Selasa, 13 September 2016

Syarikat Malaysia bina bandar baru di Zimpeto

ARKIB : 01/08/1998
 
DR. MAHATHIR MOHAMAD mengunjungi Presiden Namibia, Dr. Sam Nujoma di rumah negeri di Swakopmund, baru-baru ini - Gambar Bernama.

MAPUTO (Mozambique) 31 Julai - Bina Puri Holdings Bhd., dan Chase Perdana Bhd., membentuk sebuah konsortium dengan Sir Group dan Majlis Perbandaran Maputo dari Republik Mozambique untuk memajukan sebuah bandar baru di Zimpeto dekat sini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Bina Puri, Anthony Wang, konsortium tersebut akan memajukan tanah seluas 60 hektar yang mengandungi 2,000 unit rumah, bangunan komersial, rumah kedai, stesen minyak dan harta komersial lain yang berdaya maju.

Katanya, projek ini akan dimulakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan dengan modal permulaan sebanyak AS$50 juta.

Majlis menandatangani perjanjian projek itu diadakan di Hotel Polana di sini, malam tadi.

Bina Puri dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Tee Hock Seng sementara Chase Perdana oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Dr. Mohan Swami.

Sementara Sir Group diwakili oleh Presidennya, Amande Chemane Camal Junior dan Datuk Bandar Maputo, Artur Canana yang mewakili Majlis Perbandaran Maputo.

Konsortium ini adalah gabungan seumpamanya yang dimeterai oleh kedua-dua negara dalam bidang pembangunan hartanah di republik ini.

''Kami menjangkakan ia akan menjadi permulaan ke arah kerjasama ekonomi di antara kedua negara sealiran dengan konsep Perkongsian Bijak di antara negara Selatan-Selatan,'' katanya.

Sementara itu, sebuah syarikat bank komersial dari Malaysia, ICB Group membuka bank terbarunya di negara ini, dikenali sebagai Bank ICB-Banco Internacional de Comercio semalam.

Pembukaan bank itu menambahkan lagi daya saing syarikat itu yang kini memiliki bank-bank perdagangan di lapan negara. Kesemuanya di negara-negara dunia ketiga, antaranya di Ghana, Eropah Tengah, Tanzania dan Bosnia.

Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Benedict Goh yang menguruskan bank itu di sini berkata, bank itu ditubuhkan dengan modal sebanyak RM1.7 juta.

Katanya, antara aktiviti bank ini ialah menyediakan pembiayaan pinjaman untuk projek-projek pembangunan selain membantu usahawan-usahawan Malaysia melabur di sini.

''Setakat ini kami mempunyai 30 kakitangan dengan tiga kakitangan Malaysia.

''Buat masa ini, bank ini akan menumpukan untuk perbankan komersial dan di masa akan datang, akan bergiat kepada perbankan runcit pula,'' katanya yang ditemui pemberita semalam.

Bank itu dirasmikan oleh Presiden Mozambique, Joachim Alberto Chissano sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Dalam pada itu, malam tadi, sebuah lagi bank milik Malaysia Banco Austral menjemput kedua-dua pemimpin itu dalam satu majlis bagi merasmikan logo baru bank itu.

Bank itu dimiliki oleh Southern Bank dari Malaysia (51 peratus).

Banco Austral kini mempunyai sebanyak 148 cawangan di negara ini. Ia diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, K. Muganthan. - Utusan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KBqjseP2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan