Selasa, 13 September 2016

Projek awam dijangka siap menjelang 31 Ogos

ARKIB : 28/07/1998
KUALA LUMPUR 27 Julai - Para pemimpin kerajaan negeri yakin semua projek kecil dan sederhana untuk kemudahan awam di negeri masing-masing dapat disiapkan sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

Bagi mencapai matlamat itu, agensi-agensi kerajaan terbabit diarah memberikan perhatian yang serius terhadap projek yang mereka kendalikan.

Para pemimpin itu yakin semua projek yang telah diluluskan itu tidak akan berhadapan dengan masalah besar sehingga mengakibatkan ia terpaksa ditangguhkan.

Di Kangar, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau akan menemui semua kalangan terbabit melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana di negeri itu bagi memastikan ia disiapkan segera.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang bekerja keras untuk membolehkan semua projek untuk kemudahan awam sebagaimana yang dikehendaki oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap sebelum akhir Ogos ini.

''Saya yakin projek seperti itu boleh disiapkan dalam masa yang dikehendaki.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan hari ini mengenai arahan Anwar semalam, yang mahukan agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara yang terlibat mengendalikan projek kecil dan sederhana berharga antara RM20,000 hingga RM100,000 untuk kemudahan awan disiapkan sebelum 31 Ogos ini

Ini berikutan masih terdapat sesetengah agensi dan jabatan kerajaan yang terus menangguh atau melengah-lengahkan projek perlu walaupun peruntukan telah diluluskan.

Serentak dengan arahan itu, Anwar turut mahukan majlis-majlis tindakan daerah memulakan segera segala projek yang telah diluluskan manakala pejabat-pejabat daerah pula mesti meneliti perjalanan projek bagi memastikan ia siap mengikut jadual.

Di Kuala Terengganu pula, Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memberitahu, buat masa ini kerajaan negeri tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek terbabit.

Beliau berkata, kerajaan negeri dari semasa ke semasa telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan projek kecil dan sederhana untuk kemudahan awam di Terengganu disiapkan mengikut jadual.

''Kerajaan negeri akan mengambil perhatian mengenai perkara ini dan langkah-langkah perlu atas ingatan serta teguran beliau (Anwar).

''Kita memberi jaminan bahawa projek berkaitan dapat disiapkan demi kepentingan rakyat,'' katanya.

Sementara itu di Tasek Gelugor, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shariff Omar hari ini mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyelaras pelaksanaan projek-projek kecil dan sederhana yang telah diluluskan kerajaan.

Shariff berkata, SUK akan menyelaras perjalanan projek-projek itu dengan pejabat-pejabat daerah, jabatan serta agensi kerajaan yang lain.

''Projek-projek kecil dan sederhana yang telah diluluskan perlu disegerakan bagi menjana aktiviti ekonomi pada zaman gawat ini,'' katanya kepada para pemberita selepas meninjau projek penanaman kelapa sawit di Kampung Paya Tok Akil di sini, hari ini.

Menurut Shariff lagi, pelaksanaan segala projek itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab pejabat daerah tetapi juga agensi-agensi lain yang terlibat seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4KBNiYOfQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan