-bank di
Malaysia hari ini meningkat daripada 10.6 peratus di akhir Disember '97 kepada
11.2 peratus di akhir Jun '98.
Selain itu kadar inflasi juga
merosot kepada 5.8 peratus pada Julai ini selepas memuncak ke paras 6.2 peratus
pada Jun '98. Pelaburan asing secara langsung juga terus meningkat. Sebanyak
404 projek bernilai RM14.4 bilion diluluskan untuk setengah tahun '98
berbanding 759 projek bernilai RM25.8 bilion diluluskan untuk sepanjang tahun
'97.
Deposit bank telah merosot
daripada pertumbuhan tahunan sebanyak 21.3 peratus di akhir Disember '97 kepada
6 peratus di akhir Jun '98. Sokongan rakyat diperlukan dengan menambah deposit
dengan bank-bank kita dan bukan bank-bank asing. Simpanan di luar pesisir hanya
akan membantu usaha spekulator mata wang melakukan spekulasi ke atas mata wang
kita sendiri. Tentulah kita tidak mahu membantu penyangak-penyangak ini. Negara
kita adalah tanggungjawab kita.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4KHzRWzvb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan