ARKIB : 27/07/1998
KUALA LUMPUR 26 Julai -
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Suleiman Mohamed hari ini melancarkan kempen
mengibarkan bendera negara, Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di sini, untuk
menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.
Kempen itu antara lain
bertujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya mereka
melibatkan diri dalam sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini
Dalam ucapannya, Suleiman
berkata kempen itu amat penting untuk memperlihatkan kekuatan rakyat kepada
masyarakat luar terutamanya ketika negara berusaha memulihkan ekonominya yang
dilanda kegawatan.
Kempen itu dijalankan selama
dua bulan di seluruh negara sehingga akhir September ini sebagai sokongan
kepada negara sempena Hari Kebangsaan ke-41.
Jalur Gemilang bukan sahaja
penting bagi memberi kekuatan patriotik tetapi ia juga memberi semangat kepada
atlet-atlet negara yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel '98
September ini, katanya.
Sementara itu di Padang Besar,
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika melancarkan kempen ini
menggesa setiap rakyat menyemarakkan semangat patriotisme mereka.
Di Kota Bharu, semua jabatan
kerajaan di Kelantan telah diminta mematuhi arahan Pekeliling Am Bil. 3 Tahun
1994 yang mewajibkan semua premis jabatan negeri dan Persekutuan mengibarkan
Jalur Gemilang sepanjang masa.
Di Alor Setar pula, sebanyak
145 buah motosikal dan 34 kereta Volkswagen dilepaskan oleh Menteri Besar dari
Medan Bandar untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4KBLJOCAp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan