Selasa, 13 September 2016

Demi tahta ayah dan abang menjadi korban

ARKIB : 29/07/1998
 
TUJUH buah makam bersejarah di Kompleks Makam Chondong, Pekan, Pahang.

Kompleks makam bersejarah itu berdekatan dengan Kompleks Makam Nibong yang terletak di Kampung Mangkar di Pekan Lama, Pekan.

Di Kompleks Makam Chondong itu ada tujuh buah makam yang menggunakan nisan batu Aceh. Salah satu yang telah dikenal pasti ialah Makam Raja Muda Abdullah, iaitu putera Sultan Abdul Ghaffar, Sultan Pahang ke-12 daripada zuriat kesultanan Melaka 1591-1614.

Makam-makam lain dipercayai makam kaum keluarga Raja Muda Abdullah iaitu Makam Sultan Abdul Ghaffar, Sultan Ahmad dan juga Makam Puteri Bongsu Cendera Dewi iaitu ibu kepada Sultan Iskandar Sani, Sultan Aceh.

Hikayat Bustanus Salatin (Sejarah Aceh) ada menyatakan Sultan Iskandar Sani dari Aceh itu telah menghantar satu rombongan orang-orang besar Aceh dengan membawa batu-batu nisan untuk dipasangkan di makam ibu baginda iaitu puteri Cendera Dewi dan lain-lain makam di kompleks makam tersebut.

Sultan Abdul Ghaffar memerintah Pahang hampir 23 tahun. Dalam masa pemerintahan baginda berbagai-bagai peristiwa yang aneh dan menarik telah berlaku. Antaranya ialah perkahwinan putera baginda iaitu Raja Muda Abdullah dengan puteri Sultan Perak pada tahun 1600.

Rombongan pengantin lelaki telah menaiki perahu mudik sungai Pahang hingga sampai ke Kuala Tembeling dan di situ telah menunggu rombongan pengantin perempuan yang menghilir ikut sungai Jelai. Rombongan pengantin perempuan terpaksa menaiki gajah berunggu. Di Kuala Tembelinglah berlangsung perkahwinan diraja antara Raja Muda Abdullah dengan puteri Sultan Perak.

Dalam tahun 1612 pula satu rombongan pengantin dari Johor telah datang ke Pekan. Putera Sultan Alauddin Riayat Syah III, Sultan Johor, akan berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Ghaffar.

Semasa berada di Perak, Sultan Abdul Ghaffar telah mengadakan satu majlis untuk menyambut rombongan pengantin lelaki. Dalam majlis itu putera Sultan Brunei yang juga menantu Sultan Pahang telah mempersilakan Sultan Alauddin untuk minum. Ketika itulah terpandang oleh sultan Johor akan sebentuk cincin yang dipakai oleh putera Sultan Brunei.

Sultan Alauddin amat berkenan dengan cincin batu mutiara yang besar itu lalu Sultan Johor itu meminta supaya putera Sultan Brunei itu menjual cincin tersebut dengan harga yang mahal. Namun putera Sultan Brunei tidak mahu menjualnya.

Sultan Johor sangat murka kerana permintaannya tidak dilayan oleh putera Sultan Brunei. Lalu dengan tergesa-gesa Sultan Johor kembali ke Johor dan perkahwinan antara kedua sultan tersebut dibatalkan.

Tidak lama kemudian angkatan perang Sultan Johor datang menyerang dan mengalahkan Pahang. Sultan Abdul Ghaffar sempat melepaskan diri ke Hulu Pahang.

Angkatan perang Johor lalu membakar Pekan dan juga Pekan Cina yang terletak di tebing kanan mudik Sungai Pahang.

Apabila Sultan Brunei mendapat berita tentang serangan Johor ke negeri Pahang itu, baginda menghantar sebuah angkatan perang yang besar ke Pahang.

Angkatan perang Brunei itu dengan mudah menghalau orang-orang Johor yang menakluki Pahang itu.

Sultan Abdul Ghaffar kembali semula berkuasa dan kemudian ikut bersama dengan angkatan perang Brunei balik ke Brunei. Kira-kira tiga bulan di Brunei, Sultan Abdul Ghaffar pulang semula ke negeri Pahang.

Satu tragedi yang sedih telah berlaku di Pekan, Pahang, apabila seorang putera baginda yang tidak diketahui namanya (cuma disebut dalam sejarah Cina Meng sebagai putera yang jahat laku) telah meracun ayahnya hingga mangkat dan membunuh abangnya iaitu Raja Muda Abdullah.

Putera Almarhum Sultan Abdul Ghaffar yang disebut putera yang jahat laku itu telah melantik dirinya sebagai Sultan Pahang. Peristiwa ini berlaku kira-kira pada tahun 1614.

Namun setahun kemudian Sultan Alauddin Riayat Syah lll telah menghantar putera baginda yang bernama Raja Bujang menjadi Sultan Pahang, dan putera Sultan Abdul Ghaffar yang jahat laku itu kemudiannya dapat merampas semula Pahang daripada kekuasaan Raja Bujang.

Dalam sebuah laporan Cina bernama Tung Hsi Yang Kau ada menceritakan tentang pemerintahan putera Sultan Pahang yang membunuh ayah dan abangnya dan melantik dirinya menjadi raja.

Mereka ini berkeliaran di laut mencuri orang dan menjualkan kepada Sultan Pahang yang suka membeli hamba abdi daripada perompak laut yang disebut Mau Su yang bermakna perompak laut.

Oleh: N.A. HALIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4KBYudqmR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan