Selasa, 13 September 2016

57,360 pelajar meriahkan Kuala Lumpur '98

ARKIB : 24/07/1998
Menyedari itu, Sukom '98, Kementerian Pendidikan dan jururunding Cyad Consultants Sdn. Bhd. saling bekerjasama membawa lebih 50,000 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara ke enam stadium di Bukit Jalil, Selangor bagi menyaksikan temasya berkenaan.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Cyad Consultants Sdn. Bhd, Aini Mohd. Amin berkata sebanyak 57,360 pelajar sekolah menengah termasuk 5,000 pelajar dari luar Lembah Klang akan terlibat dalam Projek Khas Sekolah-Sekolah Untuk Sukan Komanwel XVI, Kuala Lumpur '98. Katanya, projek itu bertujuan meramaikan jumlah penonton di enam stadium di Bukit Jalil termasuk Stadium Nasional yang boleh memuatkan 100,000 penonton.

Aini berkata pelajar terlibat akan dibawa dari sekolah dan asrama masing-masing dari seluruh Lembah Klang menaiki bas khas ke stadium berkenaan setiap hari.

''Mereka akan berada di sana dari jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari. Pelajar dari Lembah Klang akan berulang alik menaiki bas khas dari sekolah masing-masing.

''Pelajar dari luar Lembah Klang pula akan ditempatkan di sekolah berasrama penuh di sekitar Lembah Klang dan mereka juga akan menaiki bas khas yang disewa oleh Sukom '98 ke stadium berkenaan,'' katanya kepada wartawan Pendidikan.

Menurutnya, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri bertanggungjawab memilih pelajar bagi menyertai projek khas itu dan kriteria pemilihan pelajar berdasarkan kepada beberapa perkara. Katanya, pelajar dari Lembah Klang dipilih berdasarkan faktor jarak sekolah masing-masing dengan tempat pertandingan dan aktif serta berminat dalam sukan.

''Pelajar dari luar Lembah Klang pula dipilih berdasarkan kegiatan aktif mereka dalam sukan dan kegiatan kokurikulum. Selain itu, pemimpin pelajar dalam organisasi sekolah dan pelajar luar bandar turut dipilih bagi menjayakan Sukan Komanwel Ke-16,'' katanya.

Selain itu, katanya pelajar sekolah dari Sabah dan Sarawak masing-masing seramai 80 pelajar turut mengambil bahagian dan tiket penerbangan pergi serta balik disediakan oleh Sukom '98.

Menurutnya, hampir semua sekolah di seluruh negara dijangka terlibat dan setiap sekolah dikehendaki menghantar di antara 40 sehingga 80 pelajar termasuk empat guru pengiring.

Mengenai makan dan minum, katanya pelajar dari Lembah Klang akan diberi kupon bagi mendapatkan makanan di pondok khas di stadium manakala pelajar dari luar Lembah Klang akan menikmati sarapan dan makan malam di asrama.

''Makan tengah hari dengan kupon bagi pelajar dari luar Lembah Klang akan diadakan di tempat pertandingan.

Mereka boleh mendapatkan kupon itu daripada guru pengiring di asrama masing-masing,'' ujarnya.

Aini berkata kos bagi melaksanakan projek itu ialah kira-kira RM12 juta dan berikutan itu, beliau berharap pelbagai pihak sama ada tokoh korporat atau sektor swasta memberi sumbangan wang bagi menjayakan projek berkenaan.

''Setakat ini sambutan daripada pelbagai pihak amat menggalakkan.

''Pihak kami tidak mengurus sumbangan itu kerana semua wang disalur terus kepada Majlis Sukan Negara,'' katanya. Mengenai peranan Cyad dalam menjayakan projek khas berkenaan, katanya syarikat itu hanya terlibat secara langsung dalam melicinkan proses pengangkutan pelajar, makan dan minum, penginapan dan penajaan barangan keperluan seperti baju T dan topi pelajar.

BIDANG TUGAS PIHAK TERLIBAT DALAM PROJEK KHAS SEKOLAH-SEKOLAH

A. KEMENTERIAN PENDIDIKAN

1. Melantik jawatankuasa induk

2. Menyelaras mesyuarat pengelolaan

3. Menyediakan borang penyertaan

4. Mengagihkan bilangan peserta mengikut negeri

5. Menyelaras proses pelaksanaan projek dengan pihak Sukom '98 dan Cyad Consultants Sdn. Bhd.

6. Memantau pelaksanaan projek sepanjang temasya berlangsung.

B. SUKOM '98

1. Menyenarai bilangan pelajar yang diperlukan

2. Menyediakan jadual kehadiran pelajar

3. Menyediakan pelan tempat

4. Mengurus bayaran elaun perjalanan, makan-minum guru dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)

5. Mengurus agihan cenderamata dengan JPN

6. Mengagihkan cenderamata dan kupon di asrama

7. Mengurus bayaran penginapan asrama, warden dan makan minum di asrama

8. Menyediakan pengangkutan dari luar Lembah Klang

9. Mengurus bayaran pengangkutan di Lembah Klang dengan JPN

10. Menyediakan pengangkutan pergi-balik dari lapangan terbang

11. Membantu memberi taklimat kepada sekolah-sekolah

C. JABATAN PENDIDIKAN NEGERI

1. Memilih sekolah-sekolah

2. Mengadakan taklimat kepada sekolah-sekolah yang terlibat

3. Mengedarkan contoh borang penyertaan kepada sekolah-sekolah

4. Menyerahkan bilangan peserta kepada kementerian dan Sukom '98

5. Mengagihkan cenderamata, elaun dan kupon kepada sekolah-sekolah

6. Mengenal pasti asrama penginapan yang diperlukan

7. Membantu menyelaras tempahan pengangkutan

8. Menyelaras pelajar-pelajar sepanjang temasya

9. Menetapkan pick up point dan jadual perjalanan

D. SEKOLAH

1. Memilih pelajar-pelajar dan guru pengiring

2. Mengedar dan mengutip borang penyertaan dan kebenaran ibu bapa/penjaga

3. Membuat tempahan pengangkutan

4. Mengagihkan cenderamata, elaun dan kupon kepada peserta dengan rekod yang lengkap

5. Menyerahkan senarai nama pelajar kepada JPN

6. Menghadirkan diri dalam taklimat yang dibuat oleh JPN

7. Memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjamin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4K9Nf0fWG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan