Selasa, 13 September 2016

Kenny, Shalin terbaik di Asia

ARKIB : 28/07/1998
KEJAYAAN pemain boling Malaysia di peringkat antarabangsa sekali lagi mendapat penghormatan apabila Kenny Ang dan Shalin Zulkifli terpilih sebagai Pemain Boling Terbaik Asia kategori lelaki dan wanita.

Keuda-dua pemain ini dipilih kerana persembahan cemerlang mereka dari Jun 1996 hingga 1 Jun 1998. Mereka menerima anugerah itu dalam majlis makan malam sempena Kejohanan Boling Asia ke-15 di Taipeh, semalam.

Kenny menduduki tempat keempat pada kejohanan Piala Dunia di Kaherah tahun lepas, manakala Shalin, naib johan.

Ini adalah anugerah kedua terbesar buat Shalin. Kali pertama pada tahun 1994 apabila dia memenangi anugerah Pemain Boling Terbaik Dunia.

Kejayaan kedua-dua pemain Malaysia ini diberitahu oleh Setiausaha Kongres Tenpin Boling Malaysia, Sidney Tung, yang kini berada di Taipeh.

Shalin juga menerima anugerah khas kerana membuat balingan tepat 300 jatuhan pin pada kejohanan Piala Dunia di Kaherah. Dua lagi penerima anugerah khas ini juga kerana mencatat kejayaan yang sama pada kejohanan itu ialah Y.L. Liu dari Taiwan dan Ahmad Shahin dari Qatar.

Byun Hyu Jin dari Korea Selatan adalah pemenang kedua anugerah ini dan Jack Wong dari Singapura ketiga.

Dalam kategori wanita pula, pemenang kedua ialah Kim Yue Jin dari Korea Selatan dan ketiga Lai Kin Ngoh dari Malaysia.

Dua lagi pemain Malaysia - Sharon Low dan Daniel Lim meneriam anugerah khas kerana memenangi acara beregu pada kejohanan dunia ke-5 di Lathi, Finland Ogos lepas.

FIQ WTBA Zon Asia juga memberi anugerah khas kepada tiga pemain boling Asia atas kejayaan memenangi kejohanan boling peringkat dunia.

Mereka ialah pemain boling veteran Paeng Nepomuceno dari Filipina atas kejayaan menang kali keempat kejohanan Piala Dunia di Belfast tahun 1996.

Beliau ialah pemain boling pertama di dunia yang berjaya melakukan kejayaan seperti itu.

Dua lagi ialah pemain boling Australia, Cara Honeychurch dan Tseng Su-Feng dari Taiwan kerana memenangi kejohanan Piala Dunia tahun 1996 dan 1997.

Bong Coo dari Filipina juga menerima anugerah kerana menyertai kesemua kejohanan FIQ Asia sejak 1966.

Sementara itu, pemain boling Korea memenangi kejuaraan Masters lelaki dan wanita kejohanan FIQ Asia ke-15 yang berakhir semalam.

Byun Hyu Jin mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya di Seoul tahun 1988 mengalahkan pemain Jepun K. Tagata yang memenangi acara perseorangan minggu lepas dengan 440 jatuhan pin.

Tagata, sebelum ini, menewaskan Paeng 202-190 dalam perlawanan step-ladder.

Dalam kategori wanita, Cha M.J dari Korea membuat 444 jatuhan pin untuk menglahkan rakan senegaranya M.Y. Lee yang membuat 377 jatuhan pin. Cha sebelum ini menewaskan pemain pilihan Honeychurch.

Kin Ngoh, pemain tunggal Malaysia layak dalam pertandingan akhir Masters mendapat tempat kelapan dengan 3251 jatuhan pin.

Kejohanan berpasukan Piala Asia akan bermula hari ini dengan lima pasukan teratas lelaki dan wanita layak ke pertandingan Piala Dunia di Belanda, Oktober ini. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KBTsh0Fy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan