Selasa, 13 September 2016

250,000 keluarga dapat manfaat Ar-Rahn

ARKIB : 31/07/1998
PASIR MAS 30 Julai - Lebih 250,000 keluarga telah pun mendapat manfaat hasil penubuhan kaunter Sistem Pajak Gadai Islam (Ar Rahn) kelolaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Abdul Malek Awang Kechil memberitahu, jumlah tersebut membabitkan pembiayaan sebanyak RM150 juta di kaunter-kaunter yang diwujudkan di Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara.

''Aliran ini menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa ekoran keyakinan yang semakin meningkat terhadap sistem gadaian Islam berbanding sistem konvensional yang sedia ada,'' katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas Majlis Penyerahan Modal Pinjaman Skim Usaha Niaga Perintis YPEIM di sini pagi ini.

Majlis tersebut membabitkan 15 orang peserta dari seluruh Kelantan dengan penyaluran pinjaman sebanyak RM32,000.

Menurut Abdul Malek, berdasarkan perkembangan positif itu, pihaknya yakin akan dapat mewujudkan 100 kaunter Ar-Rahn di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini.

Pada ketika ini kaunter Ar-Rahn di kedua-dua bank tersebut di seluruh negara sebanyak 59 buah.

Pihaknya juga optimis, kaunter berkenaan akan turut dapat diperkembangkan melalui Bank Utama untuk memberikan perkhidmatan yang lebih meluas di Sarawak selain kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat yang sedia ada.

''Kami kini sedang mempertimbangkan permohonan Bank Utama untuk tujuan tersebut dan jika ia menjadi kenyataan kaunter Ar-Rahn di Sarawak akan menjadi lebih meluas kerana bank itu berpangkalan di negeri tersebut,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_05.htm#ixzz4KBn5AKhN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan