ARKIB : 01/08/1998
KRISIS terbaru antara Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) dan kelab profesional, Nusa Mahsuri dikatakan sudah
selesai.
Penyelesaian bagi krisis
berhubung latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan ke Sukan Komanwel XVI
dicapai selepas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan
dan menemui kedua-dua pihak secara berasingan beberapa hari lalu.
Berikutan itu, BAM mengambil
keputusan menerima seorang pemain Nusa Mahsuri ke dalam skuad kebangsaan,
setelah cuba menutup pintu sejak kontroversi ini tercetus minggu lalu.
Bagi peminat dan pemerhati
sukan tanah air, penyelesaian ini tentunya amat melegakan kerana kedua-dua
pihak bersetuju mengutamakan kepentingan negara. Ia juga mencerahkan semula
harapan negara untuk memperoleh pingat daripada acara badminton di Sukan
Komanwel nanti.
Antara punca yang menyebabkan
tercetusnya krisis ini ialah soal elaun latihan tertunggak yang dituntut oleh
Nusa Mahsuri dari BAM.
Nusa mendakwa BAM berjanji
membayar elaun kepada pemainnya yang menyertai latihan serta pertandingan bagi
mewakili negara. BAM menafikan yang badan itu pernah membuat sebarang janji
seumpama itu.
Percakaran berterusan dengan
pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua pihak sehingga BAM menutup
pintu, sekali lagi, kepada pemain Nusa Mahsuri.
Namun ia sudah selesai dan
kedua-dua pihak berdamai sekali lagi.
Tetapi, apakah 'perdamaian'
kali ini akan kekal atau hanya menunggu masa sebelum satu lagi isu timbul dan
sekali lagi kita akan menyaksikan badminton tanah air bergolak semula.
Masalah antara BAM dan Nusa
sering berlaku sejak kelab profesional itu ditubuhkan empat tahun lalu dengan
dikenali sebagai Thomas Cuppers Sdn. Bhd. dan kemudian menukar nama kepada Nusa
Mahsuri Sdn. Bhd. dan kini dikenali sebagai Kelab Nusa Mahsuri.
Sejak penubuhannya itu, Nusa
Mahsuri dan BAM sering bertelagah dengan kedua-dua pihak melemparkan tuduhan
demi tuduhan ke arah satu sama lain.
Pertelagahan ini mengakibatkan
Malaysia tewas pada pertandingan Piala Thomas 1996 yang berlangsung di Hong
Kong. Bagaimanapun, keadaan pulih sedikit semasa kempen Piala Thomas 1998 dan
Malaysia berjaya muncul naib johan.
Secara amnya, kita boleh
simpulkan bahawa BAM dan Nusa Mahsuri perlu mengubah sikap dan meletakkan
kemajuan badminton sebagai agenda utama. BAM perlu menerima hakikat bahawa Nusa
ialah sebuah kelab profesional dan Nusa pula mesti sedar BAM adalah badan induk
sukan tersebut.
Peminat badminton tidak
berminat dengan kontroversi dan pertelagahan. Mereka mahukan kejayaan serta
kemajuan yang membanggakan di semua peringkat.
Malah, sebagai badan induk, BAM
perlu menggalakkan penubuhan kelab-kelab profesional kerana ia akan membantu
membangunkan mutu sukan berkenaan.
Peminat mahukan skuad badminton
menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel yang akan berlangsung September ini.
Bagi tujuan itu, barisan
terbaik perlu dipilih, tidak kira pemain itu dari kem atau pasukan mana.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4KBxNzh79
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan