ARKIB : 26/07/1998
TENANG... pancutan air di
Fountain Circle Plaza mampu memberi ketenangan kepada para pelancong melihat
keindahan Kompleks Sukan Bukit Jalil.
TUDUHAN, tohmahan terdengar di
sana sini mendakwa kononnya Kompleks Sukan Bukit Jalil adalah salah sebuah
projek mega hanya akan digunakan untuk Sukan Komanwel '98 bermula pada 11
sehingga 21 September ini sahaja. Selepas itu ia akan sunyi dan tidak akan
digunakan kecuali pertandingan bola sepak dan sukan lain diadakan! Agak
merugikan juga jika dakwaan ini ada kebenarannya sebab pembinaan kompleks
tersebut yang lengkap dengan beberapa buah stadium berharga lebih RM1.5 bilion,
satu jumlah yang cukup besar.
Untuk memastikan tuduhan
tersebut benar tidaknya, baru-baru ini saya bersama jurugambar menaiki LRT dari
Jalan Chan Sow Lin dekat pejabat Utusan Melayu terus ke Kompleks Sukan Bukit
Jalil, dengan tambang yang berharga cuma RM2.90 untuk satu perjalanan.
Perjalanan dengan LRT-Star
bukan sahaja mudah dan selesa tetapi amat menarik terutama apabila sampai ke
kawasan Kompleks Sukan Bukit Jalil.
Kompleks Sukan Negara ini
terletak di kawasan seluas 300 ekar di Bukit Jalil dahulunya merupakan estet
getah dan bekas tapak pembuangan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Termasuk dalam Kompleks Sukan
Negara ini ialah:
* Stadium utama - Stadium
Nasional
* Stadium tertutup - Stadium
Putra
* Kompleks renang - Pusat
Akuatik Nasional
* Stadium Hoki Nasional
* Stadium Skuasy Nasional
* Pejabat Majlis Sukan Negara
* Institut Sukan Negara
* 2 stesen LRT
* Taman rekreasi
* Pelbagai kemudahan rekreasi.
Taman rekreasi - Taman ini
mengindahkan lagi kawasan Kompleks Sukan Negara meliputi kawasan seluas 122
ekar di mana di dalamnya pula terdapat:
1. Taman Komanwel - Taman
seluas 50 ekar terletak di atas bukit di kawasan Kompleks Sukan Negara yang
meliputi Fountain Circle Plaza, Flag Plaza, Komanwel Plaza, Central Plaza,
Viewing Platform, water cascade sebuah tangga air ke Kolam Komanwel. 2. Tasik buatan
manusia
3. Taman Keluarga - Taman
seluas 36 ekar yang di dalamnya meliputi padang-padang terbuka, gelanggang
permainan, kem, bilik persalinan, tempat permainan kanak-kanak dan pokok.
4. Riverfront Park - Kawasan
ini seluas 20 ekar merupakan koridor sungai yang lengkap dengan tempat
berjoging dan berjalan.
5. River Front Lake dan River
Work - Kawasan ini pula merupakan sebuah kolam bagi menakung air sebelum
dilepaskan ke sungai, juga tebing-tebing sungai yang dilandskapkan.
Bayangkan keindahan kawasan ini
keseluruhannya apabila pokoknya membesar nanti. Terasa seolah-olah berada dalam
satu kawasan di alam fantasi.
Apabila perjalanan LRT semakin
hampir, secara automatik tuduhan yang didengar terdahulu tersingkir jauh. Jelas
kompleks ini begitu indah dan sesuai sepanjang tahun, baik untuk sukan bertaraf
antarabangsa mahupun untuk tujuan rekreasi bersama keluarga.
Sebenarnya Kompleks Sukan Bukit
Jalil ini lebih daripada yang dihajatkan oleh sebuah keluarga yang ingin
mencari ketenangan, rekreasi dan sebagainya. Kerana ia juga lebih merupakan
kawasan bersukan untuk semua lapisan rakyat tidak kira orang tua mahupun
kanak-kanak.
Di Taman Komanwel itu sendiri
walaupun ia merupakan suatu kawasan berbukit yang agak curam sedikit tetapi
sesuai untuk mereka yang gemar berjoging.
Kehijauan floranya, kedamaian
tasik, air terjun mini serta pancutan air turut mampu memberikan peluang kepada
golongan yang ingin mencari ketenangan daripada kebisingan kota.
Pemandangan yang lebih menarik
ialah apabila berdiri di Taman Komanwel di bahagian Viewing Platform, kita
pasti dapat melihat secara jelas persekitaran Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
yang luas saujana mata memandang.
Dalam pada itu untuk memastikan
Kompleks Sukan Negara itu 'hidup segar', pihak pengurusannya sedang merancang
pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang sesuai untuk masyarakat setempat.
Pihak pengurusan kompleks sukan juga tidak harus membiarkan kompleks ini cuma
'hidup' apabila acara sukan yang bertaraf amatur ataupun profesional sahaja
diadakan.
Satu perancangan jangka panjang
bersukan dan rekreasi patut diaturkan untuk pelbagai aktiviti yang melibatkan
penyertaan keluarga dan remaja.
Aktiviti go-kart atau rock
climbing yang diadakan ketika pra-Sukan Komanwel tempoh hari mungkin sebagai
suatu langkah permulaan yang baik dan tepat untuk menarik penyertaan orang
ramai. - Oleh HASHNAN ABDULLAH
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4K9VAToUd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan