ARKIB : 28/07/1998
CONTOH tiket sebenar KL '98
yang menepati ciri-ciri kebudayaan Malaysia yang melambangkan rakyat berbilang
kaum.
ORANG ramai boleh mendapatkan
tiket sebenar Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur (KL '98) melalui wakil-wakil yang
dilantik di seluruh negara mulai semalam.
Tiket temasya yang kedua paling
berprestij di dunia itu dilancarkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri
Mohd. Isa Abdul Samad sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin di Seremban, semalam.
Mohd. Isa merupakan orang yang
pertama membeli tiket temasya itu, beliau membeli tiket untuk menonton acara
sukan tinju manakala Muhyiddin yang menjadi orang kedua berbuat demikian
membeli tiket bagi acara pembukaan temasya KL '98.
Pada majlis itu, sebuah lagu
untuk KL '98 berjudul Share The Dream oleh komposer Victor Chua juga
dilancarkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan SRS Sdn. Bhd., Datuk Sri Ram Sarma berkata, tiket temasya KL
'98 dibuat dalam tiga bentuk lakaran yang berbeza iaitu untuk acara pembukaan,
penutup dan di sepanjang acara temasya itu.
Selain mempunyai lakaran yang
menyaksikan gabungan konsep kebudayaan dan warna, tiket itu juga mempunyai
gambar-gambar menarik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), menara berkembar Petronas dan Stadium Nasional Bukit Jalil yang
melambangkan simbol kejayaan negara.
Kata Sri Ram, tiket harian
untuk menyaksikan acara temasya berkenaan adalah standard bagi semua acara.
Menurutnya, syarikat Dwi Plus
Sdn. Bhd. yang terbabit dalam reka bentuk tiket itu juga tidak mengetepikan
langkah-langkah memastikan tiket itu tidak dicetak rompak seperti mengadakan
ciri-ciri hologram, sistem kod dan ultra violet (UV).
''Tiket ini juga mempunyai
cetakan Gilloche dan nombor keselamatan bagi menyukarkan untuk dicetak
rompak,'' ujarnya.
Sri Ram memberitahu, buat masa
ini sebanyak 50,000 tiket untuk upacara pembukaan KL '98 telah dijual dan
12,000 tiket bagi upacara penutup.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KBSwo1su
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan