ARKIB : 01/08/1998
SEJAK tahun 1995, bulan Ogos
merupakan Bulan Membaca. Bulan Ogos sebenarnya ditunggu-tunggu oleh para
pencinta buku. Bulan inilah aktiviti pembacaan dan perbahasan buku dipusatkan.
Bulan Pesta Buku. Bahkan pada bulan Ogoslah pelbagai hadiah buku dianugerahkan
kepada penulis dan pembaca yang cemerlang.
Sempena Bulan Membaca, banyak
program diatur yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kita membaca.
Membaca bukan sekadar membaca apa yang boleh dibaca sahaja. Tetapi membaca
untuk ilmu dan maklumat. Membaca untuk mengembangkan daya fikir dan
memperluaskan ufuk minda. Membaca untuk memperkaya jiwa dan wawasan. Dan
membaca untuk kebenaran.
Sepuluh tahun lalu, Perdana
Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan 1988 sebagai Tahun
Pembaca. Setelah 10 tahun berlalu, setelah pelbagai tema membaca dicanang dan
setelah jutaan ringgit dilaburkan untuk berkempen agar masyarakat kita lebih
rakus membaca, ada baiknya kita bertanya: Apa hasilnya setakat ini? Apakah
masyarakat kita kini ghairah membaca? Apakah pasaran buku berkembang pesat?
Apakah penulis dan penerbit buku mampu menghasilkan buku serta majalah yang
bermutu? Apakah industri perbukuan telah teguh?
Soalan-soalan ini saya
kemukakan kerana sehingga kini saya masih tertanya-tanya tentang sikap serta
kepekaan kebanyakan rakan-taulan saya terhadap aktiviti pembacaan. Tanpa
menuding siapa, sebahagiannya masih dingin terhadap buku dan pembacaan. Sering
kali saya mengajukan beberapa buah buku best-seller, khususnya di Barat, kepada
beberapa orang rakan saya yang memiliki ijazah Ph.D. Malang, hampir semuanya
dingin dan segera mengubah tajuk perbualan.
Ada kemungkinan pengalaman saya
itu merupakan suatu pengecualian. Tetapi, ada juga kemungkinan besar bahawa
pengalaman saya itu merupakan realiti semasa masyarakat kita yang ternyata
masih dingin terhadap buku, perbukuan, pembacaan dan intelektualisme.
Hal ini dapat juga dirumuskan
menerusi hasil kajian profil pembaca 1996 oleh Perpustakaan Negara. Biarpun
tahap literasi meningkat kepada 93 peratus tetapi hanya 87 peratus yang
mengamalkan tabiat membaca. Maknanya, kira-kira 60 peratus rakyat yang boleh membaca
tidak membaca. Dan, kebanyakan rakyat Malaysia didapati hanya membaca
bahan-bahan ringan seperti surat khabar (79%), majalah (47%), buku (52%) dan
komik (32%). Pembacaan buku masih terhad, iaitu secara purata dua buah buku
setahun.
Data-data ini menjelaskan
bahawa kebolehan membaca tidak didukung dengan skema pembacaan yang sewajarnya.
Itulah sebabnya bahan-bahan ringan masih merupakan bahan bacaan utama. Bahan
bacaan bermutu khususnya buku ilmiah hanya digunakan sebahagian besarnya oleh
para pelajar dan ilmuwan. Itupun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
Bagaimanapun, pembacaan
bahan-bahan yang merosakkan nampaknya terus subur, khususnya surat layang.
Dalam arena politik ketika ini, surat layang adalah salah satu media utama
untuk berkomunikasi secara lebih bebas dan kurang risiko duniawi. Hal ini juga
berleluasa di kampus. Saban minggu, saya menerima pelbagai surat layang
terutamanya tentang kepimpinan sesebuah universiti. Bahkan sejak kebelakangan
ini surat layang turut menembusi sektor korporat.
Hal ini amat mendukacitakan
kerana surat layang melayang-layang di kalangan intelegensia yang paling
berpengaruh _ politikus, sarjana dan ahli korporat. Yang anehnya, setiap kali
tersebar surat layang, kebanyakan penerimanya menghebahkan secara mulut ke
mulut. Perlu disebutkan juga bahawa tidak semua isi surat layang itu diyakini.
Bagaimanapun keghairahan membaca surat layang diasosiasikan dengan keghairahan
kita untuk mengetahui perkembangan terkini sesuatu isu.
Melihat keadaan ini ada baiknya
kita fokuskan Bulan Membaca tahun ini, atau tahun-tahun akan datang, terhadap
pembacaan bahan-bahan yang berautentik. Maknanya, membaca hanya bahan bacaan
berkualiti isinya dan yang diketahui reputasi pengarangnya.
Sementara bahan yang tanpa nama
pengarang _ biarpun tampak 'benar' dan 'real' _ sewajarnya dianggap sebagai
'sampah' yang tidak perlu dibaca kerana tiada penanggungjawapan terhadap
kebenaran faktanya. Barangkali fitnah. Demikianlah sewajarnya sikap kita
terhadap surat layang.
* Dr. Zaini Ujang ialah Profesor
Madya di Universiti Teknologi Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4KBvzHxpe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan