ARKIB : 28/07/1998
SWAKOPMUND (NAMIBIA) 27 Julai -
Kerajaan berpendirian tidak akan memindahkan pusat kastam, imigresen dan
kuarantinnya (CIQ) dari stesen keretapi Tanjung Pagar ke Woodlands di
Singapura, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Perdana Menteri berpendapat
perjanjian yang dibuat berhubung pemindahan itu tidak diiktiraf oleh kerajaan
Malaysia.
''Kita belum iktiraf, semua
perjanjian antarabangsa perlu mendapat pengiktirafan kabinet dan kemudian oleh
parlimen,'' katanya kepada pemberita Malaysia semasa beliau berhenti rehat
daripada sesi perbincangan di Persidangan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika
(SAID '98) di sini.
Dr. Mahathir berkata, perkataan
yang digunakan di dalam perjanjian itu tidak semestinya boleh diterima pakai.
Beliau menyatakan demikian
ketika diminta mengulas tindakan akhbar Singapura menyiarkan dokumen-dokumen
rasmi antara Malaysia dan Singapura mengenai Tanjung Pagar, yang kelihatan mahu
memperkuatkan kedudukan negara itu supaya CIQ dipindahkan ke Woodlands.
Menjawab soalan kepada tindakan
Singapura itu lagi Perdana Menteri berkata: ''Kita tidak mempamerkan perkara
ini (sebagaimana yang dilakukan oleh akhbar Singapura itu) dan kita juga
mempunyai surat yang sama.
''Dan pada pendapat kita
perjanjian antarabangsa tidak mencukupi hanya dengan dua orang tandatangan, itu
pendirian kita dan akan kekalkan pendirian kita.''
Inilah reaksi pertama Perdana
Menteri berhubung isu itu sejak Singapura mengumumkan langkahnya untuk
memindahkan CIQ republik itu dari Tanjung Pagar ke Woodlands mulai 1 Ogos ini.
Ini bererti mulai tarikh itu
CIQ Malaysia yang kini beroperasi di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar juga harus
berpindah ke Woodlands.
Kenyataan kerajaan Singapura
sebelum ini menyebut, dalam mesyuarat pada 17 Julai lalu, Malaysia dikatakan
bersetuju bahawa apabila CIQ berpindah ke Woodlands pada 1 Ogos nanti, semua
perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) yang menuju Singapura dikehendakki
berhenti di CIQ Woodlands untuk pelepasan CIQ Singapura.
Bagaimanapun para pegawai
Malaysia sebelum ini menyatakan kebimbangan bagi memastikan perkhidmatan KTMB
tidak akan terjejas berikutan pemindahan CIQ Singapura ke Woodlands.
Difahamkan para pegawai
Malaysia sebelum ini menegaskan kepada Singapura bahawa ia mempunyai hak
daripada segi perundangan untuk kekal beroperasi di kawasan itu.
Sementara itu ketika menyentuh
SAID '98 yang masuk hari kedua hari ini, beliau berkata, para pemimpin
negara-negara Afrika begitu berminat dengan konsep perkongsian bijak - konsep
yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir pada Dialog Antarabangsa Langkawi (LID). SAID
yang pertama kali diadakan di Kasane, Botswana dua tahun lalu diasaskan
berdasarkan model LID.
Kata Perdana Menteri, mereka
berminat dengan konsep itu kerana berpendapat ia dapat memberi faedah di
peringkat dalam dan luar negara serta di antara pihak kerajaan dan pihak
swasta.
''Sistem ini memberi keuntungan
kepada semua pihak. Nampak mereka begitu berminat dan penyertaan begitu tinggi
sekali dan mereka bincang dengan begitu serius bagaimana hendak melaksanakan
perkongsian bijak ini. Kesatuan kerja mereka juga menunjukkan minat yang sama.
''Saya berpendapat bahawa
dengan ini kemungkinan mereka akan maju adalah begitu baik,'' katanya.
Selain perkara itu katanya,
para pemimpin berkenaan juga berminat untuk mengetahui apa yang berlaku di Asia
Tenggara.
Katanya, beliau menasihatkan
para pemimpin itu membuat penyelidikan sebelum menerima cadangan-cadangan dari
barat.
''Saya terpaksa memberi
penjelasan tentang betapa pentingnya mereka tidak menerima cadangan-cadangan
yang datang dari barat bulat-bulat supaya mereka tidak terdedah kepada masalah
yang sama di Asia Tenggara,'' jelas beliau.
Ditanya adakah satu pendekatan
baru perlu diambil bagi menangani isu serangan mata wang ini secara global,
beliau berkata tindakan ini tidak boleh dibuat sekiranya tiada kesepakatan,
terutama dari negara-negara selatan dan dari negara-negara Afro-Afrika.
Bagaimanapun katanya, para pemimpin
negara-negara Afrika itu setuju bahawa isu itu merupakan satu masalah yang
besar dan memerlukan tindakan antarabangsa.
Katanya, isu tersebut akan
dibincangkan lagi dalam persidangan yang sama di Jordan dan di LID tahun depan
dengan kerjasama Commonwealth Partnership for Technology Management (CPTM). -
Utusan.
daripada: ZAINI HASSAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KBRNxbAS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan