Selasa, 13 September 2016

Siaran 24 jam TV3 akur budaya menonton

ARKIB : 01/08/1998
Bermula hari ini, stesen TV swasta, TV3, memendekkan masa siaran daripada 24 jam kepada 19 1/2 jam. Siaran TV3 kini bermula pukul 6 pagi dan tamat pukul 2.30 pagi.

Ini bermakna stesen TV itu memendekkan siarannya empat jam (dari pukul 2.30 pagi hingga 6 pagi) yang dilihat sebagai ruang waktu yang berisiko kerana tidak ditampung dengan iklan.

Nampaknya stesen TV swasta yang dianggap menunjukkan keberanian luar biasa itu akhirnya akur kepada budaya menonton TV masyarakat tempatan yang tidak seghairah negara Barat.

Sejak TV3 memulakan siaran 24 jam mulai 31 Ogos tahun lalu, pelbagai pihak, termasuk pakar psikologi memberikan pandangan mereka tentang budaya menonton TV baru yang diperkenalkan oleh stesen ini.

Banyak yang menganggap penonton tempatan tidak begitu memerlukan siaran TV selama 24 jam sehari, sebaliknya memperkemaskan program waktu biasa ke arah mengujudkan masyarakat bermaklumat.

Langkah TV3 memendekkan siarannya itu dianggap sebagai jalan selamat walaupun terpaksa mengorbankan objektif asalnya mengukuhkan kedudukan stesen tersebut di kalangan penonton di negara ini.

Kegagalan menarik penonton yang seterusnya menjejaskan sokongan pengiklan untuk slot selepas tengah malam sememangnya menjadi masalah besar kepada stesen itu.

Lalu tidak hairanlah jika penonton yang menonton TV3 selepas tengah malam disajikan dengan program-program terbitan TV3 dan program ulangan untuk memenuhi masa empat jam itu.

Krisis ekonomi yang melanda sejak berbulan-bulan lalu turut memburukkan keadaan industri penyiaran. RTM sejak awal-awal lagi mengumumkan pengurangan masa siaran sejam sehari untuk menjimatkan kos penyiaran.

Bagi sebuah stesen TV yang sumber pendapatan daripada kerancakan sektor pengiklanan, sokongan iklan merupakan salah satu elemen terpenting untuk terus beroperasi.

Tetapi kalau diteliti, bukanlah faktor kegawatan ekonomi yang membuatkan siaran 24 jam itu dipendekkan, sebaliknya berhubung kait dengan budaya menonton daripada perspektif masyarakat tempatan.

Apa yang cuba ditekankan bukan hanya kerana kegawatan atau kurang sambutan pengiklan maupun kos penyelenggaraan yang tinggi, tetapi daripada perspektif budaya hidup masyarakat negara ini.

Persoalannya, selama ini apakah impak dan perlunya siaran 24 jam serta relevannya kepada kehidupan harian masyarakat negara ini?

Pihak stesen tv perlu menjengah daripada pelbagai sudut dan membuat kajian yang merangkumi budaya, saiz penduduk serta ketaksuban penonton terhadap TV.

Dalam soal ini tentunya amalan hidup masyarakat tempatan tidak sama dengan masyarakat di Amerika atau Eropah yang mempunyai penduduk yang ramai dan jumlah menonton TV di luar waktu biasa lebih besar berbanding di sini.

Siapakah penonton TV 24 jam ini? Suri rumah, kakitangan profesional, remaja atau pekerja waktu malam? Nampaknya setelah hampir setahun berlalu, penonton TV 24 jam masih belum dikenalpasti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4KBs0F7AT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan