Selasa, 13 September 2016

ASEAN selaras operasi padamkan kebakaran

ARKIB : 30/07/1998
KUALA LUMPUR 29 Julai - ASEAN menyelaras langkah-langkah bersepadu dalam operasi pemadaman kebakaran hutan di Indonesia bagi memastikan masalah jerebu terkawal dan paling utama tidak berulang, khususnya semasa temasya Sukan Komanwel XVI (Kuala Lumpur '98), September ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Cheah Kon Wai berkata, soal pencegahan jerebu menjadi topik penting yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Teknikal Mengenai Jerebu (HTTF) ASEAN Kesembilan hari ini.

Menurutnya, Malaysia menekankan peri pentingnya soal kelancaran temasya sukan tersebut dan langkah-langkah bersepadu sedang dilakukan oleh negara-negara anggota.

Kerana itu, ujarnya, kementerian sekali lagi memberi jaminan temasya Sukan Komanwel XVI (Kuala Lumpur '98) itu tidak akan dirundung fenomena jerebu.

''Satu daripada langkah bersepadu itu ialah program operasi memadamkan kebakaran di Indonesia menggunakan sistem pengawasan udara dan satelit.

''Projek itu dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Program Alam Sekitar (UNEP) yang telah menyumbangkan AS$30,000 (kira-kira RM120,000),'' katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut di sini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sukan tersebut selama 11 hari bermula 11 September ini.

Kebimbangan mengenai masalah jerebu berulang yang dikhuatiri akan menjejaskan prestasi atlet dan temasya Kuala Lumpur '98 telah disuarakan oleh beberapa negara peserta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Bidang Koordinasi dan Menteri Negara Lingkungan Hidup Indonesia, Affendy A. Sumardja berkata, program percubaan tersebut ditumpukan di Riau dan Sumatera selama dua minggu untuk memastikan keberkesanannya.

Beliau berkata, menerusi pengawasan udara dan satelit akan dapat menyegerakan pasukan bomba dihantar ke kawasan hutan yang terbakar dan tidak menunggu sehingga ia sukar dibendung.

Menurutnya, menerusi program itu juga sebanyak 16 penerbangan pengawasan udara akan dilakukan di empat daerah di kedua-dua wilayah tersebut.

''Bagaimanapun setakat ini, pengawasan udara yang dimulakan pada 27 Julai lalu lebih berkesan berbanding satelit kerana tidak semua kawasan panas yang dikesan menerusi satelit itu merupakan kawasan kebakaran,'' katanya.

Beliau berkata, usaha memadamkan api itu mendapat kerjasama penuh bukan sahaja daripada pihak bomba, malah polis dan tentera yang menyediakan pengawasan udara.

''Hasil mesyuarat hari ini akan dikemukakan pada Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jerebu yang kelima esok,'' katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Law Hieng Ding dijadual merasmikan mesyuarat tersebut yang akan turut dihadiri oleh para Menteri Alam Sekitar negara-negara anggota ASEAN.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4KBhoG6Xk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan