ARKIB : 04/08/1998
Malcon V-SFOR yang diketuai
Kolonel Syed Khalid Syed Mahmood, adalah terdiri daripada Batalion Kelima
Rejimen Renjer Diraja (5 RRD) dan Batalion keempat Kor Armor Diraja (4 Armor),
sebagai elemen utama pasukan.
Pasukan itu turut dianggotai
oleh beberapa unit bantuan iaitu Skuadron 11 Rejimen Askar Jurutera
Diraja (11 Skn RAJD) dan 34
Workshop Kor Jurutera Letrik dan Jentera (34 KJLJD) serta elemen-eleman
meliputi Rejimen Semboyan Diraja, Grup Gerak Khas (GGK), Kor Kesihatan Diraja,
Kor Polis Tentera Diraja, Kor Perkhidmatan Diraja dan Kor Ordnans Diraja.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Syed Hamid Albar turut menyampaikan pingat PBB kepada 790 pegawai dan anggota
Malcon V-SFOR. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Azizan
Husain dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Ismail Omar.
Pasukan ini memulakan
perkhidmatan di bawah SFOR pada 25 Disember 1997 sehingga Jun 1998.
Sepanjang penglibatan
ketiga-tiga perkhidmatan ATM (laut, darat dan udara), imej negara di kalangan
masyarakat antarabangsa terus harum dan membanggakan.
Antara kejayaan-kejayaan Malbatt
dan Malcon di sepanjang penglibatannya di bumi Balkan itu ialah menimbulkan
suasana yang selamat kepada pelarian dan penduduk serta membantu pelaksanaan
pilihan raya.
Di samping itu Malbat dan
Malcon juga berjaya melaksanakan Projek-projek Jiwa Murni merangkumi bantuan
perubatan dan pergigian dalam kawasan tanggungjawabnya yang telah memberi
faedah kepada ribuan penduduk tempatan.
Syed Hamid dalam ucapan
aluannya di majlis itu mengucapkan tahniah di atas kejayaan dan kecemerlangan
pasukan tersebut dan sebelumnya kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab yang
telah diamanahkan.
Beliau berkata, kejayaan
pasukan tersebut dan perkhidmatan cemerlang pasukan di bawah Malbat sebelum ini
dan Malcon telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa.
Katanya, penglibatan Malaysia
dalam operasi penstabil bersama pasukan tentera negara-negara NATO turut
menyumbangkan kredibiliti dan keberkesanan melaksanakan mandat PBB, bagi
mengimplimentasikan Perjanjian Dayton.
''Saya diberitahu, Komander
'Multi National Di-vision-South West (yang turut mengawal selia Malcon) telah
menyatakan rasa kagum dan amat berpuas hati dengan perkhidmatan cemerlang
Malcon V.
''Beliau telah menyatakan rasa
amat bertuah dapat berkhidmat dengan kumpulan tentera dari Malaysia yang amat
profesional melalui suratnya yang disampaikan kepada Panglima Angkatan
Tentera,'' katanya.
Penglibatan Malaysia di negara
Balkan itu adalah dalam tempoh enam tahun lalu, dengan menghantar lapan pasukan
ke Bosnia-Herzegovina.
Bermula dengan Batalion
Malaysia (Malbat I hingga III) dan kemudiannya Kontinjen Malaysia (Malcon I
hingga V.) Semuanya bermula dari tahun 1993 dan berakhir pada Jun 1998, para
anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berkhidmat di bawah naungan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Pasukan Pelindung (UNPROFOR).
Apabila Pertubuhan Perjanjian
Atlantik Utara (NATO) dipertanggungjawab mengawal keamanan di negara Balkan
itu, pasukan pengaman bertukar nama kepada Pasukan Pelaksana Damai (IFOR) dan
kemudiannya Pasukan Penstabil (SFOR).
Di negara inilah, para anggota
ATM dalam Malbat dan Malcon yang berjumlah 10,514 pegawai dan lain-lain
pangkat, berpeluang mendalami profesyen ketenteraan yang lebih meluas termasuk
peperangan terbuka, gerakan dalam salji, kawasan jerangkap samar serta operasi
mencari dan menyelamat dalam ribut salji.
Oleh: SUNARTI KIBAT
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm#ixzz4KCoSmoLG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan